Monday, October 26, 2015
75% Berita Viral Palsu
Usaha mengukuhkan perpaduan dalam kalangan
masyarakat berbilang kaum di negara ini semakin mencabar berikutan
berlakunya penyebaran berita yang tidak benar di media sosial terutama
menerusi aplikasi WhatsApp.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Perpaduan Negara dan
Integrasi Nasional, Kapli Emek berkata, hasil tinjauan pihaknya
mendapati kira-kira 75 peratus berita atau perkara diviralkan di media
sosial adalah palsu.
“Peratusan itu diperoleh menerusi tinjauan yang dilakukan pihak kami
dan mendapati ada kandungan yang diviralkan menerusi media sosial
ditokok tambah sehingga menimbulkan keadaan negatif.
“Hanya sebahagian kecil adalah betul dan ini memberi kesan serta
cabaran besar kepada usaha untuk mengukuhkan perpaduan masyarakat majmuk
di negara ini,” katanya dalam perjumpaan bersama ahli jawatankuasa
Rukun Tetangga negeri di sini hari ini.
Yang hadir sama Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail
dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional negeri,
Fairojibanu Zainal Abidin.
Berikutan itu Kapli berkata, semua pihak perlu memainkan peranan
mereka dalam mengukuhkan perpaduan kaum dengan tidak menyebarkan sesuatu
perkara sebelum mendapat pengesahan daripada pihak berwajib.
Sementara itu, kata beliau, antara cabaran lain dalam memperkukuhkan
perpaduan masyarakat di negara ini adalah tindakan segelintir pihak
menyebarkan isu yang menghina agama dan kaum lain.
Perkara seumpama itu, tegasnya, harus dibendung lebih awal bagi
mengelakkan daripada menular agar usaha memupuk perpaduan yang menjadi
antara aspek utama dalam membangunkan negara dapat dijayakan.
“Kita perlu memahami lima prinsip yang sudah diperkenalkan dalam
Rukun Negara bagi mewujudkan kembali sikap saling menghormati, sekali
gus memupuk perpaduan masyarakat majmuk.
“Pemimpin di peringkat akar umbi juga harus memainkan peranan bagi
membina bangsa Malaysia yang positif, tiada orang luar boleh
membentuknya kecuali kita sendiri,” katanya.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment