Thursday, October 01, 2015
PKR Tidak Perlu Harapkan PAS
KOTA BHARU : PKR perlu berhenti daripada terus mengharapkan Pas
akan menyertai pakatan pembangkang baharu yang turut dianggotai DAP dan
Parti Amanah Negara (Amanah).
Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pendirian Pas
sangat jelas bahawa mereka sama sekali tidak akan menjalin kerjasama
politik dengan DAP mahupun Amanah walaupun PKR berusaha menjadi
pendamai.
“Selagi ada DAP dan Amanah, kami tidak dapat bersama-sama (menyertai
pakatan baharu). Pada pandangan kita, Pakatan Rakyat (pembangkang) masih
wujud melalui Pas dan PKR.
“Sekarang ini, kita masih lagi mempunyai hubungan baik dengan PKR contohnya di Selangor. Kita masih kekal dengan PKR.
“Bagaimanapun, Pas tidak akan campur tangan berkaitan hubungan PKR
dengan DAP dan Amanah. Itu hak dia (PKR),” katanya selepas majlis
perasmian Pesta Tanglung 2015 di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai PKR yang masih
mengharapkan Pas akan dapat bekerjasama dalam pakatan pembangkang baharu
yang ditubuhkan pada 22 September lalu.
Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan
Ismail turut menyatakan kesediaan parti itu untuk memainkan peranan
sebagai jambatan kepada DAP dan Pas untuk menyelesaikan perbezaan
pendapat supaya mereka dapat bekerjasama dalam satu pasukan.
Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan,
Perpaduan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Anuar Tan
Abdullah dan Pengerusi Dewan Himpunan Tionghua Kelantan, Oie Poh Chun.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Amar berkata, Majlis Perbandaran Kota
Bharu - Bandaraya Islam (MPKB-BRI) telah bersetuju untuk menjadikan
pesta tanglung tersebut sebagai salah satu acara Tahun Melawat Kelantan
pada tahun hadapan.
“Saya berharap pihak penganjur akan dapat menarik lebih ramai penyertaan supaya lagi meriah pada tahun hadapan.
“Dengan menjadikan pesta tanglung ini dalam kalendar kita, diharapkan
lebih ramai yang dapat mengenali budaya unik masyarakat Tionghua,”
ujarnya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment