Monday, October 26, 2015
Pemimpin Dan Anggota UMNO Perlu Guna Saluran Parti Untuk Bersuara – Zainal Abidin
KEPALA BATAS : UMNO Pulau Pinang berpendirian bahawa setiap
pemimpin dan anggota parti mempunyai saluran yang betul untuk bersuara
dan memberi pandangan terhadap sesuatu perkara berkaitan parti dan
kerajaan.
Pengerusinya Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata dakwaan yang
mengatakan pemimpin UMNO penakut dan tidak berani bersuara adalah tidak
benar kerana mereka bersuara menerusi saluran parti.
“UMNO Pulau Pinang merasakan kami berhemah, kami menggunakan saluran
parti. Ada perkara tidak perlu kami ceritakan secara hebahan awam, ada
perkara kami buat secara dalaman. Kami (boleh) bagi pandangan, macam
saya pun kalau ada apa-apa yang ingin saya sampaikan, saya boleh terus
SMS kepada presiden parti.
“Itu adalah suara saya yang mewakili UMNO negeri. Suara sekarang tak
semestinya menjerit, panggil sidang media. Suara kami boleh sampai
melalui Whatsapp, Telegram, SMS,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Presiden
UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa pemimpin dalam parti dan
kerajaan tidak berani bersuara untuk menyatakan kebenaran kerana mahu
melindungi kepentingan politik dan kedudukan masing-masing.
Muhyiddin pada program ‘Bicara Minda: Berani Kerana Benar’ anjuran
Sinar Harian pada Sabtu lepas, menggesa pemimpin dalam UMNO dan kerajaan
supaya lebih berani mengambil tindakan serta melakukan perubahan jika
melihat perkara mungkar.
Zainal Abidin berkata UMNO Pulau Pinang menghormati pandangan
Muhyiddin itu, namun perkara itu perlu dilakukan secara berhemah dan
mengikut saluran yang betul kerana ia penting untuk memupuk disiplin
serta kewibawaan sesebuah parti.
“Bayangkan kalau semua orang bersuara, mengkritik presiden di luar
parti, ia akan menjadi huru-hara. Kita ada saluran, boleh dibincang
dalam mesyuarat Majlis Tertinggi,” katanya.
Terdahulu, Zainal Abidin mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, melancarkan penubuhan Pasukan Tindak
Balas Kecemasan (CDERT) peringkat negeri, di sini hari ini.
Sehingga kini, sebanyak 494 komuniti ditubuhkan sebagai pasukan CDERT di Jabatan Pertahanan Awam Pulau Pinang.
Pasukan itu ditubuhkan dengan matlamat melahirkan komuniti
berkeupayaan mengambil tindakan awal bagi mencegah kemalangan dan
bencana di kawasan kejiranan melalui ilmu Pertahanan Awam, sementara
menunggu bantuan daripada pasukan penyelamat.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment