Sunday, October 25, 2015
Najib Sifatkan Serangan Musuh Ibarat 'Api Dalam Sekam'
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kesal
dengan tindakan "musuh dari dalam, mahupun luar" yang katanya cuba
merosakkan imej negara termasuk dalam kalangan mereka yang disifatkan
sebagai api dalam sekam atau gunting dalam lipatan.
"Kita berasa kesal, bahkan sebenarnya kita amat-amat kesal dengan
tindak-tanduk tidak bertanggungjawab musuh dari dalam mahupun luar yang
cuba mempalit dan merosakkan imej negara ini.
"Pada kita, perbuatan segelintir pihak ini akan hanya
memporak-perandakan sampai boleh memusnahkan apa yang terbina selama
ini," katanya semasa menutup pembentangan Bajet 2016 di Dewan Rakyat
hari ini.
Najib bagaimanapun menyifatkan cabaran itu tidak akan mematahkan usaha
kerajaan pimpinannya untuk terus berusaha melakukan apa yang sepatutnya
dilakukan.
"Biarpun berjuta gugatan menghalang biar menggunung ombak mendatang, kita tidak akan sesekali berputus harapan," katanya.
Tegas beliau, hanya masa yang akan menilai kebenaran apa yang dilakukan oleh kerajaan pada hari ini.
Perdana Menteri bagaimanapun tidak menyebut secara langsung tindakan merosakkan imej negara yang beliau maksudkan itu.
Dalam ucapannya, Najib turut menekankan apa yang dilakukan oleh kerajaan
selama ini mendapat pengiktirafan daripada pengabsah-pengabsah
kewibawaan dunia termasuk agensi-agensi kewangan antarabangsa seperti
Fitch Ratings, Moody's dan Standard & Poor's yang katanya memberikan
gambaran sebenar tentang pengurusan ekonomi negara.
Beliau juga menyebut bagaimana kedudukan Malaysia dalam Laporan Daya
Saing Global 2015-2016 oleh Forum Ekonomi Dunia melonjak dua anak tangga
kepada kedudukan 18 daripada 140 negara utama ekonomi dunia.
Kepada rakyat, Najib mengingatkan supaya jangan bimbang sebaliknya
meletakkan keyakinan yang penuh kepada kerajaan untuk meneruskan rekod
pencapaian cemerlang itu.
"Letakkanlah keyakinan… taruhlah harapan bahawa inilah kerajaan yang
boleh dibergantung harap demi masa depan hari muka, anak cucu dan
keturunan kita," katanya.
Tambah Najib, kerajaannya akan meneruskan perancangan ekonomi neagara
dengan mengutamakan serta mendahulukan kesejahteraan rakyat.
Dewan Rakyat akan bersidang semula pada Isnin untuk membahaskan bajet yang dibentangkan oleh Najib ini.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment