Monday, October 26, 2015
Terima Kontrak Sosial Negara Terus Makmur, Titah Raja Muda Perlis
KANGAR : Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra
Jamalullail bertitah setiap rakyat Malaysia hendaklah memahami serta
menerima kontrak sosial dan perlembagaan sejak penubuhan Malaya dan
pembentukan Malaysia.
Titah baginda perkara itu menjadi asas kerukunan negara yang
menghindar peristiwa 13 Mei 1969 daripada berulang yang membolehkan
masyarakat dapat hidup aman dan harmoni sehingga kini.
“Saya juga berharap agar rakyat membuang sifat tamak haloba dan
saling mencemburui kerana ia hanya mendorong kepada kemusnahan negara.
“Kedua-dua sifat ini hendaklah diganti dengan perpaduan dan dijadikan
budaya dalam kehidupan selain toleransi dan saling hormat menghormati
adat resam serta kepercayaan masing-masing,” titah Tuanku Syed
Faizuddin.
Baginda bertitah merasmikan majlis ‘Sehati Sejiwa, Membudayakan
Perpaduan, Meraikan Kepelbagaian, Setulus Kasih’ anjuran Jabatan
Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Perlis di sini, semalam.
Berangkat sama pada majlis itu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah
Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man
turut hadir.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah nilai yang mempengaruhi pembinaan
sikap seperti angkuh, pertelingkahan dan perpecahan boleh dielak dengan
member penekanan terhadap sistem pendidikan yang menekan pada nilai
perpaduan.
“Slogan perpaduan hendaklah dihayati sepenuhnya, bukan sebagai
perhiasan sahaja,” titah baginda dan menegaskan, sikap terpuji boleh
dilihat apabila rakyat pelbagai kaum saling bantu membantu terutama
semasa negara dilanda musibah.
Titah Tuanku Syed Faizuddin sikap terpuji ini harus dijadikan asas
dan sandaran pembinaan dan pengukuhan perpaduan rakyat untuk memacu
kegemilangan negara dan menghakis sifat tamak haloba serta saling
mencemburui.
Bersempena majlis itu baginda berkenan melancarkan ‘Skuad Uniti
Negeri Perlis’ dan menyampaikan sijil penghargaan dan pelantikan
‘Sahabat Perpaduan Negeri Perlis.’
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment