Tuesday, October 27, 2015
Pakatan Harapan Parti ‘Bas Ekspres’ – Abdul Hadi
KUALA LUMPUR : Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyifatkan parti baru
Pakatan Harapan sebagai ‘bas ekspres’ yang jelas tidak akan mencapai
matlamat dalam membela rakyat di negara ini.
Menurut presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, PAS tidak akan sama
sekali berkompromi dengan Pakatan Harapan sebaliknya akan terus menjadi
sebuah parti pembangkang yang berpegang teguh kepada prinsip sebuah
parti berpandukan Islam.
“PAS tidak akan menyertai sebarang rangka yang tidak berteraskan
Islam kerana kami tidak mungkin naik bas ekspres yang tidak sampai
destinasi yang hendak dituju, lepas itu kena jalan kaki.
“Kami mahu proses demokrasi yang beradab serta berakhlak dan tidak
melupai konsep Raja Berperlembagaan malah pada masa sama mesti
memelihara hubungan masyarakat majmuk,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di lobi Parlimen, hari ini.
Malah Abdul Hadi juga yakin PAS yang selama ini berjuang bersendirian
akan tetap berdiri sebagai sebauh parti yang akan memberi harapan
kepada rakyat.
“Kami tidak punyai (harapan) dengan (Pakatan) Harapan, kami akan
sampai ke destinasi yang kami mahukan. PAS tidak bergantung kepada
mana-mana parti, yang bergantung itu parti lain,” kata anggota Parlimen
Marang itu.
Bagaimanapun, katanya PAS tidak bongkak dengan kekuatan yang dimiliki
parti berusia 64 tahun itu sebaliknya sedia bekerjasama dengan semua
pihak termasuk Barisan Nasional (BN), DAP dan PKR dalam semua perkara
demi kepentingan rakyat.
“Kerjasama ini adalah kerana PAS lebih memelihara hubungan dengan
rakyat bukan sahaja dengan anggota Parlimen. Kami sedia berbahas di
Parlimen atau bertemu dengan pihak kerajaan dengan mengetengahkan
pelbagai alternatif yang mementingkan hak rakyat,” katanya.
September lalu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
mengumumkan bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah
Negara (Amanah) bersetuju menubuhkan pakatan pembangkang baharu dikenali
sebagai Pakatan Harapan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment