Hampir RM700 Juta Bakal Diagihkan Kepada Ahli
Friday, March 11, 2016
LTAT Isytihar Dividen 12% Hampir RM700 Juta Bakal Diagihkan Kepada Ahli
LTAT Isytihar Dividen 12%
Hampir RM700 Juta Bakal Diagihkan Kepada Ahli
KUALA LUMPUR : Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)
telah mencatatkan jumlah pendapatan (belum diaudit) sebanyak RM766.8
juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.
Sehubungan itu, ahli-ahli yang layak akan menerima bayaran dividen
dan bonus berjumlah RM693.8 juta pada kadar 12%. Bayaran dividen dan
bonus ini meliputi dividen 6% dan bonus khas sebanyak 6% dalam bentuk
unit amanah saham untuk ahli yang aktif.
Dividen dan bonus ini akan mula dibayar kepada ahli-ahli yang mencarum pada Isnin, 14 Mac 2016.
Sepanjang tempoh 43 tahun, purata kadar dividen dan bonus tahunan yang dibayar oleh LTAT ialah 11.3% setahun.
Setakat 31 Disember 2015, jumlah aset LTAT meningkat sebanyak 1.1%
kepada RM9.4 bilion berbanding RM9.3 bilion pada tahun 2014. Caruman
ahli juga meningkat kepada RM9.1 bilion berbanding RM8.9 bilion tahun
lalu.
LTAT ingin memaklumkan bahawa ahli-ahli yang telah menamatkan
perkhidmatan akan menerima caruman mereka bermula Isnin, 14 Mac 2016.
Bagi sebarang pertanyaan berhubung perkara ini pihak LTAT boleh
dihubungi di talian 1-300-88-5828.
Sementara itu, YB Senator Laksamana Tan Sri Dato’ Setia Mohd Anwar
bin Hj Mohd Nor (Bersara), Pengerusi LTAT, berkata, “Kami bersyukur
dengan pencapaian yang direkodkan di mana dividen yang masih tinggi
berjaya diagihkan kepada ahli-ahli walaupun negara dan dunia berhadapan
dengan keadaan ekonomi yang mencabar. Dalam konteks ini, LTAT telah
mengambil langkah berjaga-jaga dari segi operasi dan pelaburan bagi
memastikan kepentingan dan pulangan kepada ahli-ahli terus diutamakan.”
LTAT sentiasa mengambil berat soal kebajikan ahli-ahlinya terutama
anggota-anggota tentera serta ahli keluarga mereka. Dalam konteks ini,
LTAT mempunyai pelbagai rancangan dan program yang jelas untuk anggota
dan veteran tentera serta ahli keluarga mereka terutamanya dalam bidang
latihan, kemahiran, keusahawanan, pendidikan, pemilikan rumah, bantuan
kewangan dan biasiswa bagi anak anggota tentera yang layak.
Bagi tahun yang dilaporkan, LTAT dan Yayasan Warisan Perajurit (YWP),
yang ditubuhkan oleh syarikat Kumpulan LTAT dan diterajui oleh Boustead
Holdings Berhad telah menyampaikan biasiswa dan pelbagai bantuan
kewangan berjumlah RM4.1 juta kepada 3,607 anak-anak anggota tentera
yang sedang berkhidmat yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam
peperiksaan sekolah mereka. Sehingga kini, 67,674 anak anggota tentera
yang masih berkhidmat dan yang sudah bersara menerima insentif dan
biasiswa berjumlah RM65.8 juta berdasarkan pencapaian akademik cemerlang
menerusi pelbagai program.
Dalam tahun yang dilaporkan, YWP telah menyumbang RM239,000 kepada 75
ahli/balu Persatuan Veteran ATM (PVATM). Di samping itu, sebanyak RM2.4
juta telah disalurkan oleh LTAT dan Syarikat Kumpulannya menerusi
Jabatan Hal Ehwal Veteran dan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera untuk
pelbagai aktiviti kemasyarakatan, sukan dan perayaan termasuk Kempen
Hari Pahlawan dan sumbangan bungkusan Hari Raya. Sumbangan zakat
perniagaan sebanyak RM353,000 juga telah disampaikan kepada Tabung Zakat
ATM.
Sehingga kini LTAT, Syarikat Kumpulan serta YWP telah menyumbang
sebanyak RM209.7 juta untuk pelbagai program biasiswa dan bantuan
kewangan yang dihulurkan kepada anggota angkatan tentera layak sama ada
yang masih berkhidmat atau yang telah bersara.
Di bawah program perumahan mampu milik, LTAT menerusi anak syarikat
milik penuhnya iaitu Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM),
meneruskan usaha untuk menyediakan dan menawarkan rumah mampu milik
kepada ahli-ahli yang layak. Pada peringkat ini, selain projek perumahan
yang telah lama dijalankan dan terjual dengan berjaya kepada ahli-ahli
LTAT, PPHM kini merancang untuk membina 2,988 rumah mampu milik di Taman
LTAT, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, 210 di Mutiara Rini, Johor dan 300
rumah mampu milik di Bandar Segari, Perak, khusus untuk warga tentera
yang sedang berkhidmat atau yang telah bersara.
Di samping itu, perbadanan-perbadanan milik penuh LTAT terus
melaksanakan pelbagai program CSR untuk anggota-anggota angkatan
tentera. Antaranya termasuk subsidi sebanyak RM7.7 juta bagi tahun 2015
bagi membantu anggota tentera menangani peningkatan kos sara hidup.
Usaha ini juga disertai oleh Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA)
yang telah menawarkan barangan makanan asas pada harga yang lebih
rendah daripada pasaran.
Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT), sebuah
perbadanan milik LTAT telah berjaya melatih 11,446 anggota ATM yang akan
dan telah bersara dalam pelbagai program kemahiran dan keusahawanan
bagi membolehkan mereka untuk menceburi kerjaya kedua selepas bersara.
Sehingga kini, PERHEBAT telah melatih 195,790 anggota tentera yang akan
dan telah bersara dalam program tersebut.
Dikeluarkan oleh : Lembaga Tabung Angkatan Tentera
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment