Sunday, October 25, 2015
Ucapan Bajet Tahun 2016 Oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak Perdana Menteri Dan Menteri Kewangan
“MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT”
Tuan Yang Dipertua,
Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta
bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk
perkhidmatan bagi tahun 2016 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk
perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.
MUKADIMAH
Tuan Yang Dipertua,
1. Saya mulai, dengan menyebut BismillahirRahmanirRahim, Alhamdulillahi Rabbil A’lamin, Wa bihi Nastai’n.
2. Segala puji-puji bagi Allah Hu Ta’ala, yang telah menjadikan Tujuh
Petala Langit dan Tujuh Petala Bumi,… juga,… yang telah mewujudkan
keadaan gelap-gulita, ke alam terang benderang.
3. Demikian juga, limpahan salawat, ke atas Nabi Muhammad, Rasul
Pilihan,… Pembuka bagi sesuatu yang terkunci, Penutup bagi yang
terdahulu, penolak yang batil, pembela hak dan kebenaran.
Tuan Yang Dipertua,
4. Sejak Mac tahun 2009, saya telah membentangkan lebih 11 dokumen besar berkait ekonomi negara.
5. Termasuklah, Pakej Rangsangan Pertama, Pakej Rangsangan Kedua,
Rancangan Malaysia Ke-10 dan Rancangan Malaysia Ke-11, seterusnya Bajet
2010, hinggalah pada hari ini, akan dipersembahkan pula Bajet 2016.
6. InsyaAllah, jika diberi izin oleh Tuhan yang Maha Menyimpan segala
Tahu dan rahsia setiap sesuatu, kita berdoa serta berharap agar terus
berpeluang lagi, dapat membentangkan Bajet-Bajet pada tahun-tahun
selanjutnya,… Amin.
7. Sesungguhnya, Bajet yang diangkat kali ini,… merupakan bagian
daripada terjemahan Rancangan Malaysia Ke-11. Bajet ini adalah yang
pertama, dalam rantaian 5 Bajet, sampailah terjulangnya negara tercinta
ini kelak, menjadi sebuah watan, High Income Advanced Economy.
InsyaAllah.
8. Sebelum itu, sebagai hamba-hambaNya yang beringat lagi bersyukur,
marilah bersama, dengan rasa kerendahan hati, mengambil sempena dan
iktibar daripada sejarah dan sirah, berasaskan Al-Quran, melalui mafhum
pengertian surah An-Nisa’ ayat 58, seperti yang ditafsir oleh antaranya
Imam Qurtubi, pabila menjadi pemimpin dan pemerintah, maka terserulah
kepada kita, bagi menjaga hak-hak dan menghukum dengan saksama terhadap
keperluan rakyat.
Tuan Yang Dipertua,
9. Lantaran itu, sebelum diteruskan penyampaian ini, walau apa sekalipun
diwajahkan di mana-mana, meski apa yang dilaporkan dalam media, berkait
letak duduk dan keadaan Malaysia, kononnya, negara ini diambang muflis,
berada dalam krisis ekonomi, nilai ringgit terjejas teruk, ekoran
persepsi ketidakcekapan tadbir urus kewangan negara, serta pula
dipertikai tentang tatacara perbelanjaan Kerajaan yang katanya tidak
berhemah.
10. Makanya, berdasarkan ehwal yang dihebah-hebahkan itu, moleklah
kiranya saya mengambil kesempatan dalam Dewan yang mulia ini, untuk
memperjelaskan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat khususnya, serta rakyat
Malaysia, yang sedang menonton dan mendengar di luar sana, supaya
mendapat gambaran yang benar serta tepat.
Tuan Yang Dipertua,
11. Semenjak tahun 2009, janganlah sesekali kita lupa, satu persatu
datangnya dugaan terhadap ekonomi negara. Kita telah berdepan dengan
pelbagai ketidakkeruan ekonomi global dan pastinya kemelut iktisad
domestik.
12. Alhamdulillah, meskipun telah ditantang dengan segala aral dan
rintangan itu, Kerajaan terbukti mampu menangani dan mengatasinya dengan
begitu berkesan.
Tuan Yang Dipertua,
13. Jika hendak disimpulkan, antaranya terdapat 6 pencapaian utama
sebagai penanda kejayaan yang boleh diperbanggakan dalam mengangkat
kembali kedudukan ekonomi negara, dari mana ia berada separuh dekad
lalu.
Tuan Yang Dipertua,
14. Pencapaian pertama: Jika ditinjau situasi ekonomi semasa Malaysia,
ia mampu berkembang sebanyak 5.3 peratus bagi separuh tahun pertama
2015, dan dianggarkan mencapai 4.5 hingga 5.5 peratus sepanjang tahun,
meskipun, ekonomi dunia dijangka berkembang pada kadar yang perlahan
iaitu 3.1 peratus pada tahun ini.
15. Dalam perkara ini, perlu kita ingat baik-baik, keadaan ekonomi
sekarang, bak kata dalam bahasa Inggeris, there is no comparison
whatsoever, berbanding tahun 1998. Nyatanya, pada ketika itu, telah
berlaku krisis kewangan peringkat Asia, sehinggakan ekonomi negara
menguncup kepada negatif 7.4 peratus.
16. Sungguhpun begitu, kita sedar, bahawa kita tidak dapat lari daripada
menghadapi kelembapan ekonomi global, termasuklah dari segi penurunan
harga komoditi terutamanya minyak, kelapa sawit dan getah, penyusutan
nilai ringgit, pertumbuhan perlahan di negara-negara kuasa besar ekonomi
dunia.
17. Justeru, pertumbuhan KDNK negara dijangka dapat berkembang pada
kadar 4 hingga 5 peratus pada tahun 2016. Pertumbuhan ini, akan dipacu
oleh pelaburan dan penggunaan swasta pada kadar 6.7 dan 6.4 peratus.
18. Eksport pula, tumbuh pada kadar 0.9 peratus dan import 1.5 peratus.
Sektor pembinaan berkembang 8.4 peratus, perkhidmatan 5.4 peratus,
manakala pembuatan sebanyak 4.3 peratus.
Tuan Yang Dipertua,
19. Pencapaian Kedua: Secara konsisten kita telah dapat mengurangkan
defisit fiskal Kerajaan, daripada paras 6.7 peratus kepada 3.2 peratus
yang dijangka pada tahun ini.
Tuan Yang Dipertua,
20. Pencapaian Ketiga: Melalui Dasar Transformasi Nasional atau DTN yang
bermula pada tahun 2010, Kerajaan ini, telah meneruskan mujahadah
pembasmian kemiskinan.
21. Hasilnya, dalam tempoh 5 tahun, kadar kemiskinan berkurang daripada
3.8 peratus pada tahun 2009, kepada kini 0.6 peratus pada tahun 2014.
Malah, sebenarnya kemiskinan tegar telah hampir disifarkan.
22. Pencapaian Keempat: Kalau dikaji, statistik pengangguran pada tahun 1999 adalah 3.4 peratus.
23. Dengan kehendak Allah jua, hasil daripada pengurusan ekonomi negara
yang berkesan, kita telah mengurangkan kadar pengangguran kepada 2.9
peratus dan Kerajaan telah berjaya mewujudkan sebanyak 1.8 juta peluang
pekerjaan.
Tuan Yang Dipertua,
24. Pencapaian Kelima: Seramai 5 juta rakyat di kawasan luar bandar
telah berjaya mendapat manfaat kemudahan asas, seperti bekalan elektrik
dan air bersih.
25. Akhir sekali, Pencapaian Keenam: Rakyat telah mendapat pelbagai
kemudahan seperti BR1M, Klinik 1Malaysia, UTC, RTC dan Kedai Rakyat
1Malaysia, demi meringankan kos sara hidup rakyat.
Tuan Yang Dipertua,
26. Pada sudut lain, kemasukan pelaburan asing pula terus kukuh pada
22.4 bilion ringgit pada separuh pertama tahun ini, manakala indeks
Bursa Kuala Lumpur mencatat 1,705 mata bersamaan nilai pasaran 1.675
trilion ringgit menjelang penutup bursa pada 22 Oktober 2015.
27. Walaupun ringgit menyusut nilai, rizab antarabangsa kekal tinggi
sebanyak 418 bilion ringgit pada 15 Oktober 2015 yang mampu sebenarnya
membiayai selama 8.8 bulan import tertangguh dan 1.2 kali hutang luar
jangka pendek.
28. Laginya, pada tahun hadapan, negara dijangka terus berada dalam inflasi terkawal, di antara 2 hingga 3 peratus.
Tuan Yang Dipertua,
29. Ini menunjukkan bahawa realitinya, Malaysia, negara kita yang
tercinta bukanlah negara yang gagal atau bankrap, sebaliknya kita masih
stabil,… masih kukuh dengan economic fundamental dan terus berdaya
saing.
Tuan Yang Dipertua,
30. Sebelum bingkisan Bajet tahun ini diteruskan, terdapat dua perkara
mustahak yang wajar diberi penjelasan. Perkara pertama, adalah Cukai
Barangan dan Perkhidmatan atau GST, yang hangat diperkatakan oleh orang
ramai terutamanya sejak awal tahun ini.
31. Dalam isu GST, Kerajaan berterima kasih kerana pematuhan dalam
pendaftaran dan pengisytiharannya amat tinggi dan membanggakan.
32. Suka saya memaklumkan kepada Dewan yang mulia, setakat ini, jumlah
syarikat yang berdaftar dengan GST adalah hampir 400 ribu buah semuanya,
dengan kadar patuh serahan atau submission mencapai lebih 90 peratus.
Tuan Yang Dipertua,
33. Alhamdulillah, sesungguhnya keputusan Kerajaan melaksanakan GST
adalah tepat, lebih-lebih lagi berikutan kejatuhan harga minyak kepada
lebih 50 peratus daripada paras 100 dolar Amerika sebelum ini.
34. Faktanya, Petroliam Nasional Berhad atau PETRONAS menyumbang
sejumlah dividen kepada Perbendaharaan pada setiap tahun. Jumlah
sumbangan dividen ini, bergantung kepada naik turunnya harga minyak
dunia.
35. Misalannya, dalam tempoh setahun di mana harga minyak adalah pada
purata 100 dolar Amerika setong, pendapatan daripada dividen PETRONAS
serta hasil cukai petroliam kepada negara, berjumlah 62 bilion ringgit.
36. Akan tetapi, senarionya berbeza, pabila harga minyak telah turun
kepada paras sekitar 50 dolar Amerika setong. Pendapatan daripada
dividen PETRONAS serta hasil cukai petroliam kepada negara, berjumlah 44
bilion ringgit pada 2015.
37. Harga minyak ini pula, dijangka akan kekal rendah pada 2016, dan
kutipan hasil daripada sumber berkaitan minyak dianggar 31.7 bilion
ringgit, atau penyusutan pendapatan Kerajaan lebih 30 bilion ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
38. Jadinya, jika sebelum ini, dalam beberapa pengumuman rasmi, saya,
bagi pihak Kerajaan ada menyebut bahawa rakyat usahlah bimbang, kerana
hasil kutipan GST dikembalikan semula demi manfaat ramai, malah,
dimaklumkan pula bagaimana ia dibelanjakan. Ini adalah benar apa yang
Kerajaan hasratkan dan tidak ada apa-apa agenda yang terselindung.
39. Namun, keadaan telah berubah. Hasrat ini perlu diimbangi dengan
realiti kedudukan kewangan negara, berdasarkan perkembangan harga minyak
dunia yang tidak menentu seperti yang saya sampaikan tadi. Tetapi,
disebabkan oleh kekurangan kutipan hasil petroliam, kutipan GST-lah yang
terpaksa menjadi tampungan sebahagian besar daripadanya.
Tuan Yang Dipertua,
40. Sehubungan itu, pada tahun 2016, dalam perkiraan Kerajaan, sekira
dan seandainya GST tidak dilaksanakan, dan kita masih dengan sistem SST
seperti yang sebelumnya, hasil negara akan berkurangan sebanyak 21
bilion ringgit.
41. Jika dihalusi lagi, kalaulah kita kekal dengan SST, kutipan hanyalah
sekadar 18 bilion ringgit berbanding GST iaitu sebanyak 39 bilion
ringgit.
42. Akibatnya, defisit negara akan meningkat kepada 4.8 peratus, dan
bukan lagi 3.1 peratus seperti yang disasarkan pada tahun 2016.
43. Andai kata ini berlaku, Kerajaan terpaksa meminjam termasuk untuk
membayar gaji penjawat awam, penarafan kredit negara pula akan
diturunkan dan kos pinjaman untuk semua, seperti pinjaman peribadi,
pinjaman perniagaan dan pinjaman perumahan, pastinya meningkat.
Tuan Yang Dipertua,
44. Di atas segalanya, bersyukurlah kita kepada Allah, kerana Kerajaan
yang ada tetap bertegas dengan pendirian, mempunyai dengan izin,
political will atau keberanian serta iltizam politik untuk melaksanakan
GST… sekalipun,…sekalipun… keputusan ini ternyata mendapat pelbagai
cabaran dan tidak popular.
45. Malah pihak seberang sana, yang mula-mula dulu menentang dengan
begitu lantang dan keras, kini juga mula menerima GST, hatta telah
memasukkannya pula dalam dokumen bajet mereka.
46. Ini jelas menunjukkan, pendirian pembangkang yang sentiasa berubah-ubah dan tidak konsisten.
Tuan Yang Dipertua,
47. Oleh itu, berdiri atas pendirian sedemikian, Kerajaan yang
bertanggungjawab ini, akan terus melakukan keputusan-keputusan yang
betul, waima tidak bersifat populis, demi,… mendahulukan rakyat dan
kepentingan negara.
Tuan Yang Dipertua dan Rakyat Malaysia sekalian,
48. Oleh yang demikian, ternyatalah, GST ini sebetulnya merupakan satu
sistem percukaian yang efisien. Maka sebab itulah, telah dilaksanakan di
lebih 160 buah negara.
49. Tampaknya juga, meskipun keadaan kewangan negara terkekang, kita terus mendengar denyut nadi dan rintihan rakyat.
50. Kerana itu, setelah menerima maklum balas daripada pelbagai golongan
masyarakat, termasuklah pihak NGO, dengan ini, sukalah saya mengumumkan
bahawa, Kerajaan bersedia, melepaskan lagi pendapatan cukai GST
terhadap beberapa barangan asas kehidupan seharian rakyat.
51. Tujuh langkah penambahbaikan layanan GST, berkuatkuasa menjelang 1 Januari 2016, adalah seperti berikut:
52. Pertama, pengenaan GST pada kadar sifar ke atas semua jenis Ubat
Terkawal di bawah senarai Racun Kumpulan A, B, C dan D, serta tambahan
sebanyak 95 jenama ubat over the counter, meliputi ubat bagi 30 jenis
penyakit seperti ubat kanser, kencing manis, darah tinggi dan sakit
jantung. Ini melibatkan peningkatan dua kali ganda, dari 4,215 kepada
8,630 jenama ubat.
53. Kedua: pengenaan GST pada kadar sifar ke atas barangan makanan berikut :
• Susu bayi dan kanak-kanak berasaskan kacang soya dan susu organik;
• Dhal, atau kata orang utara kacang ‘parpu’, berasaskan kekacang daripada kacang kuda, kacang hijau dan kacang putih;
• Akar teratai atau lotus root dan sengkuang air atau water chestnut;
• Biji sawi;
• Gula merah; dan
• Untuk orang Sarawak,…mee kolok kering
54. Ketiga: Bagi membolehkan petani berskala kecil mendapat manfaat dari
Skim Kadar Rata di bawah GST, Kerajaan mencadangkan supaya, threshold
jualan tahunan untuk tujuan pendaftaran di bawah skim ini diturunkan
daripada 100 ribu ringgit kepada 50 ribu ringgit;
55. Dengan penurunan threshold, ia bererti, lebih ramai petani kecil
boleh mendaftar di bawah skim ini dan mengenakan tambahan 2 peratus ke
atas nilai jualannya, dan amaunnya boleh disimpan untuk menampung
sebarang GST yang telah dibayar ke atas inputnya.
56. Keempat: Bagi syarikat-syarikat yang terlibat dalam aktiviti
penyelenggaraan, pembaikan dan baikpulih di dalam industri aeroangkasa
pula akan dibenarkan menyertai Approved Trader Scheme dan diberi
pelepasan GST ke atas pengimportan barang-barang;
57. Kelima: Pelepasan GST juga diberikan ke atas pengimportan semula
barangan yang telah dieksport secara sementara bagi tujuan promosi,
penyelidikan atau pameran;
58. Keenam: Kini, bagi industri minyak dan gas pula, pelepasan GST
diberikan kepada pengimportan semula peralatan yang dieksport secara
sementara, bagi tujuan sewaan dan pajakan seperti peralatan pelantar
minyak juga platform terapung; serta
59. Ketujuhnya: Pelepasan GST juga diberi untuk perolehan bahan dan
peralatan mengajar, kepada penyedia latihan kemahiran dan vokasional
yang menjalankan program diluluskan di bawah Akta Pembangunan Kemahiran
Kebangsaan 2006.
Tuan Yang Dipertua,
60. Kerajaan menyedari bahawa ramai pengguna telefon bimbit terutamanya
daripada golongan belia, bergantung kepada perkhidmatan telekomunikasi
prabayar atau prepaid card.
61. Berhubung ini, para pengguna warga Malaysia, akan mendapat kembali
rebat bersamaan dengan amaun GST yang dibayar, yang akan dikreditkan
terus ke dalam akaun perkhidmatan prabayar mereka. Langkah ini, adalah
mulai 1 Januari 2016 sehingga 31 Disember 2016.
Tuan Yang Dipertua,
62. Seterusnya, bagi memantapkan struktur cukai supaya lebih kompetitif
dan progresif, banjaran pendapatan bercukai bagi kadar cukai tertinggi
ditingkatkan daripada 25 peratus, kepada 26 peratus bagi mereka yang
berpendapatan antara 600 ribu ringgit dan 1 juta ringgit.
63. Sementara itu, mereka yang berpendapatan melebihi 1 juta ringgit,
kadar cukai akan dinaikkan daripada 25 peratus kepada 28 peratus.
Tuan Yang Dipertua,
PERUNTUKAN BAJET 2016
64. Bajet 2016 memperuntukkan 267.2 bilion ringgit berbanding 260.7
bilion ringgit peruntukan dipinda 2015. Daripada jumlah tersebut, 215.2
bilion ringgit adalah untuk perbelanjaan mengurus dan 52 bilion ringgit
bagi perbelanjaan pembangunan.
65. Di bawah peruntukan mengurus, 70.5 bilion ringgit adalah untuk
Emolumen dan 36.3 bilion ringgit bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala
sebanyak 106.6 bilion ringgit adalah Pemberian dan Kenaan Bayaran
Tetap. Pembelian Aset pula diperuntukkan sebanyak 761 juta ringgit dan 1
bilion ringgit kepada perbelanjaan lain.
66. Di bawah peruntukan pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan
tertinggi sebanyak 30.1 bilion ringgit, diikuti oleh sektor sosial 13.1
bilion ringgit merangkumi pendidikan dan latihan, kesihatan, perumahan
serta kesejahteraan masyarakat.
67. Manakala, sektor keselamatan pula diperuntukkan sebanyak 5.2 bilion
ringgit. Selebihnya, diagihkan kepada sektor pentadbiran am iaitu
sebanyak 1.6 bilion ringgit dan simpanan luar jangka sebanyak 2 bilion
ringgit.
68. Bagi tahun 2016, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan dianggarkan
sebanyak 225.7 bilion ringgit, yakni peningkatan sebanyak 3.2 bilion
ringgit berbanding 2015.
69. Dengan mengambil kira unjuran hasil dan perbelanjaan Kerajaan,
defisit fiskal Kerajaan dijangka menguncup kepada 3.1 peratus pada 2016.
Tuan Yang Dipertua,
70. Bajet ini dan bajet-bajet seterusnya akan berteraskan keseimbangan
diantara Capital Economy dan People Economy. Disamping itu, kita perlu
mencapai pertumbuhan yang bersifat inklusif, sustainable dan membina
sebuah negara yang kompetitif, progresif, bersahsiah dan morally strong,
dalam satu kehidupan masyarakat yang saling berpadu.
Tuan Yang Dipertua,
71. Lantaran demikian, saya pohon membentangkan sebuah Bajet yang
bertemakan “Mensejahtera Kehidupan Rakyat”, bertunjangkan 5 Keutamaan.
Tuan Yang Dipertua,
72. KEUTAMAAN PERTAMA: MEMPERTEGUH KETAHANAN EKONOMI NEGARA.
73. Langkah satu: Aktiviti pelaburan domestik akan terus dirancakkan
dengan jangkaan sumbangan kepada KDNK pada 26.7 peratus bagi 2016. Ini
akan dipacu oleh pelaburan swasta yang meningkat sebanyak 218.6 bilion
ringgit serta disokong oleh pelaburan awam sebanyak 112.2 bilion
ringgit.
74. Dalam langkah ini, terdapat sembilan projek dan inisiatif yang akan dilaksanakan:
Pertama: Membangun Malaysian Vision Valley meliputi keluasan tanah
seluas 108,000 hektar dari Nilai ke Port Dickson seperti yang telah
dibentangkan pada RMK-11, dengan unjuran pelaburan permulaan 5 bilion
ringgit pada tahun 2016;
Kedua: Melaksana Cyber City Centre di Cyberjaya dengan nilai pembangunan hampir 11 bilion ringgit dalam tempoh 5 tahun;
Ketiga: Membangun Bandar Lapangan Terbang atau Aeropolis KLIA di kawasan
seluas 1,300 ekar dan dijangka menarik pelaburan sebanyak 7 bilion
ringgit;
Keempat: Pelaburan 6.7 bilion ringgit oleh Khazanah Nasional Berhad,
dalam 9 projek domestik berimpak tinggi seperti dalam bidang penjagaan
kesihatan, pendidikan, pelancongan, perisian dan infrastruktur
komunikasi;
Kelima: Khazanah Nasional juga memperuntukkan 500 juta ringgit untuk
modal teroka dan dana ekuiti persendirian termasuk dana teroka modal
pelancongan sebanyak 50 juta ringgit;
Keenam: Pelaburan seterusnya dianggarkan 18 bilion ringgit untuk tahun 2016, bagi Projek RAPID Complex di Pengerang, Johor;
Ketujuh: Untuk menarik lebih banyak pelaburan swasta, antara projek yang
sedang dilaksanakan adalah pembangunan Rubber City di Kedah dengan
peruntukan 320 juta ringgit, Taman Perindustrian Samalaju, Sarawak
sebanyak 142 juta ringgit dan Jeti Minyak Kelapa Sawit di Sandakan,
Sabah sebanyak 20 juta ringgit; dan
Kelapan: Tumpuan turut diberi kepada pembangunan industri Kimia,
Elektronik dan Elektrikal, Mesin dan Peralatan, Aeroangkasa, Peranti
Perubatan dan Perkhidmatan. Untuk itu, 730 juta ringgit disediakan
kepada dana-dana di bawah MIDA; dan
Kesembilan: Bagi terus menggalakkan pelaburan semula oleh syarikat sedia
ada dalam sektor pengilangan dan pertanian terpilih yang telah tamat
tempoh Elaun Pelaburan Semula atau Reinvestment Allowance, insentif
baharu Elaun Pelaburan Semula Khas akan diberikan.
Kadar tuntutan adalah 60 peratus daripada perbelanjaan modal yang layak
dan dibenarkan ditolak daripada 70 peratus daripada pendapatan berkanun
untuk tahun taksiran 2016 hingga tahun taksiran 2018.
75. Langkah 2: Dalam mempergiatkan pasaran modal pula, Kerajaan
bersetuju untuk melaksanakan beberapa inisiatif termasuk potongan cukai
diberi ke atas kos penerbitan sukuk Sustainable and Responsible
Investments dan Pengecualian duti setem sebanyak 20 peratus ke atas
surat cara pembiayaan patuh syariah untuk pembelian rumah.
76. Langkah 3: Sememangnya, PKS memainkan peranan penting dalam
membangunkan rantaian nilai perniagaan. Ia dijangka menyumbang kepada 41
peratus KDNK menjelang 2020. Untuk itu, lima tindakan berikut akan
diambil:
Pertama: Tambahan satu bilion ringgit bagi Skim Dana Pembiayaan PKS
Patuh Syariah sehingga 31 Disember 2017, dengan Kerajaan menanggung dua
peratus daripada kadar keuntungan pembiayaan;
Kedua: 107 juta ringgit untuk Pelan Induk PKS bagi pemberian dana di pelbagai peringkat perniagaan;
Ketiga: 60 juta ringgit untuk Skim Anjakan Usahawan dan Skim Peningkatan Kapasiti serta Keupayaan PKS;
Keempat: Menubuhkan dana pinjaman mudah SME Technology Transformation
Fund sejumlah 200 juta ringgit, di bawah SME Bank pada kadar faedah
empat peratus; dan
Kelima: 18 juta ringgit untuk memperluas Projek Transformasi Kedai
Runcit atau TUKAR, dan Projek Automative Workshop Modernisation atau
ATOM.
77. Langkah 4: Seperti yang kita tahu, infrastruktur merupakan pemangkin
kepada keseluruhan pembangunan ekonomi dan sosial negara.
78. Terkini, ingin saya maklumkan, bahawa, Malaysia menduduki tangga
ke–25 di antara 160 negara yang disenaraikan dalam Laporan Indeks
Pencapaian Logistik Bank Dunia 2014.
79. Sehubungan itu, Kerajaan akan terus menambahbaik infrastruktur
logistik, termasuklah membina dan menambahbaik jaringan pengangkutan
rel, serta lebuhraya pada 2016. Ini termasuk, Lebuhraya Damansara – Shah
Alam, Lebuhraya Sungai Besi – Ulu Klang, Lebuhraya Pulau Indah dan
Lebuhraya Central Spine Road.
80. Untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibukota pula, 900 juta
ringgit diperuntukkan untuk Projek Penyuraian Trafik Jalan Tun Razak,
yang akan dilaksanakan secara kerjasama strategik awam-swasta.
81. Kerajaan juga akan mengkaji pembinaan lebuhraya pesisiran pantai
Masjid Tanah ke Klebang dan dari Klebang ke Jambatan Syed Abdul Aziz, di
Melaka.
82. Seterusnya, sebanyak 42 juta ringgit disediakan bagi pembinaan
Lapangan Terbang Mukah, Sarawak dan menaik taraf lapangan terbang di
Kuantan dan Kota Bharu. Kajian akan turut dilaksanakan, bagi pembesaran
landasan di lapangan terbang di Batu Berendam, Melaka.
Tuan Yang Dipertua,
83. Demi keselesaan penduduk di kawasan bandar, sistem Pengangkutan Awam
yang efisien sedang rancak dibangunkan. Ini semua dilaksanakan dengan
peruntukan yang besar kerana kita mahu memudahkan kehidupan rakyat di
kawasan bandar.
84. Izinkan saya memberi sedikit status terkini, tentang antara projek
terbesar dalam sejarah negara, iaitu projek pengangkutan awam bersepadu
MRT-LRT.
85. Bagi projek sambungan LRT Laluan Ampang, dengan jarak 18.1
kilometer, akan boleh kita naiki pada Mac 2016. Manakala, bagi projek
sambungan LRT Laluan Kelana Jaya sehingga Putra Heights, dengan jarak
17.4 kilometer pula, akan boleh dinaiki pertengahan tahun 2016.
Kedua-dua projek sambungan ini, bernilai 10 bilion ringgit.
86. Projek MRT jajaran Sungai Buloh – Semantan pula, juga dapat
digunakan pada tahun 2016, pada bulan Disember. Manakala, Fasa 2
Semantan – Kajang dijangka siap pertengahan 2017. Projek ini, dengan
jarak 51 kilometer sedang dilaksanakan dengan kos 32 bilion ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
87. Hasil daripada permintaan ramai, Kerajaan juga telah memulakan rangkaian perhubungan awam lain seperti berikut:
Pertama: Projek MRT II dari Sungai Buloh – Serdang- Putrajaya dengan
jarak 52 kilometer, akan memanfaatkan 2 juta penduduk dengan anggaran
kos pembinaan 28 bilion ringgit. Kerja pembinaan direncana bermula dalam
suku kedua 2016 dan dijangka siap menjelang 2022;
Kedua: Projek LRT3 dari Bandar Utama, Damansara- Johan Setia, Klang
dengan jarak 36 kilometer, akan memanfaatkan 2 juta penduduk dengan
anggaran kos pembinaan 10 bilion ringgit. Ia mula dibina 2016 dan siap
pada 2020. Disamping itu, Kerajaan juga akan meneruskan rundingan High
Speed Rail dengan Kerajaan Singapura; dan
Ketiga: Bagi perkhidmatan awam bas, projek Bus Rapid Transit atau BRT
KL-Klang pada kos melebihi 1.5 bilion ringgit, dan BRT Kota Kinabalu
pada kos hampir 1 bilion ringgit akan dilaksanakan.
Tuan Yang Dipertua,
88. Untuk menambahbaik infrastruktur telekomunikasi pula, Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyediakan 1.2 bilion ringgit,
antara lain, untuk meningkatkan kelajuan internet luar bandar 4 kali
ganda dari sehingga 5 Megabit sesaat, kepada 20 Megabit sesaat,.
National Fiber Backbone Infrastructure, Jalur lebar berkelajuan tinggi
dan sistem kabel dasar laut.
89. Selain itu, 250 juta untuk projek pendigitalan penyiaran nasional
bagi meningkatkan kualiti audio visual dan memberi nilai tambah kepada
kandungan TV serta transaksi data interaktif.
Tuan Yang Dipertua,
90. Memang dari dahulu lagi, semenjak merdeka, kesejahteraan penduduk
luar bandar, menjadi keutamaan kita. Mana mungkin kita meminggirkan
mereka. Liputan jalan luar bandar telah meningkat daripada 46 ribu pada
2009 kepada 51 ribu kilometer, 98 peratus kawasan luar bandar telah
mendapat bekalan elektrik, dan hampir 95 peratus mendapat bekalan air.
91. Kerajaan akan terus melaksanakan usaha pembangunan infrastruktur kawasan luar bandar seperti berikut:
Pertama: 1.4 bilion ringgit bagi membina serta menaik taraf jalan luar
bandar sepanjang 700 kilometer di seluruh negara. Selain itu, 200 juta
ringgit lagi disediakan bagi menaik taraf jalan di kawasan penempatan
FELDA;
Kedua: 878 juta ringgit untuk Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar, yang
membabitkan 10 ribu buah rumah. 568 juta ringgit bagi Projek Bekalan Air
Luar Bandar untuk 3 ribu buah rumah;
Ketiga: 60 juta ringgit untuk Program Ameniti Sosial, terutamanya projek
perparitan bagi mencegah berlakunya banjir. Tumpuan diberikan kepada
negeri-negeri yang terlibat banjir seperti Kelantan, Kedah, Terengganu,
Pahang, Sabah dan Sarawak;
Keempat: Sebagai pemangkin keusahawanan di kawasan luar bandar dan
komuniti desa, 70 juta ringgit untuk meneruskan Program Rural Business
Challenge dan Program Desa Lestari; serta
Kelima: 67 juta ringgit diperuntukkan bagi Projek Kenderaan Bas MARA,
untuk pengendalian pengangkutan bas di laluan yang tidak ekonomik di
luar bandar.
Tuan Yang Dipertua,
92. Langkah Kelima: Sektor pelancongan merupakan sektor yang paling
berpotensi untuk menjana ekonomi negara dalam keadaan kini. Untuk 2016,
Kerajaan mensasarkan 30.5 juta pelancong yang dijangka menyumbang
sebanyak 103 bilion ringgit kepada ekonomi negara. 1.2 bilion ringgit
pula diperuntukkan kepada Kementerian Pelancongan untuk tujuan ini.
Tuan Yang Dipertua,
93. Tambahan lagi, permohonan visa secara atas talian atau online
application, akan dilaksanakan bermula dengan negara China, India,
Myanmar, Nepal, Sri Lanka, Amerika Syarikat dan Kanada.
94. Di samping itu, untuk memudahkan pelancong dan pelawat untuk
berkunjung ke Malaysia, Kerajaan akan melaksanakan e-Visa menjelang
pertengahan 2016.
95. Seterusnya, bagi mengambil peluang atas kedudukan Ringgit, kini, dan
usaha untuk menarik lebih ramai pelancong, pengecualian cukai
pendapatan sedia ada sebanyak 100 peratus daripada pendapatan berkanun
diberikan kepada pengusaha pelancongan dilanjutkan mulai tahun taksiran
2016 sehingga tahun taksiran 2018.
Tuan Yang Dipertua,
96. Seperti yang kita sedia maklum, aktiviti ekonomi dalam sektor
pertanian, adalah sumber makanan negara dan merupakan tempat
pergantungan pendapatan bagi petani, pesawah dan nelayan.
97. Sehubungan ini, 5.3 bilion ringgit diperuntukkan kepada Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani. Antara program yang akan dilaksanakan:
Pertama: 450 juta ringgit bagi pelbagai program berimpak tinggi seperti
program penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran serta geran pemadanan
dan penyelidikan produk herba dan penternakan ikan dalam sangkar;
Kedua: 180 juta ringgit bagi menaiktaraf infrastruktur saliran dan pengairan di kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu;
Ketiga: 190 juta ringgit kepada FAMA, bagi tujuan Program Penurunan
Harga, dengan menambah 50 buah lagi Pasar Tani dan mewujudkan 150
Agrobazaar Rakyat 1Malaysia atau ABR1M yang baru. 40 peratus daripada
barang jualan ABR1M, adalah barang-barang basah seperti ikan dan sayur
yang harganya, dianggarkan 5 hingga 30 peratus lebih rendah daripada
harga pasaran; dan
Keempat: 90 juta ringgit diperuntukkan untuk Program Pembangunan
Agropreneur Muda dalam bentuk geran in-kind, Dana Pembiayaan Usahawan,
penjenamaan semula MARDI, Jabatan Veterinar, Jabatan Pertanian dan
Jabatan Perikanan; serta pelaksanaan Projek Ladang Pengganda untuk
penternakan lembu dan ladang ayam kampung.
98. Dalam mengolah dasar sesuai dengan keadaan ekonomi terkini, Kerajaan
mencadangkan galakan cukai bagi aktiviti pengeluaran bahan makanan
dilanjutkan sehingga 2020. Insentif yang disediakan adalah seperti
berikut:
Pertama: Syarikat yang melabur dalam syarikat subsidiari yang
menjalankan projek pengeluaran bahan makanan, akan diberi potongan cukai
bersamaan jumlah pelaburan yang dibuat;
Kedua: Syarikat yang menjalankan projek baharu pengeluaran bahan makanan
pula diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus selama 10 tahun;
dan
Ketiga: Syarikat sedia ada yang menjalankan projek pembesaran pula, juga diberikan insentif yang sama untuk tempoh 5 tahun.
99. Skop insentif juga akan diperluas kepada ternakan rusa, tanaman
cendawan, kelapa, rumpai laut, lebah madu dan kelulut serta tanaman
makanan ternakan seperti ubi keledek dan ubi kayu.
Tuan Yang Dipertua,
100. Sehubungan dengan tindakan-tindakan tadi, Kerajaan akan melipat-gandakan sokongan untuk memperkukuhkan eksport negara.
101. Dengan itu, 235 juta ringgit diperuntukkan kepada MATRADE, untuk
Program Promosi 1Malaysia, Dana Eksport Perkhidmatan dan Dana Promosi
Eksport.
102. MATRADE dan SME Corp juga akan meningkatkan keupayaan PKS dan
syarikat peringkat pertengahan atau mid-tier, untuk mengeksport barangan
dan perkhidmatan ke luar negara.
103. Seterusnya, bagi mempelbagaikan penggunaan matawang asing untuk
urusan perdagangan pula, Bank Negara Malaysia menyediakan kemudahan
credit swap Ringgit-Renminbi kepada bank tempatan.
104. Pada masa ini, PKS boleh menuntut pengecualian cukai pendapatan
sebanyak 10 atau 15 peratus daripada nilai peningkatan eksport. Untuk
terus meningkatkan eksport, PKS diberi kelonggaran mematuhi syarat nilai
tambah iaitu 30 peratus kepada 20 peratus, dan 50 peratus kepada 40
peratus bagi produk perkilangan. Kelonggaran ini akan diberikan bagi
tahun taksiran 2016 hingga 2018.
105. Bagi menggalakkan perkhidmatan penilaian dan pematuhan piawaian
antarabangsa dilakukan di dalam negara, Kerajaan akan memberi galakan
untuk penubuhan Independent Conformity Assessment Bodies atau ICAB.
Tuan Yang Dipertua,
106. Setakat hari ini, Malaysia telah menandatangani 13 perjanjian
perdagangan bebas atau FTA iaitu 6 secara serantau melalui ASEAN dan 7
secara dua hala.
107. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, di
mana jumlah dagangan adalah sekitar 150 peratus melebihi KDNK, Kerajaan
telah menerima secara prinsipnya, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik
atau TPP. Walaubagaimanapun, pertimbangan secara muktamad akan dibuat di
Parlimen kelak.
Tuan Yang Dipertua,
108. KEUTAMAAN KEDUA: MENINGKATKAN PRODUKTIVITI, INOVASI DAN TEKNOLOGI
HIJAU. Lonjakan inovasi dan kreativiti adalah kritikal untuk
meningkatkan produktiviti kita. Penggunaan teknologi hijau akan turut
membantu melestarikan sumber-sumber asli negara.
109. Oleh yang demikian, Kerajaan mensasarkan pertumbuhan produktiviti buruh sebanyak 3.7 peratus setahun melalui:
110. Langkah Satu: Bagi menjadikan negara sebagai hab teknologi yang
kompetitif di rantau ini, 1.5 bilion ringgit diperuntukkan kepada
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
111. Lantaran, 2016 akan diisytiharkan sebagai Tahun Pengkomersilan
Malaysia, dalam melonjakkan hasil produk R&D oleh institusi
penyelidikan tempatan. Maka, inisiatif- inisiatif berikut akan
dilaksanakan:
Pertama: PKS yang membuat perbelanjaan untuk projek R&D sehingga 50
ribu ringgit bagi setiap tahun taksiran, layak menuntut potongan cukai
dua kali secara automatik. Kemudahan ini diberikan bagi tahun taksiran
2016 sehingga 2018;
Kedua: 100 juta ringgit kepada Agensi Inovasi Malaysia;
Ketiga: 200 juta ringgit di bawah Skim Dana Lonjakan Teknologi dan Inovasi oleh Malaysia Debt Ventures Bhd;
Keempat: 35 juta ringgit kepada MaGIC, sebagai Peneraju Hab Keusahawanan
dan Inovasi Serantau, termasuk 10 juta ringgit sebagai dana permulaan
untuk Corporate Entrepreneurs Responsibility Fund;
Kelima: 30 juta ringgit untuk pelbagai program keusahawanan generasi
muda seperti Global Entrepreneurship Community, BAHTERA, GREAT, 1MET,
National Innovation Competition serta Projek Perintis Coding di sekolah;
dan
Keenam: Bagi menggiatkan aktiviti demand driven innovation, pada tahun
2016, Kerajaan akan memperuntukkan 50 juta ringgit untuk Public-Private
Research Network.
Tuan Yang Dipertua,
112. Langkah Dua: Bagi mempertingkatkan penggunaan teknologi dalam
sektor pembinaan, Kerajaan akan menggalakkan lagi penggunaan teknologi
Industrialised Building System atau IBS. Sehubungan itu, Kerajaan
menggalakkan lebih banyak syarikat menggunapakai teknologi IBS.
113. Bagi tujuan ini, dana khas IBS Promotion Fund sebanyak 500 juta
ringgit disediakan melalui SME Bank, sebagai pinjaman mudah kepada
pemaju dan kontraktor kategori G5 dan ke bawah.
114. Langkah Tiga: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan
melaksanakan pelbagai usaha teknologi hijau termasuk penyediaan bekalan
air bersih, melalui pembinaan loji rawatan air, dengan peruntukan 877
juta ringgit. 515 juta ringgit pula, diperuntukkan bagi meningkatkan
mutu bekalan elektrik di Sabah.
115. Kerajaan turut mensasarkan pengurangan intensiti pelepasan gas
rumah hijau sehingga 40 peratus KDNK pada tahun 2020, melalui:
Pertama: Pelaksanaan Pelan Tindakan Mobiliti Elektrik termasuk proses audit tenaga dengan peruntukan 45 juta ringgit;
Kedua: Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari atau SEDA melaksanakan
Skim Pemeteran Tenaga Bersih, dengan kuota 100 MW setahun, dalam
menggalakkan penggunaan solar photovoltaic; dan
Ketiga: Melanjutkan tempoh pelaksanaan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau
sehingga 31 Disember 2017, dengan dana sebanyak 1.2 bilion ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
116. KEUTAMAAN KETIGA: MEMPERSIAGA MODAL INSAN.
Perkara ini amat kritikal untuk masa depan negara. Justeru Kerajaan akan mengambil langkah-langkah seperti:
117. Langkah 1: Di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
2013-2025, sebanyak 41.3 bilion ringgit akan diperuntukkan pada 2016.
118. Antara lain, Kerajaan akan membina:
• 30 sekolah rendah;
• 27 sekolah menengah;
• 4 buah MRSM di Sik, Kedah, serta Ketereh, Tanah Merah, Kelantan, Bagan Datoh, Perak; dan
• 5 buah Sekolah Berasrama Penuh di Alor Gajah, Melaka, Pendang, Kedah, Segamat dan Ledang di Johor dan Jerantut, Pahang.
119. Untuk peringkat kelas prasekolah pula, 44.6 juta ringgit
diperuntukkan untuk pelbagai program di 9,113 buah kelas seluruh
Malaysia.
Tuan Yang Dipertua,
120. Untuk meningkatkan Penguasaaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris,
135 juta ringgit diperuntukkan bagi program Memartabat Bahasa Malaysia
dan Memperkukuh Bahasa Inggeris.
121. Oleh kerana, Bahasa Inggeris amat penting dalam persaingan global
semasa, maka dua lagi inisiatif, iaitu Dual Language Programme dan
Highly Immersive Programme akan dilaksanakan secara optional dengan kos
38.5 juta ringgit. Dalam hal ini, 300 buah sekolah telah dikenal pasti
sebagai projek perintis.
122. Bagi meringankan tanggungan ibubapa untuk perbelanjaan persekolahan
anak-anak, bantuan 100 ringgit akan diteruskan. Mulai Januari 2016, ia
hanya dikhususkan kepada pelajar sekolah dari kalangan isi rumah
berpendapatan 3 ribu ringgit ke bawah. Ini memanfaatkan 3.5 juta pelajar
dengan peruntukan 350 juta ringgit.
123. Selain itu, program rancangan makanan tambahan yang melibatkan 550
ribu pelajar dari keluarga miskin yang tersenarai dalam eKasih akan
ditambah baik.
124. Program ini, yang sebelumnya hanya tertakluk kepada makanan waktu
rehat, akan diperluaskan dengan kos tambahan 173 juta ringgit untuk
sarapan pagi. Kos keseluruhan program ini sebanyak 423 juta ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
125. Seperti tahun-tahun sebelum ini, Kerajaan juga terus menyediakan
peruntukan untuk membangunkan dan menyelenggara Fasiliti Pendidikan
untuk Sekolah Kebangsaan; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina; Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil; Sekolah Mubaligh; Sekolah Berasrama Penuh; Sekolah
Agama Bantuan Kerajaan; MRSM; Sekolah Pondok yang berdaftar dan Sekolah
Menengah Kebangsaan Cina atau Conforming School yang mengguna pakai
kurikulum Kebangsaan. Peruntukan bagi tujuan ini, keseluruhannya
berjumlah 500 juta ringgit.
126. Langkah Dua: Pembiayaan biasiswa diteruskan dengan agihan, antaranya seperti berikut:
• 1.65 bilion ringgit melalui Jabatan Perkhidmatan Awam;
• 288 juta ringgit melalui Kementerian Pendidikan;
• 250 juta ringgit melalui Kementerian Pendidikan Tinggi; dan
• 258 juta ringgit melalui Kementerian Kesihatan.
127. Selanjutnya, dalam menggalakkan lagi pendidikan tinggi, sukacita
saya umumkan, had maksima pelepasan cukai ke atas yuran pengajian
pendidikan tinggi bagi pembayar cukai individu, dinaikkan kepada 7 ribu
ringgit daripada 5 ribu ringgit setahun.
128. Ini dilengkapkan lagi dengan penerusan Program Baucar Buku
1Malaysia yang bernilai 250 ringgit, bagi 1.2 juta pelajar. Untuk
mengelakkan salah guna baucar ini, kaedah penebusan akan diperkemaskan
hanya di kedai-kedai buku yang diiktiraf.
Tuan Yang Dipertua,
129. Langkah Tiga: Dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan pekerja,
kita mensasarkan 60 peratus daripada 1.5 juta pekerjaan baharu, adalah
pekerja berkemahiran TVET menjelang 2020. Sejumlah 4.8 bilion ringgit
diperuntukkan kepada 545 Institusi TVET di bawah Bajet ini.
130. Dalam usaha ini juga, MITI akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa
Kemahiran Industri bagi menyelaras program TVET dengan kerjasama pihak
industri.
131. Selain daripada itu, lebih 330 ribu pelatih akan mendapat manfaat
daripada inisiatif ini melalui antaranya program-program berikut:
Pertama: 585 juta ringgit untuk peralatan latihan TVET di Politeknik,
Kolej Komuniti, Institut Kemahiran MARA, Institut Kemahiran Belia
Negara, Institut Latihan Perindustrian, GiatMARA dan Kolej Vokasional;
Kedua: 350 juta ringgit untuk membiayai program di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran; dan
Ketiga: 80 juta ringgit untuk penubuhan Akademi Pelancongan di Kolej
Komuniti Kota Kinabalu, Kolej Vokasional Sandakan serta Institut Latihan
Perindustrian Serian, Sarawak.
Tuan Yang Dipertua,
132. Langkah Empat pula, berkenaan Memperkasa Belia, Komuniti dan NGO.
Bagi langkah ini, Bajet 2016 memperuntukkan 930 juta ringgit kepada
Kementerian Belia dan Sukan bagi inisiatif berikut:
Pertama: 280 juta ringgit untuk latihan teknikal dan vokasional di
Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Kemahiran Tinggi Belia
Negara;
Kedua: 50 juta ringgit untuk meningkatkan aktiviti pembangunan belia dalam kegiatan ekonomi dan keusahawanan;
Ketiga: 145 juta ringgit untuk mempersiapkan atlet negara untuk
menghadapi cabaran Sukan SEA ke 29, dan Sukan Para ASEAN ke 9 pada tahun
2017 di Kuala Lumpur;
Keempat: 75 juta ringgit untuk terus melahirkan jaguh sukan bertaraf dunia melalui Program Pembangunan Podium Sukan Elit;
Kelima: 22 juta ringgit untuk membina 2 Kompleks Sukan di Bagan Datoh dan Kuantan; dan
Keenam: 360 juta ringgit untuk menambahbaik Program Latihan Khidmat
Negara bagi 20 ribu pelatih. Ia melibatkan kurikulum baru seperti
kemahiran berfikir secara kreatif dan kemahiran teknikal.
133. Akhir sekali, 160 juta ringgit disediakan untuk NGO-NGO, bagi
melaksanakan program berasaskan pembangunan komuniti, perpaduan,
kebajikan masyarakat, kesihatan dan keselamatan.
Tuan Yang Dipertua,
134. Langkah Lima, memfokus kepada Kualiti Tenaga Kerja.Bagi
meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja, program seperti berikut akan
dilaksanakan:
Pertama: Memperuntukkan 30 peratus daripada Kumpulan Wang Pembangunan
Sumber Manusia, sebagai dana terkumpul bagi melaksanakan program latihan
mengikut keperluan industri setempat di Sabah dan Sarawak, serta
Outplacement Centre bagi melatih semula pekerja yang telah
diberhentikan; dan
Kedua: Melatih 15 ribu peserta melalui program Skim Latihan 1Malaysia
atau SL1M dengan kos 250 juta ringgit yang akan dibiayai sepenuhnya oleh
GLC.
Tuan Yang Dipertua,
135. Untuk Menambahbaik Pengurusan Tenaga Kerja Asing pula, sebanyak 77
juta ringgit akan diperuntukkan oleh PSMB bagi menjalankan program
seperti Train & Replace dalam bidang terpilih seperti hospitaliti,
perkapalan dan pengangkutan.
Tuan Yang Dipertua,
136. Kerajaan terus komited dengan hasrat untuk mencapai
sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan wanita di peringkat membuat
keputusan dalam sektor awam dan swasta. Ini termasuklah di peringkat
Lembaga Pengarah; dan Kerajaan akan sentiasa memantau pencapaian dasar
ini.
Tuan Yang Dipertua,
137. KEUTAMAAN KEEMPAT: MEMPERKASA AGENDA BUMIPUTERA. Perlu saya
tegaskan, bahawa pemerkasaan Bumiputera adalah agenda nasional dan ini
tentunya, merangkumi pembangunan masyarakat Bumiputera di Sabah dan
Sarawak.
138. Sebanyak 150 juta ringgit disalurkan kepada TERAJU untuk
pelaksanaan pelbagai program termasuk Skim Usahawan Permulaan Bumiputera
dan Program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi
139. 150 juta ringgit diperuntukkan kepada Yayasan Peneraju Pendidikan
Bumiputera untuk melaksanakan program Peneraju Tunas, Peneraju
Profesional serta Peneraju Skil dan Iltizam.
140. Manakala, kepada MARA pula, diperuntukkan 3.7 bilion ringgit,
termasuk menaja pengajian 72 ribu pelajar Bumiputera di peringkat
pendidikan tinggi.
141. Bagi memantapkan pemilikan ekuiti serta memperhebat keusahawanan
dan perniagaan Bumiputera, peruntukan akan diberikan seperti berikut:
Pertama: 400 juta ringgit kepada Dana Ekuiti Nasional Berhad atau EKUINAS;
Kedua: 250 juta ringgit kepada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad;
Ketiga: 150 juta ringgit kepada Pelaburan Hartanah Berhad; dan
Keempat : 100 juta ringgit sebagai pinjaman kepada UDA Holdings untuk tujuan pembangunan Kampung Baru Kuala Lumpur.
Tuan Yang Dipertua,
142. Manakala, untuk agenda pembangunan di Sabah dan Sarawak, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:
Pertama: Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang meliputi jajaran sepanjang
1,090 km, dijangka siap sepenuhnya pada 2021 dengan anggaran kos
sebanyak 16.1 bilion ringgit.
Di Sabah pula, fasa 1 lebuhraya ini, akan mula dibina pada 2016 meliputi
706 kilometer, bermula dari Sindumin ke Tawau, dengan anggaran kos 12.8
bilion ringgit. Sukacitanya saya berkongsi sekali lagi, Lebuhraya Pan
Borneo ini akan bebas daripada sebarang bayaran tol;
Kedua: Pengangkutan penumpang udara merupakan antara mod utama
pengangkutan bagi penduduk pedalaman, di Sabah dan Sarawak serta Labuan.
Maka, perkhidmatan pengangkutan penumpang udara domestik kelas ekonomi
bagi laluan Rural Air Services dikecualikan daripada GST;
Ketiga: Sebagai satu program baru, 70 juta ringgit disediakan melalui
Bank Simpanan Nasional dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan
Sarawak, bagi pinjaman tanpa faedah untuk tujuan membina rumah-rumah
panjang dengan had pinjaman 50 ribu ringgit untuk setiap unit di rumah
panjang;
Keempat: 70 juta ringgit sebagai subsidi baja padi huma disediakan untuk
meningkatkan bekalan makanan dan pendapatan penanam padi huma, yang
meliputi kawasan seluas 65 ribu hektar di Sarawak, dan 11 ribu hektar di
Sabah;
Kelima: 260 juta ringgit disediakan untuk Program 1Harga 1Sarawak dan
Program 1Harga 1Sabah bagi memastikan keseragaman harga barangan
terpilih di seluruh negara;
Keenam: 115 juta ringgit disediakan khusus bagi Program Khas Bumiputera
Sabah dan Sarawak, seperti untuk projek native customary rights, yang
merangkumi prosedur-prosedur pemetaan dan pengukuran tanah-tanah adat,
serta melibatkan kos membina native courts, atau mahkamah-mahkamah adat.
Bagi projek native customary rights, 20 juta daripada jumlah tersebut
untuk pemetaan tanah di Sabah, dan 30 juta ringgit pula, untuk tujuan
yang sama di Sarawak; dan
Ketujuh: Meningkatkan perkhidmatan Klinik Bergerak 1Malaysia di
pendalaman Sabah dan Sarawak, termasuk pembelian bot dan kenderaan baru.
Tuan Yang Dipertua,
143. KEUTAMAAN KELIMA: MERINGANKAN KOS SARA HIDUP RAKYAT. Hal ini,
adalah amat dekat di hati saya dan Kerajaan. Makanya, pelbagai inisiatif
akan dilakukan melalui:
144. Langkah Satu: Meningkatkan Taraf Hidup Isi Rumah B40, di mana:
Pertama: TEKUN akan menyediakan 600 juta ringgit yang meliputi 500 juta
ringgit untuk usahawan Bumiputera, dan 100 juta ringgit untuk 10 ribu
usahawan India, melalui Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India.
Selain itu, 50 juta ringgit disediakan oleh SME Bank untuk membantu
usahawan kecil India;
Kedua: Tambahan 200 juta ringgit kepada dana sedia ada untuk Amanah
Ikhtiar Malaysia, bagi kemudahan pembiayaan mikro kepada isi rumah B40;
Ketiga: 100 juta ringgit disediakan di bawah Program Pembangunan
Sosioekonomi Masyarakat India yang melibatkan kerjasama NGO dengan
Institut Latihan Kemahiran Swasta;
Keempat: Tambahan 90 juta ringgit sebagai pinjaman mikro kredit kepada
penjaja dan peniaga-peniaga kecil kaum Cina yang termasuk 50 juta
ringgit untuk KOJADI.
Seterusnya, 40 juta ringgit bagi melaksanakan projek infrastruktur dan
program pinjaman mudah kepada penduduk kampung-kampung baru Cina bagi
pembayaran premium tanah dan membaik pulih rumah;
Kelima: 50 juta ringgit kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan
Wilayah, untuk Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya serta Program
Peningkatan Pendapatan. Melalui kedua-dua program ini, peserta akan
mendapat manfaat latihan kemahiran dan juga bantuan berbentuk aset serta
bahan mentah; dan
Keenam: Menyediakan 100 juta ringgit kepada Institusi Latihan Kemahiran
Swasta dan NGO bagi meningkatkan kemahiran B40 untuk mereka mendapat
pekerjaan atau memulakan perniagaan.
Tuan Yang Dipertua,
145. Sejak dulu lagi, Kerajaan ini sungguh prihatin terhadap kebajikan
dan kemajuan masyarakat Orang Asli. Untuk ini, sebanyak 300 juta ringgit
disediakan bagi melaksanakan:
Pertama: Pembangunan Perkampungan Bersepadu antaranya di Sungai Siput,
Perak yang merangkumi pembinaan jalan perhubungan, penyediaan bekalan
elektrik dan air terawat dengan peruntukan 80 juta ringgit;
Kedua: Bantuan makanan tambahan, wang saku dan tambang pengangkutan sekolah sebanyak 45 juta ringgit; dan
Ketiga: Projek pembangunan ladang getah dan kelapa sawit serta tanaman
kontan, menerusi Projek Pembangunan Ekonomi Orang Asli sebanyak 25 juta
ringgit.
146. Untuk golongan B40 lagi, program eRezeki dan eUsahawan akan
diperluaskan ke seluruh negara, untuk menambah peluang pekerjaan dan
meningkatkan pendapatan mereka. Kerajaan mensasarkan 100 ribu dari
kalangan B40 mendapat manfaat dengan peruntukan sebanyak 100 juta
ringgit, yang disediakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia
Malaysia.
Tuan Yang Dipertua,
147. Untuk Golongan Pesawah, Pekebun Kecil dan Penoreh Getah pula, Bajet
kali ini menyediakan 852 juta ringgit kepada RISDA dan FELCRA untuk
melaksanakan pelbagai program peningkatan pendapatan dan produktiviti.
148. Kerajaan bercadang menambahbaik Insentif Pengeluaran Getah atau
IPG. Untuk ini, sukacita saya umumkan, paras pengaktifan IPG dinaikkan
daripada 4 ringgit 60 sen, kepada 5 ringgit 50 sen sekilogram, bagi
getah SMR20 Freight On Board. Bagi getah skrap atau cuplumps di
peringkat ladang pula, dinaikkan daripada 1 ringgit 75 sen, kepada 2
ringgit 20 sen sekilogram.
149. Sebagai ilustrasi, berdasarkan purata pengeluaran 250 kilogram
sebulan bagi setiap hektar, pemilik kebun seluas 2 hektar dijangka mampu
meraih pendapatan seribu ringgit sebulan. Ini adalah pada harga pasaran
getah skrap 2 ringgit sekilogram.
150. Kini, dengan bayaran tambahan IPG sebanyak 20 sen bagi setiap
kilogram, pendapatan keseluruhan pemilik kebun tersebut akan meningkat
kepada 1,100 ringgit sebulan.
151. Dengan penambahbaikan IPG ini juga Tuan Yang Dipertua, jikalau
senario tadi hanya merujuk kepada seorang pemilik kebun, secara
keseluruhannya pula, melalui Bajet ini seramai 300 ribu pekebun getah
akan menerima manfaat tambahan daripada Kerajaan. Jumlah peruntukan yang
dianggarkan adalah sebanyak 200 juta ringgit.
152. Selanjutnya, bagi menggalakkan petani meningkatkan mutu padi dan
hasil tuaian mereka, Kerajaan akan melaksanakan inisiatif Pemutuan
Sebenar Padi dan menambahbaik Skim Subsidi Harga Padi, mulai 1 Januari
2016.
153. Pemutuan Sebenar Padi adalah berasaskan penyeragaman harga padi
pada paras 1,200 ringgit setiap tan metrik. Sebagai pelengkap kepada
inisiatif ini, Kerajaan juga meningkatkan kadar SSHP dari 248 ringgit 10
sen, kepada 300 ringgit bagi setiap tan metrik.
154. Maksudnya, sekiranya seseorang petani itu menghasilkan 6 tan metrik
padi, yang menepati kualiti pemutuan 20 peratus pemotongan, beliau
layak mendapat bayaran hasil jualan sebanyak 5,760 ringgit.
155. Bukan itu sahaja, petani tersebut juga akan menerima penambahan
menerusi peningkatan kadar SSHP, menjadikan jumlah pendapatannya
meningkat daripada 1,190 ringgit kepada 1,440 ringgit.
156. Maka, secara keseluruhannya, setelah ini, petani tersebut akan
mendapat 7,200 ringgit, pada setiap kali penuaian. Suka saya menyatakan
di sini, seramai 155 ribu pesawah akan menikmati penambahbaikan skim
ini.
157. Langkah Dua: Seperti kita tahu, isu pemilikan rumah adalah isu yang
sering dibangkitkan semenjak beberapa tahun ini. Pelaksanaannya
memerlukan penglibatan pelbagai agensi.
Tuan Yang Dipertua,
158. Bajet 2016, meneruskan pelbagai program pemilikan rumah bagi segenap lapisan pendapatan seperti berikut:
Pertama: Membina 175 ribu unit rumah oleh PR1MA, yang dijual 20 peratus
di bawah harga pasaran, dengan peruntukan 1.6 bilion ringgit. Sebanyak
10 ribu unit dijangka siap tahun hadapan;
Kedua: Membina 10 ribu unit Rumah Mesra Rakyat oleh Syarikat Perumahan
Negara Berhad, dengan pemberian subsidi 20 ribu ringgit bagi seunit
rumah dengan peruntukan 200 juta ringgit;
Ketiga: Membina 100 ribu unit rumah Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia
atau PPA1M, menjelang tahun 2018, dengan harga di antara 90 hingga 300
ribu ringgit. Bantuan Dana Mudahcara sehingga 25 peratus daripada kos
pembangunan disediakan;
Keempat: Membina 22,300 unit pangsapuri dan 9,800 unit rumah teres di
bawah Program Perumahan Rakyat oleh KPKT dengan peruntukan 863 juta
ringgit;
Kelima: Menyediakan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama di bawah KPKT,
sebagai sumbangan kepada pembeli rumah pertama untuk rumah mampu milik
bagi tujuan bayaran deposit. Untuk ini, 200 juta ringgit diperuntukan;
Keenam: Membina 5 ribu unit rumah PR1MA dan PPA1M di 10 lokasi sekitar
stesen dan koridor LRT serta monorel, antaranya di Pandan Jaya, Sentul
dan Titiwangsa;
Ketujuh: Memperuntukkan 60 juta ringgit kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli khusus untuk pembinaan rumah masyarakat Orang Asli;
Kelapan: Membina rumah untuk generasi kedua peneroka, iaitu 20 ribu unit
rumah oleh FELDA, 2 ribu unit rumah oleh FELCRA dan 2 ribu unit rumah
oleh RISDA.
Bagi rumah FELDA, harga maksima kini diturunkan kepada 70 ribu ringgit berbanding 90 ribu ringgit sebelum ini;
Kesembilan: Membina 800 unit rumah mampu milik oleh GLC berhampiran
stesen MRT dalam Kawasan Pusat Bandar Kwasa Damansara oleh Kwasa Land
milik KWSP, dan 4,600 unit rumah mampu milik oleh Sime Darby Property;
dan
Kesepuluh: Memperuntukkan 40 juta ringgit di bawah KPKT, bagi pemulihan projek perumahan swasta terbengkalai.
Selain itu, pengecualian duti setem diberikan ke atas surat cara
pembiayaan pinjaman kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah
terbengkalai.
Tuan Yang Dipertua,
159. Seterusnya, bagi menyediakan persekitaran penduduk yang selesa, langkah berikut akan dilaksanakan:
Pertama: 150 juta ringgit bagi membina dan membaik pulih 11 ribu rumah daif di kawasan luar bandar oleh KKLW; dan
Kedua: 155 juta ringgit bagi penyelenggaraan perumahan awam kos rendah,
dan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia oleh KPKT. Antara lain, tabung ini
membolehkan pembiayaan 100 peratus untuk pembaikan lif, railing, serta
pendawaian semula.
Tuan Yang Dipertua,
160. Langkah Tiga: Sememangnya, negara mana yang tidak mahu kualiti
perkhidmatan kesihatan terbaik dan bertaraf dunia. Inilah yang sentiasa
diperjuangkan oleh Kerajaan Barisan Nasional sejak dahulu, kini dan
selamanya. Antara projek yang akan dilaksanakan adalah:
Pertama: Membina 5 hospital baru di Pasir Gudang, Kemaman, Pendang, Maran dan di Cyberjaya;
Kedua: Memulakan operasi Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur, yang bernilai 848 juta ringgit pada Oktober 2016;
Ketiga: Projek Pembangunan Semula Hospital Kajang;
Keempat: 260 juta ringgit bagi membina dan menaik taraf klinik desa,
klinik kesihatan dan klinik pergigian, berserta kuarters di seluruh
negara;
Kelima: 52 juta ringgit bagi operasi 328 klinik 1Malaysia sedia ada, dan pembukaan 33 klinik 1Malaysia baharu;
Keenam: 72 juta ringgit untuk bantuan perubatan, termasuk hemodialisis,
yang memanfaatkan hampir 10 ribu pesakit kurang berkemampuan; dan
Ketujuh: 4.6 bilion ringgit untuk bekalan ubat, consumables, vaksin dan reagents kepada semua hospital dan klinik Kerajaan.
161. Bermula 1 Januari 2016 juga, Kerajaan akan mengenakan caj penuh rawatan kepada pesakit bukan warganegara Malaysia.
Tuan Yang Dipertua,
162. Langkah Empat: Kerajaan akan terus memperkukuh sistem jaringan
perlindungan sosial dengan peruntukan hampir 2 bilion ringgit kepada
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, untuk membantu
golongan OKU, warga emas dan keluarga miskin. Untuk tujuan ini, antara
program yang akan dilaksanakan adalah:
Pertama: 445 juta ringgit bagi meneruskan pemberian 350 ringgit sebulan
kepada OKU bekerja dan 200 ringgit sebulan kepada OKU yang tidak bekerja
serta untuk penjagaan OKU terlantar sebanyak 300 ringgit sebulan.
Kesemuanya ini, akan memanfaatkan hampir 150 ribu OKU;
Kedua: 100 juta ringgit disediakan termasuk untuk menambah 20 lagi buah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti; dan
Ketiga: Bantuan 662 juta ringgit untuk anak daripada keluarga miskin
berjumlah 100 hingga 450 ringgit sebulan, serta warga emas miskin
sebanyak 300 ringgit sebulan.
Tuan Yang Dipertua,
163. Dalam setahun yang lepas, negara telah dilanda dua bencana yang
besar, iaitu banjir besar pada penghujung 2014, dan gempa bumi di Ranau,
Sabah. Musibah dan tragedi ini, jika tidak diambil langkah yang
proaktif, boleh menyebabkan kerugian berbilion ringgit dan lebih penting
lagi, kehilangan nyawa dan anggota.
164. Maka, bagi memperkukuh pengurusan bencana alam, 180 juta ringgit
disediakan termasuk untuk penubuhan Agensi Pengurusan Bencana Negara di
bawah JPM.
165. Seterusnya, 730 juta ringgit diperuntukkan bagi Projek Rancangan
Tebatan Banjir di seluruh negara. Manakala, 60 juta ringgit untuk
Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara serta membangunkan Sub-Pusat
Gempa Bumi dan Tsunami Nasional di Sabah.
Tuan Yang Dipertua,
Ahli-Ahli Dewan yang mulia serta Rakyat Malaysia Sekalian,
166. Jelasnya, apa yang pentadbiran Kerajaan sedia ada selama ini,
sedang lakukan dan laksanakan, dengan sehabis baik ini,…Sebetulnya,
merupakan tali-temali, sambung menyambung dasar serta perancangan
pimpinan negara, sejak dekad-berdekad.
167. Lantas,… ingin saya ulangi,.. Bajet ini,…satu antara langkah dalam
rantaian langkah-langkah besar terakhir,…yang hanya tinggal sedikit masa
lagi sebelum mentari sebagai negara maju, menzahirkan cahayanya.
168. Pucuk pangkalnya, sebagaimana baik pun perancangan yang dibuat,
sedemikian apapun rencana yang disusun, hukum hakam dan resmi bernegara,
seperti tercatat dalam tawarikh kehidupan, membuktikan bahawa, hatta
sebuah tamadun pun akan gagal jikamana kerukunan, kestabilan dan
kebersatuan negara tidak diperkekalkan.
Tuan Yang Dipertua,
169. Oleh sebab itulah, tatkala membicarakan tentang ketenteraman
tanahair, tiada kalimah sebagai ibarat, tiada kata sebagai umpama, yang
dapat menunjukkan betapa kita berterima kasih dan menghargai jasa serta
pengorbanan anggota keselamatan, mahupun para perajurit dalam menjamin
keamanan pertiwi.
170. Oleh yang demikian, Kerajaan komited untuk melaksanakan pelan
pembangunan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia atau ATM secara
berperingkat.
171. Sehubungan itu, sebanyak 17.3 bilion ringgit disediakan untuk
Kementerian Pertahanan. Antaranya, bagi perolehan 6 buah Littoral
Combatant Ship, sistem persenjataan Very Short Range Air Defence, kereta
berperisai dan pesawat Airbus A-400M.
172. Tambahan lagi, ATM akan diperlengkapkan dengan teknologi terkini,
termasuk penggunaan Unmanned Airborne System untuk meningkatkan
keupayaan Intelligence, Surveillance and Reconnaissance.
173. Sejumlah 523 juta ringgit pula, diperuntukkan untuk pembangunan kem
tentera darat ESSCOM di FELDA Sahabat, Lahad Datu, Sabah.
174. Seterusnya, bagi mengenang jasa dan khidmat bakti wira-wira kita,
sebanyak, 160 juta ringgit diperuntuk bagi membina 4 ribu unit lagi
kuarters anggota Angkatan Tentera Malaysia.
175. Tidak cukup sekadar itu, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, sedang
merancang untuk membina tambahan 2 ribu unit lagi rumah mampu milik,
kepada anggotanya bermula tahun hadapan.
176. Di samping itu, Kerajaan bersetuju supaya Agensi Penguatkuasaan
Maritim Malaysia, diperuntukkan sejumlah 864 juta ringgit, bertujuan
antaranya, perolehan Offshore Patrol Vessel dan kapal peronda.
177. Manakala, bagi mempertingkatkan keselamatan dan ketenteraman awam
dalam negeri, untuk terus mengurangkan kadar jenayah,… sejumlah 13.1
bilion ringgit disediakan. Inisiatif-inisiatif berikut akan
dilaksanakan:
Pertama: 155 juta ringgit untuk pembinaan 2 buah Ibu Pejabat Polis
Daerah atau IPD baharu, iaitu di Lawas, Sarawak dan Kota Kinabalu,
Sabah, serta 10 buah IPD dan 5 buah balai polis yang masih dalam
pembinaan;
Kedua: Merancang untuk membina 2 ribu unit lagi rumah mampu milik bagi
anggota Polis Diraja Malaysia atau PDRM, antaranya di Rawang dan
kawasan-kawasan yang sedang dikenalpasti;
Ketiga: 36 juta ringgit untuk membina pejabat, kuarters dan menaiktaraf depoh tahanan imigresen;
Keempat: 50 juta ringgit bagi mempertingkatkan langkah keselamatan penjara; dan
Kelima: 20 juta ringgit untuk Program Bandar Selamat di 60 kawasan
hitam, antaranya melalui pengasingan laluan pejalan kaki dan pencahayaan
di kawasan tersebut.
Sukacita saya mengumumkan, penambahan 500 unit Rondaan Bermotosikal PDRM
lagi, dan 500 unit lagi kereta peronda, dengan peruntukan keseluruhan
sebanyak 35 juta ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
178. Bagi menguatkan lagi usaha integriti dan mengurangkan ketirisan
serta rasuah, SPRM akan terus dimantapkan dengan program-program serta
latihan yang relevan. Dengan ini, bilangan pegawai SPRM akan turut
ditambah mengikut keperluan.
179. Merujuk kepada falsafah Rancangan Malaysia Kesebelas lagi, Tuan
Yang Dipertua, sepertimana yang telah saya nyatakan di awal ucapan tadi,
tentang rupawajah dan warna-warna kemajuan negara serta sahsiah rakyat
yang kita dambakan, ketikamana memasuki gelanggang negara maju kelak,
dalam apa jua yang direncanakan, seperti dokumen Bajet ini,… perihal
kebajikan dan kepentingan rakyat, menjadi keutamaan.
180. Sepertimana ramai makrufi,… Malaysia kontemporari ini, sudah pun
dikenali sebagai sebuah negara Islam yang progresif lagi dinamik,
sehingga disegani di seantero dunia. Sejak tahun-tahun kebelakangan,…
Kerajaan sedang menuju maksud dalam usaha menepati kerangka Maqasid
Syariah dan pengertian wasatiyyah.
181. Walau apapun, untuk memenuhi tuntutan maqasid syariah, bukanlah
sesuatu yang mudah. Apatah lagi, berkait ciri kemajmukan rakyat di
negara ini.
182. Sememangnya pun, tanpa disedari, sejak meraih kemerdekaan, kita
telah mengamalkan objektif tersebut dengan prinsip kesederhanaan yang
begitu tersendiri.
183. Berdiri di atas asas ini, kita telah berjaya membina sebuah negara yang makmur, aman dan sentosa.
184. Di sudut ini,… tidak ada sesiapa yang dapat menafikan bahawa
tunjang dan tonggak kepada urusan pentadbiran negara adalah para
kakitangan awam.
185. Oleh itu, marilah kita mengucapkan syabas dan tahniah kepada lebih 1.6 juta mereka yang berjasa ini.
186. Pucuk dicita ulam pun mendatang, saat dinanti kini menjelang. Bagi
Menghargai Perkhidmatan Awam, atas segala sumbangan dan khidmat bakti
kepada negara, Kerajaan bersetuju:
Pertama : Memberi faedah pemindahan gaji bersamaan satu kenaikan gaji
tahunan mengikut gred yang akan memanfaatkan 1.6 juta warganya dengan
peruntukan 1.1 bilion ringgit;
Kedua : Menambah baik sebanyak 252 skim perkhidmatan yang akan memanfaatkan 406 ribu penjawat awam;
Ketiga : Menetapkan gaji permulaan terendah dalam Perkhidmatan Awam
kepada 1,200 ringgit sebulan yang akan memanfaatkan 60 ribu penjawat
awam;
Keempat : Menetapkan kadar pencen minimum sebanyak 950 ringgit sebulan,
yang akan melibatkan hampir 50 ribu pesara awam dengan
sekurang-kurangnya 25 tahun tempoh perkhidmatan; dan
Kelima : Melantik secara tetap pegawai lantikan Contract of Service yang
telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun. Ini akan memanfaatkan
lebih 10 ribu pegawai kontrak.
187. Pelaksanaan kesemua langkah ini Tuan Yang Dipertua, akan
berkuatkuasa pada 1 haribulan Julai 2016 dengan peruntukan sebanyak 1.4
bilion ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
188. Bagi merealisasikan harapan, seperti yang dijanjikan, dalam ikhtiar
meringankan kos sara hidup rakyat pula, Bantuan Rakyat 1Malaysia atau
BR1M akan diteruskan.
189. Saya tahu benar,… ada pihak yang mengatakan bahawa BR1M tidak perlu
diteruskan. Namun, melalui maklum balas yang diterima, mereka sangat
bersyukur dan berterima kasih di atas keprihatinan Kerajaan ini, kerana
terbukti, Bantuan Rakyat 1Malaysia tersebut telah sedikit sebanyak
membantu meringankan beban hidup mereka.
190. Sehubungan yang demikian,… selaras dengan Aku Janji Kerajaan
Barisan Nasional juga, sukacita saya umumkan, jumlah BR1M untuk tahun
2016 akan dinaikkan seperti berikut:
Pertama: Satu kategori baru diperkenalkan bagi semua penerima di dalam
senarai e-Kasih yang berpendapatan bulanan di bawah 1,000 ringgit, akan
menerima BR1M sebanyak 1,050 ringgit;
Kedua: Bagi isi rumah berpendapatan bulanan 3 ribu ringgit ke bawah,
BR1M ditingkatkan daripada 950 ringgit kepada seribu ringgit;
Ketiga: Bagi isi rumah berpendapatan antara 3,001 hingga 4 ribu ringgit,
pemberian BR1M ditingkatkan daripada 750 ringgit kepada 800 ringgit;
Keempat: Bagi Skim Khairat Kematian pula, pemberian sebanyak seribu ringgit akan diteruskan; dan
Kelima: Bagi kategori individu bujang pula, yang berumur 21 tahun dan ke
atas, serta berpendapatan tidak melebihi 2 ribu ringgit sebulan, kadar
bantuan akan ditingkatkan daripada 350 ringgit kepada 400 ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
191. Keseluruhannya, kesemua bantuan ini akan memanfaatkan sebanyak 4.7
juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang, dengan peruntukan 5.9
bilion ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
192. Jika, dalam RMK-11, saya telah menyebut tentang kelompok B40, dan
tafsiran kumpulan yang terlibat, maka dalam Bajet ini, satu lagi
kumpulan besar yang Kerajaan kini akan turut memberi tumpuan bergelar
M40.
193. Secara statistiknya, tafsiran awal M40 adalah, kelompok isirumah
yang berpendapatan antara 3,860 ringgit hingga 8,320 ringgit. Namun,
definisi M40 ini, akan terus Kerajaan perincikan dari masa ke semasa.
194. Dalam hal ini, sukacita saya umumkan:
Pertama: Had pelepasan cukai bagi setiap anak berumur di bawah 18 tahun
mulai taksiran 2016, digandakan daripada 1 ribu ringgit kepada 2 ribu
ringgit;
Kedua: Pelepasan cukai bagi pembayar individu yang pasangannya tidak
mempunyai pendapatan, dinaikkan daripada 3 ribu ringgit kepada 4 ribu
ringgit;
Ketiga: Jika buat masa ini, pembayar cukai individu diberi pelepasan
sehingga 5 ribu ringgit setahun bagi tujuan perubatan dan penjagaan
terhad hanya kepada ibubapa mereka yang sakit.
Dalam Bajet ini, Kerajaan memandang positif sikap anak yang mengambil
berat terhadap kebajikan ibubapa mereka dan mengalu-alukan pengukuhan
institusi kekeluargaan.
Sehubungan itu, buat julung kalinya, anak-anak yang menyara ibubapa
mereka, meskipun tidak tinggal bersama, akan diberi pelepasan cukai
terkumpul sebanyak 1,500 ringgit untuk ibu, dan 1,500 ringgit lagi untuk
bapa.
Tapi,…dengan syaratnya, ibu dan bapa masing-masing tidak berpendapatan
melebihi 2 ribu ringgit sebulan dan berumur 60 tahun ke atas; dan
Keempat: Sempena Bajet ini juga, Kerajaan memutuskan, untuk menaikkan
had pelepasan cukai daripada 6 ribu ringgit kepada 8 ribu ringgit, bagi
setiap anak berumur 18 tahun dan ke atas, yang sedang melanjutkan
pengajian di institusi pengajian dalam dan luar negara, mulai tahun
taksiran 2016; dan
Kelima: Bagi ibubapa kepada anak-anak Orang Kurang Upaya-nya, yang
sedang melanjutkan pengajian di institusi dalam dan luar negara, had
pelepasan cukai dinaikkan daripada 6 ribu ringgit kepada 8 ribu ringgit,
mulai tahun taksiran 2016.
Ingin saya tambah di sini, had pelepasan cukai sedia ada bagi ibubapa
yang mempunyai anak OKU adalah 6 ribu ringgit. Ini bermakna, sekiranya
anak OKU ini melanjutkan pelajaran di dalam atau luar negara, jumlah
pelepasan cukai yang boleh dituntut secara keseluruhannya, adalah
sebanyak 14 ribu ringgit.
Tuan Yang Dipertua,
195. Seterusnya, untuk membolehkan lebih ramai pekerja mendapat manfaat
di bawah PERKESO, kelayakan caruman wajib dinaikkan daripada gaji 3 ribu
ringgit kepada 4 ribu ringgit sebulan. Pengubahsuaian ini, memanfaatkan
kepada 500 ribu pekerja, di mana jika si pencarum meninggal dunia dalam
tempoh kerja, waris akan menerima bayaran bulanan sehingga 90 peratus
pendapatan bulanan terakhir beliau.
Tuan Yang Dipertua,
196. Secara kesimpulannya, selama puluhan tahun, Kerajaan Barisan
Nasional telah memikul mandat dan menggalas kepercayaan rakyat. Kerajaan
ini juga telah secara berterusan melunaskan serta melangsaikan
janji-janji yang dilafaz dan dicatat. Ini bererti, Kerajaan yang
mentadbir sekian waktu ini jua, terserlah mempunyai visi dan halatuju
yang jelas.
197. Apa yang mustahak, untuk dinyata dan dipertegaskan sekali lagi,
kita terus mendapat pengiktirafan-pengiktirafan daripada
pengabsah-pengabsah berwibawa tinggi di dunia, antaranya agensi-agensi
kewangan antarabangsa seperti Fitch Ratings, Moody’s dan Standard &
Poor’s, yang telah memberi gambaran sebenar, tentang keadaan serta
pengurusan ekonomi Malaysia.
198. Malah,… pelbagai pencapaian telah kita raih, antaranya yang
terkini, kedudukan Malaysia dalam Laporan Daya Saing Global 2015-2016
oleh World Economic Forum, melonjak dua anak tangga kepada kedudukan 18
daripada 140 negara utama ekonomi di dunia.
199. Kepada rakyat sekalian,… usahlah berbimbang-bimbang dan
bergundah-gundah. Jelas sekali,… dengan rekod pencapaian yang
cemerlang,… antaranya yang telah saya tuturkan di awal ucapan tadi, maka
letakkanlah keyakinan,… taruhlah harapan, bahawa,… inilah Kerajaan yang
boleh dibergantung harap, demi masa depan hari muka, anak cucu dan
keturunan kita.
200. Dalam apa jua keadaan, saya dan rakan-rakan akan meneruskan
perancangan ekonomi negara, dengan mengutamakan serta mendahulukan
kesejahteraan rakyat.
Tuan Yang Dipertua,
201. Pokoknya,… bagi Kerajaan ini,… rakyat adalah segala-galanya. Khabar
bahagia sudahpun tiba. Maka, ingin saya umumkan, berkuatkuasa 1 Julai
2016, gaji minimum negara dinaikkan daripada 900 ringgit kepada 1,000
ringgit sebulan bagi Semenanjung, dan daripada 800 ringgit kepada 920
ringgit sebulan bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Gaji
minimum ini melibatkan semua sektor, kecuali perkhidmatan domestik atau
pembantu rumah.
Tuan Yang Dipertua,
202. Tidak cukup sekadar itu,… bagi meringankan beban kos sara hidup
kepada semua penjawat awam, Kerajaan bersetuju dengan pemberian khas
sebanyak 500 ringgit kepada semua penjawat awam.
203. Manakala, bagi 700 ribu pesara Kerajaan pula, bayaran khas 250
ringgit disediakan. Kedua-dua bayaran ini, yang berjumlah hampir 1
bilion ringgit akan dibuat pada bulan Januari 2016.
Tuan Yang Dipertua,
204. Demikianlah, Kerajaan ini tanpa jemu-jemu dan putus-putus ingin
membuat kebaikan dan kebajikan kepada sekalian rakyat. Sejak dulu,
kesemuanya tidak terbina dengan mudah atau dalam sekelip mata. Ia
menuntut kesungguhan dan pengorbanan atas nama kebaktian pada nusa dan
bangsa.
205. Lalunya, berbicara tentang betapa susah dan jerih payahnya membina
Malaysia tercinta ini,… kita berasa kesal, bahkan sebenarnya, kita
amat-amat kesal, dengan tindak-tanduk tidak bertanggungjawab oleh musuh
dari dalam, mahupun luar, yang cuba mempalit dan merosakkan imej negara
ini.
206. Pada kita,… perbuatan segelintir pihak ini, akan hanya
memporak-perandakan, sampai boleh memusnahkan apa yang terbina selama
ini.
207. Waima, wujud sesetengah orang, yang kita sendiri kadang-kadang
tidak tersangka-sangka, atau terduga-duga, ibarat api di dalam
sekam,…menjadi gunting dalam lipatan.
Tuan Yang Dipertua serta Rakyat Malaysia Yang Dikasihi sekalian,…
208. Dalam menghela nafas keinsafan, saya perakui,… benarlah saya ini
seorang pemimpin, tetapi saya juga manusia biasa seperti saudara saudari
sekalian. Kita sama-sama ada kelebihan dan kelemahan di sana sini.
209. Sayugia,… sambil merujuk-rujuk mafhum tafsir daripada surah Yusuf,
bahawa,… Tuhan tidak menyuruh kita berhenti dari berusaha,… Tuhan juga
tidak benarkan kita sesekali berputus asa dari rahmatNya,… dan apatah
lagi sesungguhnya,… Tuhan juga tetap menjanjikan kepada hamba-hambanya
yang berislah dan beriltizam, bahawa,… kejayaan pasti menjelma jua.
210. Sebab itu,… Tuan yang Dipertua,… sudah menjadi adat orang berjuang,
pasti akan menempuh rintangan dan dugaan. Namun,… biar pun berjuta
gugatan menghalang, biar menggunung ombak mendatang, kita,…kita tidak
akan sesekali berputus harapan.
211. Kini,…Tuan Yang Dipertua, saya,… bersama-sama dengan Timbalan
Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,… berserta anggota
pentadbiran dan pimpinan-pimpinan Barisan Nasional,… sehati sejiwa,…
akan tetap tabah dan bertawakal meneruskan perjuangan yang mulia ini.
212. Nescaya, dengan dipersaksikan masa dan dineraca oleh waktu,… yang benar tetap benar,… sejarahnya kelak menjadi bukti.
213. Akhir kalam,… bak kata para hukama’,… yang indah-indah itu dari
Ilahi dan yang kurang itu sifat insani. Marilah kita berdoa kepada Maha
Pencipta, agar tiap sesuatu akan kembali pulih seperti sediakala. Semoga
Bajet ini dilimpah-limpah Rahmat-Nya dan membawa sentosa kepada semua.
Tuan Yang Dipertua,
Saya mohon mencadangkan.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment