Monday, October 26, 2015
Banyak Perlu Bersabarlah.... Muhyiddin Perlu Hormat Dan Yakin Kepimpinan Najib - Tajuddin
KUALA LUMPUR : Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu
percaya dan yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak kerana setiap pemimpin memiliki cara dan corak kepimpinan yang
tersendiri.
Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman
semasa memberi peringatan ini berkata bekas timbalan perdana menteri itu
juga tidak seharusnya mengungkit perkara berhubung sokongannya kepada
Najib.
"Kita sebagai orang di bawah, sama ada berjawatan, ahli biasa atau
penyokong, kena menyesuaikan diri dengan pemimpin, kita pengikut, takkan
pemimpin nak ikut pengikut.
"Sebagai ahli (UMNO), kita kena ada keyakinan dan kepercayaan kepada
pemimpin, kalau rasa tak boleh berbuat begitu, maka bolehlah mengundur
diri supaya tidak terasa ada masalah antara kita dan pemimpin," katanya
kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Isnin.
Tajuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak berkata demikian
ketika diminta mengulas dakwaan Muhyiddin dalam Program Bicara Minda dan
Sesi Dialog di Johor Baharu pada Sabtu yang mendakwa beliau merupakan
pilihan Perdana Menteri Keempat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk dijadikan
perdana menteri tetapi tetap setia dengan Najib dan hanya menjadi
timbalannya.
Katanya, Muhyiddin juga seharusnya berbincang di peringkat parti
sekiranya ada ketidakpuasan hati, dan bukan menyatakannya secara
terbuka.
Ketika ditanya sama ada UMNO perlu mengambil tindakan terhadap
Muhyiddin, Tajuddin berkata peringatan dan nasihat adalah sebahagian
tindakan yang boleh diambil bagi menunjukkan rasa hormat parti
kepadanya.
"Permintaan saya, dengan rasa rendah diri kepadanya, apa saja perbezaan
kita bawa ke dalam parti dan bincang, kalau dibiarkan, takkan membantu
parti dan hanya menguntungkan musuh," katanya.
Sementara itu, Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah
berkata tindakan Muhyiddin yang lantang mengkritik secara terbuka hanya
boleh diadili oleh jawatankuasa disiplin parti sama ada ia melanggar
etika parti atau tidak.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment