Wednesday, October 28, 2015
Kerjasama Dua Koalisi : Bunyinya Menarik Tapi.....
SHAH ALAM : Kerjasama politik dua pembangkang sejak 1990 antara Angkatan
Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat tidak boleh lagi dijadikan sebagai
‘kayu pengukur’ untuk mewujudkan dua pakatan pembangkang secara serentak
pada hari ini.
Demikian kata Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad sambil
menegaskan kombinasi dua koalisi itu bukan menjadi perkara utama,
sebaliknya ia sekadar untuk mewujudkan persefahaman tertentu khususnya
antara Pas dan Amanah.
“Perbandingan kedudukan politik pembangkang hari ini dengan sejarah
kerjasama dua koalisi pembangkang pada 1990 secara serentak, adalah
menarik tetapi tidak semestinya seluruhnya tepat mahupun sesuai dibuat.
“Selama tujuan dan cita-cita membuat perubahan itu sama-sama didukungi
semua parti-parti pembangkang, sama ada kombinasi pendekatan 'koalisi'
atau sekadar tahap 'persefahaman', bukan perkara paling utama,” katanya
kepada pihak media.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan
bahawa Pakatan Harapan dan Pakatan Rakyat boleh wujud secara serentak.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, keadaan itu pernah wujud suatu
ketika dulu apabila Pas bekerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46 yang
diketuai Tengku Razaleigh Hamzah.
“Perkara yang sama boleh berlaku sekarang. Satu Pakatan Harapan PKR, DAP
dan PAN serta satu lagi Pakatan (Rakyat) dengan Pas dan PKR.
“Kami masih bersama. Tanpa kami (Pas) tiada kerajaan (di Selangor)
selepas Tan Sri Khalid Ibrahim memecat semua exco DAP dan PKR,”
Takiyuddin dipetik sebagai berkata.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly juga berkata, pengwujudan dua koalisi
secara serentak itu lebih menjurus ke arah memberi kelebihan dalam
pilihan raya untuk mengekalkan sokongan pengundi sedia ada namun ia
harus ditangani dengan rasional.
“Perkara terperinci tentang pilihan raya walau sukar macam mana pun ia
pastinya boleh diatasi dengan sikap kewajaran, tidak terlalu emosi serta
berlandaskan pengetahuan-maklumat kajian,” ujarnya.
Beliau berkata lagi, formula koalisi itu hanya akan diputuskan bersama
dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan bagi menghadapi PRU14 akan datang.
“Ini pastinya, akan dibuat dalam semangat membuat perancangan untuk
memacu cita-cita perubahan yang kini dituntut oleh rakyat merentasi
kaum, agama dan budaya, di bandar, pinggir bandar dan luar bandar serta
rentas jantina dan umur,” katanya lagi.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment