Wednesday, October 28, 2015
Inilah Yang Kita Mahukan..... Rebat Kad Prabayar Hanya Untuk Warganegara Malaysia
CYBERJAYA : Rebat bagi pengguna telefon kad prabayar yang diumumkan dalam
Bajet 2016 hanya akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan tidak
melibatkan warga asing.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak
berkata, kerajaan tidak memberi subsidi bagi caj telefon bimbit kepada
bukan warganegara.
Beliau berkata, keputusan untuk memberikan rebat kepada pengguna kad
prabayar menunjukkan kerajaan mendengar kebimbangan dan permintaan
rakyat.
"Rebat ini merupakan satu tanggungjawab bersama yang dibayar oleh kerajaan dan syarikat telekomunikasi, untuk rakyat Malaysia.
"Warga asing tidak akan mendapat rebat ini," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.
Beliau berkata, antara isu yang ditangani termasuk mekanisme bagi
memastikan bahawa pengguna warga asing tidak akan diberikan rebat
berkenaan, tempoh masa untuk mengkreditkan rebat dan jumlah yang
dikongsikan oleh kementerian dan syarikat telekomunikasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet
2016 baru-baru ini mengumumkan bahawa pengguna kad prabayar akan
mendapatkan rebat berdasarkan jumlah Cukai Barangan dan Perkhidmatan
(GST) yang telah dibayar, dari 1 Januari sehingga 31 Disember tahun
depan.
Terdapat seramai 33 juta pengguna perkhidmatan kad telefon prabayar di
negara ini, menjadikannya sehingga 80 peratus daripada jumlah pengguna
telefon bimbit.
Daripada jumlah itu, dianggarkan lima juta dipercayai adalah pengguna warga asing.
Menteri berkata, kad prabayar masih tertakluk kepada GST tetapi pengguna
akan mendapat rebat dan dapat menggunakan masa bercakap bersamaan
dengan jumlah yang dibayar.
Sebagai contoh, katanya, sekiranya pengguna membayar RM10, masa bercakap bernilai 60 sen akan dikreditkan ke dalam akaun.
"Bagaimanapun, pengguna warga asing tidak akan menikmati faedah ini.
Jika mereka membeli kad prabayar RM10, tambah nilai mereka hanya
bernilai RM9.40 selepas dikenakan GST," kata Mohd Salleh.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment