Wednesday, March 09, 2016
'Deklarasi Rakyat' Tidak Dapat Diterima Akal
Biar dilihat dari sudut mana sekalipun, kempen dikenali sebagai
'Deklarasi Rakyat', atau lebih tepat jika disebut "Deklarasi Mahathir",
pimpinan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk
menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak daripada jawatan Perdana Menteri,
tidak dapat diterima akal.
Ia mungkin boleh berhasil di negara yang mengalami pergolakan politik
atau protes jalanan secara berlarutan bagi memaksa seseorang pemimpin
berundur kerana ketiadaan sistem penggantian pemimpin secara jelas.
Tetapi, di Malaysia, ia tidak akan berhasil kerana sistem penggantian
pemimpin wujud secara jelas dan ketara.
Lebih hebat tekanan yang ingin dikenakan kumpulan berkenaan untuk cuba
memaksa Najib melepaskan jawatannya, maka lebih besarlah peluang mereka
untuk menemui kegagalan. Malah, tidaklah keterlaluan jika dikatakan
bahawa kempen mereka telah gagal sejak ia mula dilancarkan lagi.
Dalam pada itu, apa yang mengundang pukulan balas secara besar-besaran
daripada seluruh warga UMNO terhadap kempen itu ialah tindakan seteru
utama politiknya, DAP, untuk turut menaiki gerabak anti-Najib, yang
dipandu Dr Mahathir.
Bagaimanapun, kecekalan Najib dalam menghadapi cabaran terbaru dan
"ancaman" terhadap kepimpinannya ini, dapat dilihat dengan jelas oleh
setiap orang sejak awal lagi iaitu apabila beliau terpaksa menangani
pelbagai isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sepanjang 40 tahun penglibatan beliau dalam politik, Najib belum pernah
dilihat bertindak setegas dan sekental sekarang, bermula dengan
pemecatan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai
Timbalan Perdana Menteri pada Julai tahun lepas dan pengguguran Naib
Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal daripada Kabinet.
Kedua-dua mereka menjadi duri dalam daging bagi Najib melalui perbuatan
mereka mengkritik secara pedas cara pengendalian 1MDB, dan kedudukan
Muhyiddin dalam UMNO turut menerima padah apabila minggu leaps, beliau
digantung daripada jawatan Nombor 2 dalam parti yang memerintah negara
ini bersama rakan gabungannya sejak Malaysia mencapai kemerdekaannya
lagi.
Najib, secara tegas dan jelas, menyifatkan langkah Dr Mahathir itu,
yang baru-baru ini, keluar daripada UMNO, dan Muhyiddin untuk
bersekongkol dengan para pemimpin pembangkang, sebagai "suatu kesilapan
besar".
Setelah hilang kedudukan sebagai Timbalan Presiden UMNO berikutan
penggantungannya daripada jawatan itu, kini Muhyiddin berdepan pula
dengan kemungkinan besar dipecat daripada parti itu berikutan desakan
yang semakin hebat agar tindakan itu dikenakan terhadapnya.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak
menyimpulkan dengan tepat melalui pertanyaannya: "Dr Mahathir berkata
gabungan yang dibuat itu (dengan pembangkang) adalah semata-mata untuk
menyingkirkan Najib bagi menyelamatkan Malaysia.
Untuk menyelamatkan daripada apa??"
Ya, penulis juga ingin mengulangi pertanayaan itu: Untuk menyelamatkan
daripada apa? Sekiranya pihak yang ingin menyingkirkan Najib sendiri
sedar bahawa mereka tidak akan sekali-kali berjaya untuk berbuat
demikian, maka apakah sebenarnya tujuan mereka?
Tidakkah mereka sedar bahawa ketika ini, perkara paling utama bagi
negara pelbagai kaum seperti Malaysia, yang amat perlu menjaga pelbagai
sensitiviti, ialah memelihara kestabilan politiknya?
Langkah itu menjadi lebih penting ketika ini apabila ekonomi Malaysia
diruntun oleh kejatuhan harga minyak mentah dunia, yang sekali gus
memberi impak negatif terhadap ringgit.
Keadaan juga kelihatan bertambah suram berikutan laporan media mengenai
tindakan pembuangan pekerja dalam sektor swasta secara berleluasa
apabila perniagaan mereka terjejas oleh kemelesetan ekonomi.
Kebanyakan rakyat Malaysia mahu meneruskan kehidupan mereka tanpa
dijejaskan atau diganggu-gugat oleh krisis baharu ciptaan manusia. Semua
pihak perlu menyedari perkara ini. Cukuplah dengan apa yang telah
berlaku.
Tan Sri Dr James Masing, presiden Parti Rakyat Sarawak dan menteri
kanan negeri itu, secara tepat berkata: "Kasihan kepada kumpulan yang
mengelilingi Dr Mahathir. Mereka hampir lesu. Ia tak ada kena mengena
dengan menyelamatkan negara."
Menurut beliau, pakatan bercelaru ini akan singkat umurnya. Jelas beliau:
"Apabila hilang kemarahan dan akal kembali berkuasa, mereka akan nampak
perkara sebenar mengenai Dr Mahathir serta agendanya dan beliau akan
keseorangan untuk merawat lukanya".
Semoga ia tidak sampai ke peringkat itu. Untuk mengelak perkara
memilukan itu daripada berlaku, maka lebih cepat Dr Mahathir sedar akan
perbuatan sia-sia itu, maka lebih baiklah bagi diri beliau.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment