Monday, October 26, 2015
Mengaku Diri Ikhlas, Tapi Mengungkit Juga Dia Akhirnya, kan?
EDITOR MENULIS...
26 OKTOBER 2015
Dalam budaya bangsa Melayu, sememangnya kita amat pantang pada tindakan
ungkit mengungkit mengenai kebaikan yang pernah kita hulurkan. Mereka
yang suka mengungkit pula selalunya disifatkan sebagai tidak ikhlas
dalam kebaikan yang diungkit.
Namun budaya itu mungkin tidak terdapat pada diri bekas Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang secara terbuka mengungkit
kebaikan yang beliau pernah berikan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri
Najib Tun Razak.
Malah dalam satu program anjuran Sinar Harian baru-baru ini, beliau
sempat menempelak pemimpin UMNO yang tidak bersuara mempersoal tentang
1MDB dan dana politik RM2.6 bilion sebagai 'pengecut'.
Terlintas di fikiran saya, apakah Muhyiddin benar-benar berani atau
ada 'udang di sebalik batu'?
Kenapa beliau mengungkit-ungkit tentang
'jasa'nya sebelum ini? Atau beliau ada agenda tertentu terhadap Presiden
UMNO?
Pada pandangan saya, kemungkinan besar Muhyiddin telah menggerakkan
propaganda politiknya untuk mencabar jawatan Presiden UMNO dari Najib
pada pemilihan yang akan datang. Keadaan ini membuat saya terkenang
pada perebutan kuasa di antara Tun Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh
Hamzah pada satu krisis UMNO pada tahun 1987 dulu.
Hasil dari 'pergaduhan' Tun M dan Ku Li, UMNO berpecah. Tun M mengetuai
UMNO 'Baru' setelah UMNO 'Lama' diharamkan, manakala Ku Li pula keluar
dari UMNO bersama sebahagian besar penyokongnya untuk menubuhkan Parti
Semangat 46 yang sudah berkubur.
Apakah Muhyiddin layak dikatakan sebagai 'berani kerana benar'? Apakah
apa yang beliau tuduh itu benar? Pada saya, mungkin tuduhannya
mengenai kelemahan 1MDB dan kewujudan RM2.6 bilion itu benar. Tapi untuk
menuduh Najib menyeleweng wang 1MDB dan mempersoal tentang RM2.6 bilion
secara terbuka itu adalah satu tindakan yang sangat memalukan dari
Muhyiddin.
Setahu sayalah, Muhyiddin bukan saja berkali-kali diberi taklimat dan
penerangan dari pelbagai pihak termasuk dari CEO 1MDB, Arul Kanda dan
Menteri Kewangan Ke-2, Datuk Seri Husni Hanadzlah mengenai persoalan
1MDB. Diulangi, berkali-kali dan bukan sekali dua sahaja!
Sekiranya Muhyiddin tidak faham, gagal faham atau terlalu tumpul sangat
otaknya untuk memahami taklimat mengenai 1MDB ketika itu, mengapa beliau
tidak bertanya, menyoal dan cuba untuk memahami sedalam-dalamnya
mengenai apa yang beliau tidak puas hati?
Saya yakin, Arul Kanda sendiri atau pihak 1MDB dan Husni sendiri
boleh diarah untuk memberi taklimat secara tutorial 'empat mata' secara
khas kepada seorang Timbalan Perdana Menteri, bukan? Kenapa tidak buat
demikian? Atau Muhyiddin sengaja untuk tidak berbuat demikian?
Maka sebab itulah saya lebih positif untuk mengatakan bahawa Muhyiddin
mungkin mempunyai agenda tertentu terhadap Najib dan mungkin juga mahu
menjatuhkan Perdana Menteri itu sebagaimana yang pernah beliau serta Tun
M lakukan terhadap Tun Abdullah Ahmad Badawi dulu.
Benarkah Muhyiddin? Benar apa jika beliau sendiri tidak berpaksikan pada
saluran yang betul untuk bersuara? Benar apa jika Muhyiddin sendiri
memberikan 'bola tanggung' kepada pihak pembangkang untuk menghentam
ketuanya? Tidak bolehkah beliau bersuara di dalam mesyuarat? Atau beliau
sendiri 'bisu' ketika bermesyuarat?
Tidak perlulah mengungkit jasa. Jika mahu disebut tentang jasa, apakah
jasa Muhyiddin dalam Kementeria Pendidikan selain mencipta seribu
bebanan dan sistem yang bagaikan 'rumah tak siap' sehingga menyebabkan
ramai guru yang sebelum ini menyokong kerajaan telah berpaling tadah
menghentam kerajaan hampir setiap hari?
Jadi, tidak perlulah diungkit soal jasa kerana saya yakin bahawa
bukan Muhyiddin saja yang berjasa pada Najib dan UMNO. Malah ramai lagi
mereka yang lebih berjasa pada negara, tidak pula mereka bersikap
mengada-ngada sehingga mengadu di media mengungkit tentang jasa mereka,
kan?
Muhyiddin sebelum ini mendakwa beliau tidak kisah digugurkan dari
kabinet dan berikrar untuk memberi sokongan terhadap parti dan
kepimpinan UMNO. Namun apakah ini yang dikatakan 'beri sokongan' itu?
Itu sokong bawa rebah namanya. Harap Muhyiddin bermuhasabah
sedalam-dalamnya...
Fikir-fikirkanlah...
Disediakan oleh :
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment