Sunday, October 25, 2015
Bajet 2016: RM31.2b Tingkat Ketenteraman Awam, Pertahanan Negara
KUALA LUMPUR : Sebanyak RM31.2 bilion diperuntukkan dalam Bajet 2016 bagi
meningkatkan tahap keselamatan dan ketenteraman awam serta pertahanan
negara, termasuk melengkapkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan
penggunaan 'Unmanned Airborne System'.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penggunaan teknologi
terkini itu adalah bagi meningkatkan keupayaan 'Risikan, Pemantauan dan
Peninjauan' agensi di bawah Kementerian Pertahanan.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan bagi kementerian itu
berjumlah keseluruhan RM17.3 bilion turut merangkumi pemerolehan enam
kapal Littoral Combatant Ship, sistem persenjataan 'Very Short Range Air
Defence, kereta berperisai dan pesawat Airbus A-400M.
"Sebanyak RM523 juta pula diperuntukkan bagi pembangunan kem tentera
darat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di Felda
Sahabat, Lahad Datu, Sabah," katanya ketika membentangkan Bajet 2016
bertemakan "Mensejahtera Kehidupan Rakyat" di Dewan Rakyat Jumaat.
Perdana Menteri berkata bagi mengenang khidmat anggota ATM, 4,000 unit
kuarters akan dibina dengan peruntukan RM160 juta, selain 2,000 unit
lagi rumah mampu milik dirancang dibina bermula tahun hadapan oleh
Lembaga Tabung Angkatan Tentera.
Dalam pada itu, bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),
Najib berkata sebanyak RM864 juta disediakan bertujuan antaranya bagi
perolehan 'Offshore Patrol Vessel' dan kapal peronda.
Selain itu, bagi mempertingkatkan keselamatan dan ketenteraman awam
dalam negara, beliau berkata sejumlah RM13.1 bilion disediakan.
Ini termasuk RM155 juta bagi pembinaan dua Ibu Pejabat Polis Daerah
(IPD) baharu di Lawas, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah serta 10 buah
IPD dan lima balai polis yang masih dalam pembinaan.
"Sukacita saya umumkan, penambahan 500 Rondaan Bermotosikal PDRM (Polis
Diraja Malaysia), 500 kereta peronda dengan peruntukan keseluruhan
sebanyak RM35 juta," katanya.
Najib berkata tambahan 2,000 unit rumah mampu milik bagi anggota PDRM,
turut dirancang dibina di Rawang, Selangor dan kawasan-kawasan lain yang
dikenal pasti.
Selain itu, katanya sebanyak RM36juta disediakan bagi membina pejabat
dan kuarters serta menaik taraf depoh tahanan Imigresen; RM50 juta bagi
meningkatkan langkah keselamatan penjara dan RM20 juta bagi Program
Bandar Selamat di 60 kawasan hitam, antaranya melalui pengasingan laluan
pejalan kaki dan pencahayaan di kawasan itu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment