Friday, October 23, 2015
4.7 Juta Isi Rumah Berpendapatan Dapat Manfaat BR1M
KUALA LUMPUR : Menyedari kenaikan kos sara hidup, kerajaan terus
komited untuk meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah melalui
penambahbaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Menurut laporan ekonomi 2015/2016 , sehingga Ogos 2015, seramai 4.7
juta isi rumah berpendapatan rendah dan 2.7 juta individu bujang
menerima manfaat daripada BR1M berjumlah RM 3.5 billion.
Laporan itu menyebut pada tahun 2015, kerajaan menaikkan amaun BR1M
daripada RM650 kepada RM950 untuk isi rumah berpendapatan bulanan
RM3,000 dan ke bawah serta daripada RM450 kepada RM750 untuk isi rumah
berpendapatan sederhana antara RM3,001 dan RM4,000 sebulan.
“Bayaran BR1M dibuat secara tiga kali iaitu pada bulan Januari, Mei
dan September 2015. Di samping itu, BR1M untuk individu bujang berumur
21 tahun ke atas dengan pendapatan bulanan di bawah RM2,000 telah
dinaikkan daripada RM300 kepada RM350.
“Sementara itu, kerajaan menggantikan insurans takaful berkelompok
(i-BR1M) dengan Skim Khairat Kematian bagi melayakkan waris penerima
BR1M menerima RM1,000 sekiranya berlaku kematian,” kata laporan itu.
Menurut laporan itu, kerajaan juga terus komited untuk memastikan
penyeragaman harga barang di seluruh negara melalui Akta Kawalan Harga
dan Antipencatutan (PCAP) 2011.
Lebih 1.5 juta pemeriksaan dijalankan di seluruh negara sehingga
September 2015 melalui OPS CATUT bermula awal tahun ini untuk
meningkatkan penguatkuasaan bagi menghalang kenaikan harga berikutan
pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
“Sebanyak 2063 notis dikeluarkan kepada peniaga di bawah Seksyen 21,
Akta PCAP 2011 kerana disyaki mengambil untung berlebihan,” kata laporan
itu.
Bagi mengawal dan memantau harga barangan, seramai 1,218 Pegawai
Pemantauan Harga (PPH) ditugaskan untuk memantau lebih 500 barangan
meliputi barangan runcit, perkakasan rumah dan makanan bermasak.
Menurut laporan itu, bagi mengukuhkan pemantauan harga, Skuad
Pengguna terdiri daripada sukarelawan diwujudkan untuk membantu aktiviti
pemantauan harga barangan dan perkhidmatan, dan sehingga Ogos 2015,
sejumlah 233,243 sukarelawan yang terbabit.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment