Monday, October 26, 2015
GST Jadi Penyelamat Ekonomi Malaysia – PM
KUALA LUMPUR : Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terbukti
menjadi penyelamat ekonomi Malaysia walaupun didakwa menyusahkan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya hasil kutipan GST dapat menampung kekurangan hasil kerajaan khususnya akibat kejatuhan harga minyak mentah dunia.
“Senario ini (kejatuhan harga minyak) di luar kawalan kita tetapi
syukurlah kita dapat menampung kekurangan hasil kerajaan kerana kita
berani memperkenalkan GST.
“Walaupun orang kata kerajaan
tak patut laksanakan GST atau menyusahkan rakyat tetapi hakikatnya GST
adalah penyelamat kepada ekonomi negara kita,” katanya ketika membuka
pusat membeli belah Nu Sentral dan Menara 1 Sentrum milik Pelaburan
Hartanah Berhad (PHB) di sini hari ini.
Beliau berkata jika ekonomi Malaysia merudum kesannya termasuk
kadar pinjaman akan menjadi lebih tinggi sekaligus menyebabkan rakyat
menanggung kesusahan.
Najib berkata walaupun tindakan yang diambil kerajaan tidak bersifat
populis namun ia dibuat demi tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat
dan negara.
Perdana Menteri berkata melalui Bajet 2016, kerajaan telah
memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat termasuk
anak-anak yang menyara ibu bapa diberi pelepasan cukai terkumpul
sebanyak RM1,500, masing-masing untuk ibu dan bapa.
“Ini sekaligus dapat menggalakkan sifat penyayang kepada ibu bapa dan bukanlah meninggalkan mereka di rumah warga tua,” katanya.
Dalam pada itu, Najib berkata PHB telah mencapai kejayaan dalam membangunkan ekonomi Bumiputera sejak beroperasi pada 2007.
Beliau berkata kewujudan pusat membeli belah Nu Sentral dan bangunan
pejabat Menara 1 Sentrum membolehkan usahawan Bumiputera berkongsi
limpahan rahmat pembangunan negara.
“Kedudukan pusat membeli belah ini yang bersebelahan dengan KL
Sentral amat strategik kerana beribu-ribu pengguna menggunakan hub
pengangkutan ini,” katanya.
Beliau berkata kerajaan melalui PHB juga akan melancarkan unit-unit
amanah dari semasa ke semasa bagi memberi peluang kepada Bumiputera
melabur dalam sektor hartanah.
Terdahulu, Najib meluangkan masa beramah mesra dengan penyewa di Nu Sentral serta sempat membeli sepasang kasut sukan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment