Tuesday, October 27, 2015
Jerebu: Penyebar Maklumat Palsu Tutup Sekolah Berdepan Tindakan
KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan tidak akan teragak-agak mengambil
tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan maklumat palsu
melalui media sosial mengenai penutupan sekolah akibat jerebu.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, selain siasatan melalui
penasihat undang-undang kementerian, pihaknya akan mendapatkan bantuan
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan
perkara itu tidak berlarutan.
“Setakat ini kita dapati terdapat lima hingga enam kes melibatkan
penyebaran maklumat palsu ini, antaranya ada yang apabila keluar
‘statement’ sekolah ditutup sehari oleh kementerian, ada orang buat
berita palsu tulis dua hari,” katanya dalam sidang media di lobi
Parlimen di sini hari ini.
Beliau berkata, terdapat juga kenyataan di media sosial iaitu ‘guru
jangan berangan untuk cuti’, yang mana perkara itu tidak sepatutnya
berlaku kerana ia menimbulkan rasa marah dalam kalangan guru.
Mahdzir meminta pengamal media khususnya media sosial supaya tidak
mempermainkan isu penutupan sekolah akibat jerebu kerana ia boleh
mengelirukan banyak pihak terutama sekolah dan ibu bapa.
“Oleh kerana banyak kenyataan yang mengelirukan, kita (kementerian)
terpaksa pula buka kaunter khas dan tunggu orang datang atau telefon
untuk buat penafian dan membetulkan kekeliruan masyarakat. Keadaan ini
tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Sehubungan itu, Mahdzir meminta ibu bapa dan guru supaya merujuk
kenyataan mengenai penutupan sekolah daripada sumber sahih seperti laman
web rasmi kementerian.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment