Monday, October 26, 2015
Harga Rumah Selangor - Azmin Usah Berdolak-Dalik
Kerajaan PKR Selangor tidak perlu berdolak-dalik
dengan memberi alasan enggan mewujudkan satu dasar khusus bagi mengawal
harga rumah melambung di negeri ini.
Penyelaras Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN)
Selangor, Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, kerajaan negeri tidak perlu
memberi pelbagai alasan untuk tidak melakukan sesuatu mengenai isu
tersebut memandangkan mereka mempunyai bidang kuasa tertentu yang boleh
dijadikan faktor asas dalam mengurangkan kos serta harga perumahan
seperti premium tanah dan harga pasir.
Menurutnya, kerajaan PKR Selangor
khususnya Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali tidak perlu menyatakan tidak
boleh mengawal harga perumahan sedangkan selama ini pernah mengumumkan
mahu memberi perhatian kepada beban kewangan rakyat berpendapatan rendah
dan sederhana.
“Malah, kerajaan negeri termasuk Menteri Besar sendiri dilihat
seringkali menggunakan isu beban kewangan rakyat termasuk perumahan
sebagai modal untuk mengkritik kerajaan Pusat.
“Jika begitu, mengapa kerajaan negeri dan Menteri Besar sendiri tidak
berusaha untuk mengurangkan beban rakyat dengan mengawal harga rumah di
Selangor? Jangan hanya tahu bercakap tetapi tidak berbuat sesuatu,”
katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Mat Nadzari, kerajaan negeri sepatutnya mencari kaedah sesuai
untuk menangani kenaikan harga perumahan khususnya kepada golongan
berpendapatan sederhana yang tidak layak memohon rumah mampu milik
daripada kerajaan negeri dengan menyediakan insentif khas kepada pemaju
seperti pengurangan premium tanah.
Malah jelasnya, kerajaan negeri yang memonopoli industri pasir ketika
ini juga boleh mengambil langkah mengurangkan harga sumber alam itu
untuk menstabilkan kos pembinaan projek perumahan yang akhirnya dapat
mengurangkan harga ke atas pembeli.
“Setidak-tidaknya, kalau tidak dengan pemaju swasta, kerajaan negeri
boleh mengambil inisiatif pengurangan sedemikian menerusi kerjasama
dengan kerajaan Pusat melalui projek perumahan rakyat di bawah PR1MA
(Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia) atau SPNB (Syarikat Perumahan Negara
Berhad),” ujarnya.
Sabtu lalu, Mohamed Azmin berkata, pentadbirannya tidak akan
mengadakan dasar tertentu untuk mengawal harga pasaran perumahan
walaupun mengakui nilai hartanah tersebut melambung tinggi ketika ini.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak ada keperluan mengadakan dasar
tersebut memandangkan harga perumahan ditentukan oleh pasaran bebas
berdasarkan faktor permintaan dan penawaran.
Sebaliknya, beliau memaklumkan yang kerajaan negeri hanya boleh
memberi tumpuan terhadap soal penyediaan rumah mampu milik kepada
golongan berpendapatan rendah dan sederhana dengan nilai tidak melebihi
RM250,000 sebuah.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment