Thursday, October 01, 2015
Tabiklah... Saya Tidak Akan Tunduk Ancaman DAP – Mufti Pahang
KUANTAN : Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman tidak
gentar dengan ancaman DAP yang mahu mengambil tindakan undang-undang
terhadap pihak berkuasa agama negeri kerana khutbah Aidiladha yang
mendakwa DAP menentang Islam.
Menurut beliau, khutbah tersebut merupakan satu nasihat kepada orang
Islam supaya bersatu padu dan bukan bersama dengan pihak yang mencabar
Islam.
“Kita tidak akan tunduk kepada pihak yang mahu jabatan ini memohon maaf dan menarik balik teks khutbah Aidiladha itu.
“Sepatutnya mereka yang memohon maaf terlebih dahulu kerana campur
tangan dalam hal ehwal Islam seperti pelaksanaan hudud di Kelantan,”
katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai tindakan DAP kelmarin yang menggesa JAIP memohon maaf berhubung teks khutbah Aidiladha itu.
Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puri dilaporkan memberi
masa lima hari sehingga Rabu ini untuk JAIP memohon maaf secara terbuka
dan menarik balik khutbah itu atau berdepan tindakan undang-undang.
Menurut Abdul Rahman, beliau sedih dengan tindakan beberapa orang Islam
dalam DAP yang lebih mempertahankan dasar parti itu dan tidak
menghormati institusi Islam.
“Saya rasa terkilan dengan orang Islam dalam DAP, sepatutnya mereka kena
mempertahankan ahli agama dan institusi Islam ini, namun mereka pula
ingin menyaman kami dan meminta kami memohon maaf,” katanya.
Dalam teks khutbah solat sunat Aidiladha yang dikeluarkan oleh Jabatan
Mufti Negeri Pahang itu, umat Islam dinasihat supaya terus bersatu padu
walaupun berlainan ideologi politik bagi mengelak perpecahan dalam
kalangan orang Melayu yang semakin ketara.
Perpecahan itu kerana mengutamakan parti politik melebihi perpaduan dan
persaudaraan Islam seperti UMNO, Pas, PKR dan ditambah dengan Parti
Amanah Negara (Amanah) malahan ada dalam kalangan umat Islam yang
menyertai DAP secara terang-terangan menentang Islam.
Teks khutbah yang dibaca oleh Abdul Rahman di Masjid Negeri Sultan Ahmad
Shah 1 itu turut mengingatkan umat Islam supaya bergabung dan bersatu
suara walaupun berlainan dasar politik mereka.
Abdul Rahman berkata, kandungan dalam khutbah berkenaan adalah benar
dan bukannya berbaur fitnah serta telah merujuk kepada al-Quran iaitu
ayat 28 Surah Ali Imran.
Menurutnya, surah berkenaan menjelaskan larangan orang mukmin berpihak
kepada orang kafir dan menjadikan mereka teman setia dengan meninggalkan
orang mukmin.
“Kandungan dalam khutbah Aidiladha bukan hasutan seperti didakwa DAP
tetapi kita hendak berdakwah dan memberitahu kepada orang Islam lain
mengenai perkara yang sudah dinyatakan dalam al-Quran.
“Kalau kita lihat dalam beberapa isu seperti hudud sebelum ini, mereka
menentangnya yang bermakna menolak hukum Islam sedangkan Islam tidak
pernah menafikan hak orang lain walaupun Islam adalah agama Persekutuan
di Malaysia,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment