Sunday, October 25, 2015
Ke Mana Hala Tuju 'Erdogan PAS' Dalam Amanah?
KUALA LUMPUR : Akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 21 Oktober 2015
menyiarkan artikel mengenai kempen agresif, Parti Amanah Negara
(Amanah) untuk menarik sokongan rakyat.
Artikel yang ditulis oleh penulis tamu, Datuk Lee Yew Meng bertajuk
‘Erdogan Pas tubuh parti Amanah’ disiarkan dalam ruangan Pendapat
halaman B9.
Pada 7 Oktober lalu, ramai orang berpusu-pusu membeli meja berharga
RM1,000; RM3,000 dan RM5,000 sebuah pada majlis makan malam anjuran
Persatuan Hainan Selangor dan Wilayah Persekutuan bagi mengutip dana
untuk Amanah.
Antara penceramah yang hadir pada majlis itu ialah Pengerusinya, Mohamad
Sabu dan ahli jawatankuasa tertinggi parti itu, Dr. Dzulkefly Ahmad.
Selepas selesai majlis yang dihadiri seramai 900 orang, jumlah
keseluruhan yang dikutip berjumlah RM220,000. Sambutan yang diberikan
oleh orang Cina terhadap majlis itu amat luar biasa.
Dalam majlis itu, Dzulkefly telah menjelaskan kepada hadirin bahawa
parti itu akan bersikap terbuka kepada sesiapa sahaja termasuk kaum lain
tetapi akan memastikan perjuangannya 100 peratus menepati kehendak
Islam.
Tambah Dzulkefly, beliau tidak menganggap kekalahannya dalam pemilihan
Pas tahun ini sebagai bala, sebaliknya rezeki untuk membolehkannya terus
maju ke hadapan.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan akan hakikat kesukaran Pakatan
Harapan yang disertai oleh Amanah untuk menarik sokongan orang Melayu
terutamanya di pedalaman yang mempunyai persepsi pakatan baharu itu
dikuasai oleh DAP.
Katanya, orang Melayu di kampung menganggap Pakatan Harapan adalah satu
pakatan yang bermuslihat. Mereka sanggup miskin, namun tidak mahu
diperintah oleh orang Cina.
Berikutan pendedahan oleh Dzulkefly, penulis berpendapat Amanah hanya
akan mampu menarik sokongan penduduk bandar berbilang kaum yang
berpendirian liberal. Di kawasan penempatan orang Melayu terutama di
kampung-kampung mereka akan disisihkan. Parti berkenaan akan dihumban ke
dalam sungai ataupun hutan.
Jarak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) masih ada 30 bulan lagi.
Kemusykilan penulis ialah bagaimana parti itu dapat membuatkan pengundi
Melayu betul-betul yakin untuk menyokongnya.
Jika Amanah berjaya sekalipun untuk menarik sokongan orang Melayu di
kampung-kampung dan ramai wakil rakyat parti itu menang pada PRU-14,
penulis berpendapat Amanah akan berubah menjadi seperti UMNO yang tetap
akan mengambil kira kehendak majoriti orang Melayu yang tidak mahu
dikuasai kaum lain.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment