Friday, October 23, 2015
Bajet 2016: Tiada GST Untuk Ubat-Ubatan Terkawal
KUALA LUMPUR : Tiada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikenakan
ke atas semua jenis ubat penyakit tidak berjangkit, merupakan antara
tujuh langkah penambahbaikan layanan GST berkuat kuasa menjelang 1 Jan
depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata penambahbaikan itu
melibatkan semua jenis ubat terkawal di bawah senarai Racun Kumpulan
A,B,C,D serta tambahan sebanyak 95 jenama ubat ‘boleh dibeli kaunter’.
“Ini meliput ubat bagi 30 jenis penyakit seperti ubat kanser, kencing
manis, darah tinggi dan sakit jantung. Ini melibatkan peningkatan dua
kali ganda daripada 4,215 kepada 8,630 jenama ubat,” katanya ketika
membentangkan Bajet 2016 bertajuk ‘Mensejahtera Kehidupan Rakyat’ di
Dewan Rakyat hari ini.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata penambahbaikan kedua adalah
melibatkan tiada GST dikenakan ke atas pelbagai jenis barangan makanan
dan masakan termasuk susu bayi dan kanak-kanak berasaskan kacang soya
dan susu organik.
Perdana Menteri berkata bagi membolehkan petani berskala kecil
mendpat manfaat daripada Skim Kadar Rata di bawah GST, had jualan
tahunan untuk tujuan pendaftaran di bawaj skim itu diturunkan kepada
RM50,000 daripada RM100,000, yang merupakan penambahbaikan ketiga.
Najib berkata penambahbaikan keempat pula adalah syarikat-syarikat
terlibat aktiviti penyelenggaran, pembaikan dan baik pulih di dalam
industri aeroangksapula akan dibenarkan menyertai ‘Approved Trader
Scheme’ dan diberikan pelepasan GST ke atas pengimportan barang-barang.
Penambahbaikan kelima pula membabitkan pelepasan GST ke atas
pengimportan semula barangan yang telah dieksport secara sementara bagi
tujuan promosi, penyelidikan atau pameran, katanya.
Menurutnya, pelepasan GST juga diberikan kepada pengimportan semula
peralatan dieksport secara sementara bagi tujuan sewaan dan pajakan
seperti peralatan pelantar minyak juga platform terapung.
Seterusnya, katanya pelepas GST turut diberikan untuk perolehan bahan
dan peralatan mengajar kepada penyedia latihan kemahiran dan vokasional
yang menjalankan program diluluskan di bawah Akta Pembangunan Kemahiran
Kebangsaan 2006.
Selain pelepasan dan penambahbaikan tersebut, Najib turut mengumumkan
pengguna telefon bimbit akan mendapat kembali rebat bersamaan dengan
amaun GST yang dibayar, yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun
perkhidmatan pembayar mereka berkuat kuasa mulai 1 Jan hingga 31 Dis
2016.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata perkhidmatan pengangkutan
penumpang udara domestik kelas ekonomi bagi laluan Perkhidmatan Udara
Luar Bandar untuk manfaat penduduk pedalaman di Sabah, Sarawak dan
Labuan turut dikecualikan GST.
Najib dalam pada itu memberitahu Dewan Rakyat, sehingga kini,
terdapat hampir 400,000 jumlah syarikat yang telah berdaftar dengan GST
dengan kadar patuh serahan mencapai lebih 90 peratus.
Malaysia mula melaksanakan GST pada 1 April lepas yang dilihat
sebagai satu pembaharuan penting dalam usaha memperkukuh ekonomi negara
dengan mengambil kira kepentingan rakyat.
Langkah itu menyaksikan Malaysia menyertai barisan lebih 160 negara
di dunia yang telah memperkenalkan GST, termasuk tujuh negara rantau
Asia Tenggara yang menganggotai ASEAN.
Pada kadar GST enam peratus – kadar yang paling rendah dalam kalangan
negara ASEAN – kerajaan menyasarkan hasil dikutip untuk kegunaan
pembangunan dan meningkatkan infrastruktur sosial.
GST dilaksanakan bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan sebanyak 16 peratus yang diguna pakai sebelum pelaksanaan GST.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment