Monday, October 26, 2015
Pemuda Anjur Konvensyen Orang Muda Sebagai Pembuka Tirai Perhimpunan Agung Pemuda 2015
KUALA LUMPUR : Menjelang Perhimpunan Agung UMNO akan datang,
Pemuda UMNO telah merangka beberapa program menarik termasuklah
Konvensyen Orang Muda sebagai muqaddimah kepada perhimpunan agung
pergerakan berkenaan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata
program berkenaan yang menghimpunkan pimpinan muda daripada luar parti
bertujuan untuk mendapatkan input daripada mereka.
“Kita akan dapatkan pandangan daripada mereka ini agar perkara ini
dapat menjadi bahan kepada perbahasan kita pada perhimpunan agung nanti.
Kita mahu perbahasan kita nanti relevan dengan kehendak serta aspirasi
orang muda di luar parti.
“Jadi kita akan panggil pemimpin
muda di luar parti, pimpinan mahasiswa untuk mereka memberikan
pandangan kepada kita. Perhimpunan agung kita bahas dari sudut ahli
UMNO. Sebelum itu kita ada bersama mereka yang akan diadakan pada 28
November ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO, di sini, hari ini.
Selain itu tambah Khairy lagi, pergerakan itu juga akan menganjurkan
Simposium Pengurusan Ringgit 2015 dalam usaha memberi pendedahan kepada
golongan muda mengenai pengurusan kewangan.
“Ini terutamanya melibatkan soal hutang dan masalah kemuflisan di
kalangan belia saling meningkat. Jadi kita anjurkan program ini daripada
sudut literasi kewangan, pengurusan kewangan dan sebagainya. Kita akan
adakan program ini pada 15 November.
“Seterusnya pada 7 Disember, kita akan adakan program Simposium
Agropreneur Muda. Menerusi program ini setiap bahagian akan
mengenalpasti usahawan tani untuk diberikan geran. Insya Allah dengan
kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, mereka ini akan
diberikan geran sebanyak RM30,000 daripada Agropreneur Muda.
“Kita menjadi penyambung antara program kementerian dengan
pemuda-pemuda yang terlibat dengan pertanian di bahagian masing-masing
supaya mereka dapat dibantu,“ ujarnya.
Kata beliau lagi pergerakan itu juga telah bersetuju untuk mengangkat
isu pendidikan Teknikal dan Vokasional sebagai satu perjuangan Pemuda
UMNO menerusi Pemuda mahir. yang akan dilancarkan pada awal tahun depan.
“Kita ingin membantu kerajaan mengarusperdanakan pendidikan latihan
Teknik dan Vokasional.
Keduanya kita ingin mengubah persepsi masyarakat
terhadap pelatih-pelatih teknikal dan vokasional supaya jurusan ini
dianggap sebagai pilihan terakhir bagi mereka yang tidak berjaya dalam
program akademik.
“Sebenarnya ini adalah pilihan utama bagi mereka yang ada kompetensi
serta bakat dalam bidang-bidang teknikal. Jadi kita akan bekerjasama
rapat dengan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pengajian Tinggi,
Kementerian Belia dan Sukan bagi menjayakan perkara ini,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment