Friday, March 11, 2016
UMNO Kota Belud Ikrar Taat Setia, Sokong Kepimpinan Najib
KOTA BELUD : UMNO Bahagian Kota Belud mengikrarkan taat setia
dan sokongan padu terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak
sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Belud Datuk Musbah Jamli berkata
ketetapan itu dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa bahagian itu di sini
hari ini, yang dipengerusikannya mewakili Ketua UMNO Bahagian Datuk Seri
Dr Salleh Said Keruak.
“UMNO Kota Belud melafazkan ikrar taat setia tanpa berbelah-bahagi
dan menyokong penuh kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri dan
Presiden UMNO yang sah,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu,
yang bercakap mewakili Salleh, yang juga Menteri Komunikasi dan
Multimedia.
Beliau berkata UMNO Bahagian Kota Belud juga sentiasa berpendirian
tegas bahawa kebebasan bersuara dan hak untuk menyatakan pandangan perlu
dihormati dan dianggap sebagai elemen penting dalam amalan demokrasi
UMNO yang bertunjangkan dasar inklusif dan keterbukaan.
“Namun, UMNO Kota Belud berpendirian bahawa keterbukaan itu perlu
tertakluk kepada adab, etika dan disiplin parti terutamanya apabila
melibatkan pemimpin tertinggi,” tegasnya.
Sehubungan itu, Musbah berkata UMNO Kota Belud merasa kesal,
tersinggung dan terhina dengan tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir
serta beberapa pemimpin UMNO yang bersekongkol dengan pembangkang untuk
menjatuhkan Najib sebagai perdana menteri yang telah dipilih secara sah.
“Persekongkolan itu adalah satu tindakan yang secara jelas melanggar
prinsip dan asas perjuangan bangsa Melayu dan UMNO, serta tidak
menghormati perjuangan pemimpin terdahulu sejak UMNO ditubuhkan pada
1946,” katanya.
Katanya UMNO Kota Belud juga berpendirian bahawa tindakan untuk
menjatuhkan perdana menteri dan presiden parti yang tidak mengikut
proses pilihan raya serta pemilihan parti adalah tidak demokratik dan
menghina amalan demokrasi yang telah lama dilaksanakan di negara ini.
“Oleh itu, UMNO Kota Belud telah membuat ketetapan mengesyorkan
kepada Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Barisan Nasional untuk merujukkan
Muhyiddin dan Mukhriz ke Lembaga Disiplin dan Tatatertib parti untuk
diambil tindakan tegas.
“Selain itu kami (UMNO Kota Belud) mengesyorkan agar jawatan dan
keistimewaan yang disandang Dr Mahathir dalam Petronas, Proton, dan
Yayasan Kepimpinan Perdana ditarik balik serta memulakan proses
memutihkan keahlian mana-mana ahli UMNO yang turut terlibat dalam
gerakan menjatuhkan presiden parti,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment