Monday, October 26, 2015
Kerajaan Rancang Tambah Baik Aset Pengurusan Bencana Melalui Bajet 2016 – Shahidan
KUALA LUMPUR : Kerajaan merancang menambah baik beberapa
kelengkapan pengurusan bencana termasuk banjir dan jerebu melalui
peruntukan Bajet 2016.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata
penambahbaikan aset termasuk pembelian helikopter yang mempunyai
kapasiti lebih besar serta mampu menjalankan operasi bagi jangka masa
lebih lama.
“Kalau kira keadaan sekarang ini helikopter yang ada hanya mampu
terbang dua jam setengah hingga tiga jam setengah sahaja, jadi kalau
kita pergi ke tempat banjir kita tak boleh lama di situ, mungkin kita
boleh selamatkan beberapa orang dan kena terbang balik untuk isi minyak
dan sebagainya,” katanya kepada media di lobi Parlimen di sini, hari
ini.
Bajet 2016 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak pada Jumaat menyaksikan peruntukan besar diberi terhadap
sektor keselamatan dan pengurusan bencana termasuk RM180 juta untuk
penubuhan Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi memperkukuhkan
pengurusan bencana alam.
Dalam pada itu Shahidan berkata kerajaan juga merancang untuk membeli
sebuah lagi pesawat Bombardier yang mana kini hanya Malaysia mempunyai
pesawat itu di Asia.
“Sekarang kita ada dua buah (pesawat Bombardier) yang kini digunakan
bagi operasi memadam kebakaran hutan di Indonesia dan ia menghadapi
kesusahan sikit kerana bila kita buat penyelenggaraan hanya satu boleh
pakai, dan kalau salah satu rosak kedua-duanya tak boleh pakai. Jadi
kalau kita ada tiga itu yang terbaik,” katanya.
Selain itu, Shahidan berkata kerajaan telah bersiap siaga menghadapi
musim tengkujuh dengan kelengkapan beberapa aset termasuk enam buah
helicopter oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Katanya agensi penguatkuasa yang lain seperti Polis Diraja Malaysia
(PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Pertahanan Awam
(JPAM) akan turut mempersiapkan aset mereka.
“Seperti JPAM bila sampai banjir yang mendesak mereka juga akan
menyewa helikopter, jadi pengemblengan tenaga mampu menyelesaikan
masalah pengurusan bencana,” katanya.
Pengurusan pasca banjir juga akan diberi perhatian utama kerajaan
memandangkan dari pengalaman banjir besar tahun lepas kerajaan menerima
maklum balas berkenaan kelemahan pengurusan pasca banjir, katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment