KUALA LUMPUR : Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa
pemimpin-pemimpin agama dan para pengikut mereka supaya berusaha membina
kepercayaan bersama, saling menghormati, persefahaman dan kerjasama
bagi melahirkan kewujudan bersama yang aman.
Perdana Menteri berkata adalah amat penting mewujudkan keamanan dan keselamatan seperti yang dikehendaki oleh semua orang.
“Kita mesti membuat komitmen tegas untuk mewujudkan budaya toleransi dan
menggalakkan keharmonian yang lebih baik demi kesejahteraan manusia,
dan mengetepikan perkara yang boleh memecahbelahkan kita,” kata beliau.
Najib berkata demikian semasa merasmikan seminar antarabangsa mengenai
‘Agama dan Kewujudan Bersama Yang Aman: Menerima Perbezaan dan Mendukung
Nilai’ anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini,
Selasa.
Perdana menteri memberitahu hadirin bahawa laluan ke arah melahirkan
kewujudan bersama yang aman bukanlah seperti bersiar-siar di taman.
“Untuk melahirkan kewujudan bersama yang aman di negara seperti Malaysia
merupakan satu cabaran, tetapi ia sesuatu yang perlu sentiasa kita
usahakan dan terus lakukan dengan kebijaksanaan, kebaikan dan keadilan,”
kata Najib.
Beliau berkata satu daripada cara untuk melakukannya di Malaysia dan
luar daripadanya ialah dengan menerima realiti bahawa terdapat perbezaan
dalam pelbagai agama – dan menyedari “bahawa kita boleh bersetuju untuk
tidak bersetuju”.
Perdana menteri menegaskan daripada mereka menekankan perkara yang boleh
membawa perbalahan antara agama, mereka sepatutnya memberi tumpuan
kepada persamaan yang ada.
“Dan sebenarnya, banyak persamaan yang ada dalam nilai-nilai yang
digalakkan oleh kebanyakan agama. Kita perlu menerimanya demi
kepentingan semua daripada saling berbalah dan memperbesarkan perbezaan
yang ada untuk memenuhi agenda politik atau strategik,” jelas beliau.
Najib berpendapat nilai-nilai bersama itu boleh membawa kepada
melahirkan masyarakat yang aman, harmoni dan bertoleransi yang dapat
memanfaatkan semua pihak.
Najib berkata membina keamanan dan mengekalkan keharmonian antara
agama adalah tugas yang murni dan penting, selain memastikan perpaduan
dalam agama masing-masing tidak diketepikan.
Beliau turut membangkitkan mengenai perlunya mengamalkan pendekatan
kesederhanaan atau wasatiyyah yang membawa mesej supaya sentiasa berbuat
baik, tabah dan berlaku adil serta menolak segala bentuk kejahatan.
“Dengan mengamalkan wasatiyyah, saya percaya agama boleh menjadi
jambatan pembina yang kita perlukan dalam dunia hari ini,” kata beliau.
Mengulas lanjut, Najib berkata pendekatan wasatiyyah itu penting kerana ia bermaksud ‘seimbang’ dan ‘terbaik’.
“Tanpa wasatiyyah, masyarakat mudah terjebak dalam ekstremisme yang
menyebabkan radikalisme seperti IS atau ekstremisme yang mengancam agama
seperti ekstremis liberalisme,” katanya.
Seminar dua hari itu yang berakhir esok bertujuan memberi kefahaman
yang lebih baik mengenai peranan agama dalam menggalakkan kewujudan
bersama yang aman bagi masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
No comments:
Post a Comment