Monday, October 26, 2015
Perhalusi Usul, Fahami Suara Hati Akar Umbi, Orang Melayu
EDITOR MENULIS...
26 OKTOBER 2015
Pada ketika tulisan ini dibuat, Perhimpunan Agung UMNO 2015 yang
bakal berlangsung pada 8 Disember 2015 tinggal kira-kira 50 hari sahaja
lagi. Tentulah persiapan ke arah perhimpunan terbesar parti orang Melayu
itu sedang giat dilakukan oleh Ibu Pejabat UMNO Malaysia.
Daripada persiapan aturcara, dewan dan jemputan; Ibu Pejabat UMNO
Malaysia juga tentu tidak terkecuali untuk melihat kedudukan dan
halatuju usul-usul yang dibawa oleh UMNO Bahagian dalam Mesyuarat
Perwakilan yang lalu.
Tidak seperti kebiasaan, bermula tahun 2014, kesemuanya usul-usul
yang dibawa oleh UMNO Bahagian akan diberikan maklumbalas secepat yang
mungkin melalui sebuah Jawatankuasa Usul yang dipengerusikan oleh YB
Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Naib Presiden UMNO.
Inisiatif yang dibawa oleh beliau dan dilaksanakan oleh Jawatankuasa
tersebut, telah memberi manfaat kepada UMNO Bahagian-Bahagian yang
bermesyuarat pada tahun 2015.
Buat pertama kalinya, UMNO Bahagian-Bahagian dapat berbincang
mengenai usul yang dibawa oleh mereka pada tahun lepas dalam Mesyuarat
Perwakilan Bahagian yang berlangsung baru-baru ini. Kebiasaannya,
jawapan kepada usul-usul hanya diberikan kepada mereka ketika
Perhimpunan Agung UMNO berlangsung.
Pada masa yang sama, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein juga akan
melihat kepada persediaan usul-usul yang akan dibentangkan dalam
Perhimpunan Agung UMNO Malaysia.
Usul-usul ini amat penting, kerana ia
mencerminkan halatuju parti UMNO dan Kerajaan dalam usaha mereka untuk
terus membantu orang Melayu dan Bumiputera.
Usul Ucapan Dasar Presiden, Usul Ekonomi, Usul Agama dan Usul
Pendidikan yang merupakan teras utama perjuangan UMNO akan dinilai oleh
para perwakilan dan pemerhati. Ia juga akan mempengaruhi ‘mood’
jurucakap-jurucakap yang akan berbahas mengenai usul berkenaan.
Tambahan pula, perhimpunan pada tahun ini dilihat amat kritikal
terhadap UMNO dan kepimpinannya. Dengan pelbagai isu yang melanda
kepimpinan Negara dan rakyat dibebani dengan kos sara hidup yang
meningkat, usul-usul yang dibentangkan oleh UMNO Malaysia perlu
realistik dan mengambil kira kepentingan rakyat secara keseluruhan.
UMNO tidak boleh lagi membentangkan sesuatu usul yang bersifat
‘pembayang dan kabur’ halatujunya. UMNO perlu menyediakan usul yang
mempunyai nilai yang bermakna kepada rakyat dan mudah difahami.
Sebab itu, saya amat bersetuju
dengan pendekatan Persidangan Meja Bulat Usul UMNO Malaysia seperti
yang dilakukan pada tahun 2014. Ianya juga merupakan inisiatif YB Dato’
Seri Hishammuddin Tun Hussein yang saya percaya mahu melihat UMNO
benar-benar berubah kepada sebuah parti yang bersifat inklusif.
Persidangan itu, yang melibatkan hampir kesemua kategori dan lapisan
masyarakat Melayu telah melahirkan usul-usul yang merangkumi keseluruhan
pandangan yang diutarakan dalam persidangan tersebut.
Jurucakap-jurucakap Perhimpunan Agung UMNO juga telah diminta untuk
terlibat dalam persidangan tersebut dan mendengar sendiri pandangan
serta maklumbalas daripada setiap peserta yang terlibat tentang pelbagai
isu, rintihan dan harapan orang Melayu terhadap perjuangan UMNO.
Pada tahun ini, menjadi harapan yang besar kepada penulis dan juga
orang Melayu yang mendokong perjuangan UMNO, agar Persidangan Meja Bulat
Usul UMNO Malaysia tersebut dapat dilakukan lagi dengan skala yang
lebih besar, dengan melibatkan lebih ramai golongan terutamanya belia
Melayu.
Inilah peluang kepada mereka untuk sama-sama terlibat dalam
menyediakan usul-usul UMNO Malaysia, agar usul-usul yang disediakan
benar-benar menyelami hati nurani orang Melayu yang semakin tertekan
dengan keadaan semasa.
Ini amat penting, kerana usul-usul berkenaan akan diangkat kepada
Kerajaan untuk dipertimbangkan perlaksanaannya. Sebab itu, apabila
peluang seumpama persidangan ini dilakukan, kita tidak boleh ketinggalan
untuk menyertainya.
Saya juga percaya, sekiranya lebih ramai pihak terlibat dalam
penyediaan usul-usul berkenaan, UMNO Malaysia dan Kerajaan akan lebih
mengetahui situasi sebenar yang berlaku terhadap orang Melayu
terutamanya dalam aspek ekonomi dan pendidikan.
Bukan untuk menidakkan dasar-dasar yang dilakukan oleh Kerajaan untuk
meningkatkan taraf hidup orang Melayu, tetapi pendekatan parti UMNO dan
Kerajaan masa lalu perlu diubah kepada pendekatan yang lebih berkesan
seperti yang dilaksanakan dalam Persidangan Meja Bulat Usul UMNO
Malaysia.
Dalam situasi yang genting kepada UMNO dan Kerajaan untuk
mempertahankan kuasanya, persidangan meja bulat ini mungkin antara wadah
terbaik untuk mendekatkan kepimpinan parti dan rakyat bawahan.
Usul-usul yang terbina melalui sidang meja bulat tersebut merupakan
cerminan suara hati orang Melayu yang masih mengharapkan UMNO untuk
terus memimpin mereka.
Walaupun berlaku perbezaan pendapat dalam meraikan sesuatu isu, itu
bukan bermakna perwakilan UMNO dan pemerhati akan keluar daripada Dewan
Merdeka dengan perpecahan. UMNO seharusnya menjadikan semangat yang
tercipta dalam pembinaan usul-usul berkenaan untuk membina kekuatan dan
perpaduan.
Kita sudah tiada masa untuk berantakan sesama sendiri. Masyarakat
memerhatikan UMNO dengan minat yang cukup mendalam. Ada pihak yang
menunggu masa untuk bertepuk tangan jika kita gagal untuk memperbetulkan
dan mempertahankan halatuju perjuangan UMNO.
Sebab itu, usul-usul UMNO Malaysia yang akan dibentangkan perlu menjadi keutamaan parti.
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment