
Monday, October 26, 2015
Tak Payah Orang Macam ini Dibaginya..... Guan Eng Marah-Marah Bajet 2016, Rupanya Mahu Peruntukan

Mengkritik segala inisiatif yang diambil kerajaan untuk kemakmuran
rakyat dan negara serta mengaitkan pelbagai masalah dan cabaran yang
terpaksa dilalui adalah sesuatu yang cukup mudah untuk dilakukan.
Hakikat itu dibuktikan Ahli Parlimen Bagan yang juga Setiausaha Agung
DAP, Lim Guan Eng sewaktu membahaskan Bajet 2016 di Dewan Rakyat pada
Isnin petang.
Guan Eng tanpa sekelumit rasa meletakkan segala-gala masalah dan beban
yang menghimpit rakyat dan negara ke atas pemimpin dan kerajaan Barisan
Nasional.
1Malaysia Development Berhad (1MDB) didakwanya punca pelabur asing gusar untuk melabur di Malaysia.
Isu 1MDB juga didakwa Guan Eng sebagai punca kejatuhan nilai ringgit yang kini berlegar di paras RM4.2+ berbanding AS$1.
Malah pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) semuanya diserang Guan Eng kerana didakwa membebankan rakyat.
Guan Eng sengaja melupakan fakta demi mengelirukan rakyat bahawa semua
isu yang ditimbulkan beliau sebenarnya berkait rapat dengan pergerakan
ekonomi dunia dan tidak semata-mata diputuskan Kerajaan Pusat.
Sekaligus, tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang itu mengkritik segalanya
bagai pakar ekonomi dengan mempertikaikan segala perancangan ekonomi
yang diatur serta dirancang Kerajaan Persekutuan demi rakyat.
Sekilas pandang, Guan Eng kelihatan cukup hebat bersuara lantang dalam perjuangan yang kononnya demi kesejahteraan rakyat.
Hakikatnya bagaimanapun ialah serangan Guan Eng itu sebenarnya bertujuan melindungi kegagalan pentadbiran DAP di Pulau Pinang.
Sejak 2010, DAP Pulau Pinang menyaksikan penurunan ketara pelaburan
langsung asing (FDI) dari RM10.451 bilion kepada sekadar RM1.794 bilion
pada 2014.
Malah beberapa kilang multinasional di Pulau Pinang juga telah ditutup
sekaligus menyebabkan ribuan rakyat kehilangan sumber pendapatan.
Umpamanya penutupan kilang Fairchild Semiconductor yang menjejaskan kira-kira 1,892 pekerja.
Dan untuk menampung kekurangan punca sumber pendapatan itulah
menyebabkan Guan Eng membebankan rakyat dengan pelbagai kenaikan caj
pembangunan, tarif air dan bayaran letak kereta.
Antaranya ialah caj levi hotel yang dikenakan pada setiap bilik yang
disewakan manakala Majlis Perbandaran Pulau Pinang pula menaikkan cukai
taksiran sehingga 14 peratus.
Tidak cukup dengan itu, aktiviti riadah juga turut dikenakan bayaran
tambahan apabila pengunjung Fort Cornwalis kini dikenakan bayaran RM10
berbanding RM3 sebelum itu.
Pastinya hujah Guan Eng jika ditanya ialah semua itu dilakukan kerana
beliau tidak rela membebankan rakyat negeri itu dan dilakukannya demi
kemakmuran penduduk negeri.
Namun dalam pada Guan Eng begitu bersemangat mengkritik segala
perancangan kerajaan sewaktu perbahasan itu, beliau tanpa sebarang rasa
malu mendakwa Kerajaan Pusat menganaktirikan Pulau Pinang hanya kerana
ditadbir DAP.
Guan Eng sesuka hati mendakwa Pulau Pinang diabaikan sedangkan fakta langsung tidak menyebelahi beliau.
Ini kerana fakta jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Pusat saban tahun
memperuntukkan jutaan ringgit untuk projek pembangunan di negeri itu.
Antaranya peruntukan RM250 juta untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
Malah sesuatu yang tidak akan sesekali dapat disembunyikan Guan Eng
ialah pembinaan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang bernilai
lebih RM4.5 bilion yang dibiayai Kerajaan Pusat.
Selepas hampir 30 minit lantang menghentam dan mengkritik, akhirnya Guan
Eng tanpa malu menuntut peruntukan pembangunan dari Kerajaan Pusat
Silalah nilai sendiri perangai pemimpin DAP itu yang cukup lantang
mengkritik tetapi akhirnya meminta tanpa sebarang rasa malu. Tepuk dada
tanya selera.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment