Tuesday, October 27, 2015
Najib Dan Tengku Adnan Berjaya Gantung Prosiding Kes Saman PKR
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor hari ini berjaya menggantung prosiding kes saman oleh PKR atas
dakwaan berbelanja berlebihan dalam kempen pilihan raya umum (PRU)
ke-13.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab
membenarkan permohonan Najib dan Tengku Adnan serta memutuskan terdapat
keadaan khas bagi membolehkan kedua-dua defendan menggantung prosiding
itu sehingga permohonan mereka untuk membatalkan saman itu selesai.
Beliau berkata jika permohonan untuk menggantung prosiding itu tidak
dibenarkan, ia akan menyebabkan prejudis kepada Najib dan Tengku Adnan
kerana mereka dikehendaki membekalkan dokumen berkaitan kes itu kepada
plaintif.
“Jika dokumen-dokumen itu diserahkan kepada plaintif-plaintif dan
sekiranya permohonan defendan-defendan (Najib dan Tengku Adnan) untuk
membatalkan writ saman dibenarkan, mahkamah dapati ia akan prejudiskan
mereka,” katanya.
Mohd Zaki berkata plaintif-plaintif bagaimanapun tidak akan mengalami
prejudis sekiranya mahkamah membenarkan permohonan Najib dan Tengku
Adnan kerana mereka boleh mendapatkan dokumen berkaitan kes itu
kemudian, jika mahkamah tidak membenarkan permohonan membatalkan saman
itu.
Mohd Zaki menetapkan 11 Nov sebagai tarikh akhir untuk pengurusan kes
bagi membolehkan semua pihak memfailkan afidavit berhubung kes itu.
“Kalau boleh saya tidak mahu kes ini dilambatkan,’ katanya.
Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Tengku
Adnan juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa arahan daripada anak
guamnya juga supaya menyegerakan kes itu.
Pada 12 Ogos lepas, PKR memfailkan saman terhadap Najib atas dakwaan
berbelanja berlebihan dalam kempen PRU ke-13 dan melanggar undang-undang
pilihan raya.
Plaintif dalam saman itu ialah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar
Ibrahim, yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana sabitan
kes liwat, Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Anggota
Parlimen Batu Tian Chua, bekas Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin
Nasution Ismail dan anggota Gerakan Harapan Baru Dr Dzulkefly Ahmad.
Mereka menamakan Najib, Tengku Adnan, firma pelaburan negara
1Malaysia Development Berhad dan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai
defendan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment