Tuesday, October 27, 2015
Lebih 20.1 Juta Pengguna Internet Dalam Negara
KUALA LUMPUR : Bilangan pengguna internet yang aktif
di negara kini melebihi 20.1 juta dengan 16.8 juta daripadanya aktif
dalam media sosial, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari
berkata perkembangan itu yang berdasar kadar penembusan jalur lebar yang
mencapai 72.2 peratus, menunjukkan masyarakat di negara ini telah
menuju ke arah gaya hidup digital.
“Boleh dirumuskan bahawa rakyat menggunakan internet untuk melayari
media sosial, menonton video, bermain permainan dalam talian, aplikasi
berasaskan lokasi, enjin pencari dan perbankan internet,” katanya di
Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan berkaitan isu media sosial termasuk dari Datuk
Aaron Ago Dagang (BN-Kanowit) mengenai dasar dan langkah-langkah yang
diambil oleh kementerian bagi memantau dan menangani masalah media
sosial yang sangat melampau terhadap kerajaan dan individu atau ahli
politik di negara ini.
Mengulas lanjut, Jailani bagaimanapun berkata gaya hidup digital
itu bukan semuanya menyumbang kepada unsur negatif dalam budaya
masyarakat dan diakui juga akan nilai positifnya.
“Apabila media sosial timbul, masyarakat akan mengatakan suatu
kelebihan tetapi pada masa sama ramai pihak ambil kesempatan termasuk
menyebarkan fahaman dan kandungan berbentuk fitnah, perkauman, keganasan
dan sebagainya,” katanya.
Menyedari hakikat bahawa undang-undang yang lebih ketat tidak
menjamin penyelesaian menyeluruh kepada masalah penyalahgunaan media
sosial, Johari berkata kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil langkah proaktif menggalakkan
para pengguna internet mengamalkan kawalan kendiri bagi menangani
penyalahgunaan media sosial.
“Bagi mencapai objektif tersebut, SKMM mengambil inisiatif mendidik
para pengguna mengenai penggunaan internet secara positif dengan
memfokuskan kepada empat isu utama bagi meningkatkan dan memantapkan
kesedaran masyarakat awam mengenai tanggungjawab ketika menggunakan
internet di era serba digital ini,” katanya.
Beliau berkata pendidikan kepada pengguna internet mengenai empat
isu berkenaan — penyebaran maklumat palsu, buli siber, tabiat terlebih
kongsi maklumat, penipuan kewangan internet mendapat bantuan dan kerjasama
daripada Polis Diraja Malaysia dan Persatuan Bank-Bank Malaysia.
Katanya tanggungjawab mengawal penggunaan internet tidak
seharusnya diserahkan kepada kerajaan, sebaliknya ibu bapa juga perlu
memainkan peranan dalam mengawal aktiviti anak-anak mereka di internet
terutamanya media sosial.
Berhubung kes buli siber pula, Jailani berkata masalah itu
antaranya berpunca daripada sikap pengguna yang suka mendedahkan
maklumat peribadi mereka terutamanya di laman rangkaian sosial memberi
peluang kepada orang yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan
maklumat itu untuk tujuan negatif.
Mengulas mengenai 10 kes didakwa di mahkamah atas kesalahan di bawah
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 termasuk platform media sosial,
katanya kes itu membabitkan empat blog lucah, tiga emel jelik dan
selebihnya masing-masing satu Facebook palsu, laman sesawang lucah dan
jelik.
Selain itu, Jailani berkata sebanyak 1,263 laman sesawang telah
disekat akses atas pelbagai kesalahan di bawah peruntukan undang-undang
Malaysia sedia ada.
Katanya, daripada jumlah itu, 631 laman sesawang disekat
berdasarkan permohonan agensi penguatkuasaan manakala 632 laman disekat
bagi kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia dan hanya satu
laman berita asing disekat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
dari Januari hingga September lepas.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment