Monday, October 26, 2015
SKMM Bina Lebih 900 Menara Telekomunikasi Sehingga September
KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM) membina 993 menara telekomunikasi sehingga
September lepas bagi merapatkan jurang digital dan meningkatkan akses
kepada perkhidmatan telekomunikasi dalam kalangan rakyat terutamanya di
kawasan yang tiada atau kurang liputan.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari
berkata bagi tempoh yang sama lebih 300 kilometer rangkaian fiber optik,
hampir 597 Pusat Internet 1Malaysia dan lebih 4,712 WiFi komuniti
dibina.
“Dalam usaha itu, pihak kerajaan juga telah memperkenalkan
beberapa inisiatif di bawah kerangka Pemberian Perkhidmatan Sejagat,
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya pada persidangan Dewan
Rakyat di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez
Abdul Rahim (BN-Baling) mengenai usaha kementerian dalam menambah baik
sistem komunikasi terutamanya di kawasan luar bandar kerana terdapat
banyak lagi kampung yang tidak mendapat rangkaian telekomunikasi dan
akses internet.
Jailani berkata SKMM akan menambah baik infrastruktur
telekomunikasi menerusi peruntukan RM1.2 bilion dalam Bajet 2016
termasuk meningkatkan kelajuan internet luar bandar empat kali ganda
dari lima Megabit sesaat kepada 20 Megabit sesaat.
Menurut Jailani, bagi kawasan Parlimen Baling, kementerian melalui
SKMM telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi meningkatkan
perkhidmatan jalur lebar dalam kalangan masyarakat yang sehingga kini
telah menelan belanja berjumlah RM28.8 juta.
“Antara inisiatif tersebut termasuk membina enam Pusat Internet
1Malaysia, membina 43 WiFi Komuniti (dahulunya dikenali sebagai ‘Kampung
Tanpa Wayar’ (KTW) dan membina tujuh menara telekomunikasi di mana dua
lagi menara akan dibina dalam waktu terdekat,” katanya.
Mengenai kadar penembusan jalur lebar, beliau berkata secara
keseluruhannya telah mencapai 72.2 peratus sehingga suku kedua tahun ini
yang mana 7.9 peratus disumbangkan oleh projek WiFi Komuniti (WK).
Menurutnya, kementerian melalui SKMM telah menyasarkan sebanyak 500WK
akan dibina pada tahun ini dan sehingga kini, sebanyak 455WK telah
disiapkan manakala selebihnya sedang dalam proses pelaksanaan.
Mengenai dakwaan kegagalan KTW, Jailani berkata kemudahan internet
itu tidak gagal kerana kadar penembusan jalur lebar negara telah
meningkat dan kementerian berusaha mengatasi segala kekangan dan
menerusi penambahbaikan yang dilaksanakan.
Sebaliknya, Jailani berkata kekangan cuaca kabus tebal dan gangguan
bekalan elektrik terutama di Sabah dan Sarawak adalah antara faktor
utama dikenal pasti sebagai punca masalah kegagalan internet berfungsi
dengan baik di kawasan yang diberikan.
“Kita sedang mengkaji dan menambah baik inisiatif KTW 1Malaysia dan
mencuba program lain seperti Pusat Internet 1Malaysia untuk dilaksanakan
di seluruh negara,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment