Tuesday, October 27, 2015

Artis Jadi Juri Pencetus Ummah Berlagak Macam Malaikat.. - Ustaz Ridhuan Tee

Penceramah bebas popular, Profesor Dr Ridhuan Tee Abdullah tampil mengkritik program realiti berbentuk keagamaan, "Pencetus Ummah" dan "Da'i" yang semakin mendapat tempat di televisyen dengan mengatakan program keagamaan itu tidak mempunyai mesej dakwah yang sebenar.

Menurut Ridhuan, program keagamaan yang disiarkan di televisyen itu tidak  mempunyai unsur dakwah, sebaliknya hanya mengejar populariti penonton.

Ridhuan berkata, program keagamaan yang diadakan kini tidak lagi menitikberatkan ilmu seorang peserta itu, tetapi mereka lebih menitikberatkan kebolehan berdrama dan menyanyi.

"Amat malang sekali mendengar ceramah, tiba-tiba belum apa-apa penceramah sudah menangis, seolah-olah dibuat. Sedangkan tangisan itu perlu datang dari hati, barulah kita boleh mempengaruhi penonton.

"Apa matlamat program realiti TV terutama yang berbentuk keagamaan? Mencungkil bakat baharu? Mewarnakan dunia dakwah? Mencari glamor? Atau mahu mencari keuntungan lumayan? Ini yang menjadi kebimbangan.

"Perlu diingat, asas program realiti adalah ilmu dan dakwah. Kebolehan dan kepintaran menyampaikan sesuatu dengan baik, itulah kehebatannya," kata Ridhuan Tee.

Selain itu, Ridhuan turut mengkritik penganjur program keagamaan yang menjemput para juri terdiri daripada artis yang tidak mempunyai ilmu agama yang mendalam tetapi berlagak seperti malaikat apabila membuat teguran.

Ridhuan berkata, sudah menjadi tren untuk penganjur program keagamaan untuk menjemput artis sebagai juri untuk menaikkan 'rating' penonton, hakikatnya artis yang dijemput itu ilmu agamanya sama taraf dengan ilmu peserta-peserta tersebut, malah ilmu mereka lagi kurang dari peserta.

"Apakah Islam ini seperti cerita filem, adakalanya berlakon baik, adakalnya jahat. Masuk masjid jadi mujahid, keluar masjid menjadi mujahat. Adakah ini bentuk Islam yang ingin ditonjolkan?? Tidakkah Islam itu way of life?" katanya.

Apa yang dikatakan oleh penceramah popular ini ada juga benarnya... jika kita melihat Pencetus Ummah dan Da'i kita dapat melihat program keagamaan ini seperti satu pentas yang mencari bakat dan populariti dan bukannya pentas untuk berdakwah.

Selain itu, kita dapat melihat para juri yang menjadi juri mengkritik dakwah yang disampaikan oleh peserta dengan menekankan aspek persembahan daripada unsur dakwah. Mengapa ini boleh dititikberat oleh juri?? Ini kerana juri yang dijemput itu adalah seorang artis, bukannya seorang ustaz mahupun ulama yang mempunyai ilmu agama lebih daripada peserta.

Oleh itu, diharap penganjur dapat kembali kepada tujuan asal program ini diadakan daripada mengejar 'rating' penonton yang sering ditekankan.

Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN

No comments:

Post a Comment