Tuesday, October 27, 2015
Hadi Sarankan Pengundi Memilih PAS Berbanding Amanah Jika Mahu Perubahan
KUALA LUMPUR : Orang Islam dan bukan Islam yang mahukan perubahan pada
negara diseru mengundi PAS, berbanding memilih Parti Amanah Negara
(Amanah), demikian ditegaskan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi
Awang.
Abdul Hadi yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang berkata, sebarang
usaha mengundi parti lain dilihat tidak akan menjayakan harapan rakyat
yang selama ini mahu melihat perubahan kepada negara.
"Perkara (jangkaan itu) saya sudah tahu (agak) dan bagi orang Islam dan
bukan Islam, kalau mereka mahu perubahan, mereka undi PAS.
"Mereka mahu perubahan, undi PAS. PAS parti yang terbuka kepada orang
Islam dan bukan Islam," katanya dalam satu sidang media yang diadakan di
lobi Parlimen di sini, pada Selasa.
Beliau mengulas Parti Amanah Negara (Amanah) yang dilihat terpaksa terus
berkempen untuk DAP kerana dari awal lagi menyedari bahawa parti
serpihan PAS itu tidak akan berjaya menarik orang Islam untuk
mengundinya pada pilihan raya umum.
Timbalan Presiden Amanah, Salahudin Ayub ketika berucap dalam majlis
bersama pimpinan Pakatan Harapan di Klang malam kelmarin menegaskan
bahawa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng adalah `contoh tokoh politik
mewakili masyarakat bukan Islam yang mampu menyelamatkan negara’.
Dalam ucapannya, Salahudin turut menjelaskan bahawa Amanah tidak ada
jaminan untuk menang dalam pilihan raya akan datang dan masih belum
membincangkan kerusi mana yang mereka ingin tandingi.
Tambah Abdul Hadi lagi, sekiranya orang Islam dan bukan Islam memilih
parti Islam itu, mereka mempunyai banyak pilihan kerana PAS juga
menyediakan sayap lain bagi memenuhi kehendak pengundinya.
"Kita ada sayap parti (Dewan Himpunan Penyokong PAS), kita ada
macam-macam dan kita ada hubungan dengan semua NGO termasuk Islam dan
bukan Islam," katanya.
Sementara itu, Abdul Hadi turut mengulas mengenai keengganan majoriti
ahli Parlimen parti Islam itu mengikuti langkah parti pembangkang lain
mempamerkan plakad bertulis “Mana 2.6 Bilion?”, kerana menyifatkan ia
merupakan tindakan tidak beradab.
"Kita ahli-ahli Parlimen bukan tunjuk perasaan jalanan, saya sudah sebut tadi supaya membangkang dengan beradab," katanya.
Beliau mengulas tindakan Pakatan Harapan yang masih tidak sah di sisi
Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang menyindir isu dana RM2.6 bilion yang
dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri yang juga menteri
kewangan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment