Wednesday, October 28, 2015
1MDB Tidak Pernah Gagal Bayar Faedah, Pinjaman Pokok
KUALA LUMPUR : Syarikat pembangunan strategik, 1Malaysia Development Bhd
(1MDB), tidak pernah gagal membayar balik pinjamannya dan komited
sepenuhnya untuk melunaskan hutangnya sebanyak RM42 bilion.
Langkah itu akan memberi lebih ruang untuk syarikat melaksanakan pelan
rasionalisasinya dengan berkesan, kata Presiden dan Pengarah Eksekutif
Kumpulan, Arul Kanda Kandasamy.
"Kami secara konsisten menjelaskan bayaran faedah dan pinjaman pokok tepat pada masanya.
"Pada 2015, kami telah membayar balik pinjaman pokok dan juga faedah,"
katanya kepada pemberita selepas rakaman untuk program khas bertajuk
'Bernama TV dengan Arul Kanda' yang akan disiarkan Rabu pada jam 10
malam di Astro 502, HyppTV 410 dan www.bernama.com.
"Sudah tentu kami mempunyai faedah untuk dibayar apabila tiba masanya," katanya.
Akaun 1MDB yang telah diaudit dan boleh diperolehi orang ramai mulai 31
Mac 2010 hingga 31 Mac 2014 menunjukkan jumlah hutangnya berjumlah RM42
bilion.
Arul Kanda berkata, pada Februari 2015, 1MDB telah membayar balik
pinjaman RM2 bilion kepada satu konsortium bank tempatan dan berikutan
itu ia telah menjelaskan kira-kira RM800 juta bayaran balik pinjaman
pokok berkaitan hutang dengan bank tempatan lain.
Pada Jun, 1MDB membayar balik RM3.6 bilion atau US$975 juta pinjaman
bersindiket kepada satu konsortium bank asing diketuai Deutsche Bank.
"Pada tahun ini kami secara konsisten memenuhi pembayaran balik pinjaman
pokok dan menjelaskan faedah ke atas hutang 1MDB," katanya.
Ketika ini, kata Arul Kanda, 1MDB memberi tumpuan kepada pelan rasionalisasi yang diumumkan pada Jun.
Pelan itu mengandungi tiga bahagian penting - pertama membabitkan jualan
ekuiti dalam syarikat tenaga, Edra Global Energy Bhd, dengan harapan
dapat mengurangkan hutang 1MDB di antara RM16 dan RM18 bilion melalui
penjualan aset tenaga Edra.
Keduanya, ialah pertukaran ekuiti hutang dengan dana kekayaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC).
Langkah itu akan menyaksikan IPIC mengambil alih hutang tertentu selepas
1MDB memindahkan wang tunai dolar US dan unit dana milik 1MDB kepada
IPIC.
Langkah itu akan mengurangkan hutang 1MDB kira-kira RM16 bilion.
Akhir sekali, jualan ekuiti 1MDB dalam Bandar Malaysia bernilai kira-kira RM11 bilion.
Arul Kanda berkata, jumlah jualan semua aset terbabit akan menyebabkan pengurangan besar dalam jumlah hutang 1MDB.
Bagi Bandar Malaysia, yang menarik minat tinggi pelabur syarikat China,
Timur Tengah dan tempatan, beliau berharap 1MDB akan menerima bidaan
terikat terakhir untuk rakan kongsi pembangunan dalam tempoh dua minggu.
Menurutnya, rakan kongsi terbabit mungkin terdiri daripada pelabur
tempatan dan antarabangsa secara bersendirian atau melalui pembentukan
konsortium.
Dua minggu lalu, 1MDB mengumumkan yang empat pembida telah disenarai
pendek sebagai rakan kongsi pembangunan untuk semua 197 hektar Bandar
Malaysia.
"Kami kekal yakin dalam tempoh beberapa minggu lagi kami akan menerima
bidaan terikat terakhir dalam usaha kami memutuskan siapa yang akan
menjadi rakan kongsi pembangunan Bandar Malaysia," katanya.
Mengenai Tun Razak Exchange (TRX), Arul Kanda berkata, 1MDB telah
menjual beberapa lot tanah di TRX bernilai RM1.3 bilion kepada pelabur
tempatan dan antarabangsa.
Menurut beliau, apa yang paling penting adalah untuk memastikan 1MDB
memenuhi obligasi hutangnya dan komitmen infrastruktur untuk TRX dan
Bandar Malaysia.
"Ini adalah elemen penting bagi memastikan pelan rasionalisasi boleh berjaya.
"Kami sedang memenuhi pembayaran balik faedah dan pinjaman pokok dan
kemudiannya kami akan mempuyai ruang untuk mencapai objektif ini,"
katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment