Monday, October 26, 2015
Rakyat Akan Dapat Lebih Banyak Peruntukan Jika Harga Minyak Naik, Kata Ahmad Husni
KUALA LUMPUR : Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni
Hanadzlah berkata lebih banyak peruntukan akan disalurkan kepada rakyat
jika harga minyak mentah Brent naik melangkaui paras US$48 setong tahun
depan.
Katanya jika harga minyak naik, pendapatan kerajaan akan bertambah sekali gus membolehkan ia berbelanja lebih.
“Jika jatuh lebih rendah daripada US$48 setong, kita perlu menyemak
semula bajet kerana kita tidak boleh mencatat defisit melebihi paras 3.2
peratus dan kita juga tidak boleh melangkaui nisbah hutang berbanding
KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar),” katanya.
Ahmad Husni ditemui pemberita selepas melancarkan Persidangan
Akauntan Antarabangsa 2015 Institut Akauntan Malaysia (MIA), di sini
hari ini.
Turut hadir Presiden MIA Datuk Mohammad Faiz Azmi dan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.
Ahmad Husni berkata semakan semula Bajet 2016 itu perlu bagi melindungi ekonomi dan rakyat.
“Kita perlu melindungi ekonomi untuk memastikan kita mencatat
pertumbuhan yang mampan dan berdasarkan unjuran, kita boleh mencatat
pertumbuhan KDNK empat hingga lima peratus,” katanya.
Beliau berkata kerajaan perlu memastikan negara menjadi ekonomi
berpendapatan tinggi dengan menumpukan kepada produktiviti, melibatkan
sektor pendidikan dan latihan.
Persidangan dua hari sehingga esok itu bertemakan ‘Today’s Synergy,
Tomorrow’s Reality’ berjaya menarik hampir 2,800 peserta tempatan dan
antarabangsa daripada komuniti perdagangan dan industri serta sektor
awam, firma swasta dan ahli akademik.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment