Tuesday, October 27, 2015
Pembinaan Rumah Mangsa Banjir Di Kelantan Dijangka Siap Sepenuhnya Jun 2016 – Mustapa
KOTA BHARU : Kerajaan Persekutuan memberi jaminan pembinaan
kesemua 1,759 rumah kekal baharu (RKB) untuk mangsa banjir di Kelantan
akan siap sepenuhnya antara Mac dan Jun tahun depan.
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan Datuk Seri
Mustapa Mohamed berkata tumpuan sekarang adalah untuk membina rumah yang
belum siap berikutan kerajaan berjaya menyelesaikan beberapa isu yang
melambatkan pembinaan rumah tersebut terutama pemilikan tanah untuk
tapak rumah.
“Janji asal sebelum akhir tahun ini (kesemua rumah siap), kita tidak
menyangka bahawa isu tanah begitu rumit sekali dan sekarang ini soal
tanah untuk pembinaan rumah tersebut di semua jajahan terbabit sudah
selesai,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
berkata tanah yang disediakan untuk pembinaan rumah tersebut terutama di
kawasan Gua Musang dan Kuala Krai melibatkan tanah milik agensi
kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan individu.
Beliau berkata setakat ini daripada 1,759 RKB itu, kerajaan
persekutuan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah menyiapkan pembinaan
142 RKB manakala 301 RKB lagi dalam pembinaan dan 218 RKB di peringkat
pra pembinaan.
Katanya pada peringkat awal, dianggarkan 1,827 rumah musnah akibat
banjir yang berlaku pada Disember tahun lepas, bagaimanapun selepas
semakan dibuat, hanya 1,759 rumah musnah dan layak dibina semula dengan
RKB.
Sementara menunggu RKB siap, mangsa banjir yang kehilangan rumah ditempatkan sementara di rumah transit.
Mengenai 127 keluarga yang masih tinggal di Kem Program Latihan
Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani di Gua Musang, Mustapa berkata daripada
jumlah itu, hanya 94 keluarga adalah mangsa banjir manakala 33 keluarga
lagi bukan mangsa banjir.
Beliau berkata pihak PLKN membenarkan 94 keluarga itu tinggal di kem
tersebut hingga Mac depan sebelum berpindah mendiami RKB manakala 33
keluarga bukan mangsa banjir diarah kembali ke rumah masing-masing.
Sementara itu 12 keluarga mangsa banjir yang masih tinggal di dalam
khemah di Bandar Utama Gua Musang dijangka mendiami RKB selewat-lewatnya
Mac depan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment