Monday, October 26, 2015
Bajet 2016: Pulau Pinang Tidak Dipinggirkan – Zainal Abidin
KEPALA BATAS : Kerajaan Persekutuan tidak pernah meminggirkan
sebaliknya sentiasa adil mengagihkan peruntukan di negeri-negeri dalam
setiap bajet tahunannya, kata Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan
Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman.
Beliau berkata pengagihan peruntukan itu dibuat selepas menimbang semua aspek dan keperluan negeri-negeri dari semasa ke semasa.
Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan kononnya kerajaan Persekutuan
meminggirkan Pulau Pinang dalam Bajet 2016 kerana peruntukan besar
disalurkan kepada negeri ini sepanjang Rancangan Malaysia Ke-10.
Beliau memberitahu sidang berita di sini, hari ini bahawa Pulau
Pinang juga memperoleh hasil banyak menerusi projek-projek pembangunan
seperti Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang dan rancangan tebus guna
tanah seluas 607 hektar yang dapat menyumbang kepada pembinaan
infrastruktur di negeri itu.
“Mungkin atas dasar itu, kerajaan Persekutuan rasa kerajaan negeri
dah banyak hasil…akan tambah tanah, akan buat projek pembangunan dapat
hasil untuk membangunkan negeri Pulau Pinang. Jadi tidak disenaraikanlah
projek-projek (baharu) buat masa ini.
“Saya yakin di masa depan, kalau projek itu sudah berjalan dan
mungkin tidak cukup kewangan, kerajaan Persekutuan boleh tambah. Tapi
buat masa ini tumpuan kerajaan Persekutuan adalah kepada Sabah dan
Sarawak yang masih ketinggalan,” katanya.
Zainal Abidin mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan
Eng yang kesal apabila negeri ini seolah-olah dipinggirkan dalam Bajet
2016 yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada
Jumaat lepas.
Antara lain, Bajet 2016 memperuntuk lebih RM29 bilion dikhaskan
kepada Sabah dan Sarawak termasuk RM16.1 billion untuk pembinaan
Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sarawak dan RM12.8 bilion untuk LPB di
Sabah.
Zainal Abidin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang
berkata negeri ini telah mempunyai dua jambatan dan lebuh raya selain
Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang telah dibaik pulih.
“Kini pembangunan di negeri-negeri lain pula harus diberi perhatian.
Bagi kesejahteraan rakyat, semua rakyat di negeri ini terima (manfaat)
termasuklah BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia). Semua rakyat Pulau Pinang
dapat pelepasan cukai, sekolah, hospital pun dapat.
“Projek yang diumumkan sebelum ini seperti projek membaik pulih
Hospital Seberang Jaya dan Hospital Bersalin Wanita tetap diteruskan
walaupun ia tidak diumumkan dalam bajet kali ini,” katanya.
Terdahulu, Zainal Abidin mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Datuk Seri Shahidan Kassim melancarkan penubuhan Pasukan Tindak Balas
Kecemasan (CDERT) peringkat negeri di sini, hari ini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment