Tuesday, October 27, 2015
Masyarakat Serani Terkejut Dengan Kematian 'Wira Tak Didendang'
KUALA LUMPUR : Kematian pasangan suami isteri yang digambarkan sebagai
'wira tak didendang' dalam masyarakat Serani di Lembah Klang, telah
mengejutkan rakan-rakan dan ahli keluarga mangsa.
Paul William Nunis dan isterinya, Mary Nunis née Mary Rodrigues,
kedua-duanya 71, terbunuh apabila kereta yang mereka naiki terjunam dari
tingkat lima bangunan tempat letak kereta di kondominium Duta Vista,
kira-kira pukul 8 malam Ahad.
Pesara Telekom Malaysia itu baharu sahaja meninggalkan perjumpaan yang
dianjurkan oleh Persatuan Serani Selangor dan Wilayah Persekutuan
(Saftea) di kondominium itu, di sini.
Presiden Saftea Sheila De Costa berkata dia telah bertemu William, yang
lebih mesra dengan panggilan 'Willie' dan Mary semasa makan malam
sebelum itu.
"Biasanya, saya hanya akan berbual ringkas dengan tetamu tetapi pada
masa itu saya dapat duduk dan berbual dengan kedua-dua mereka.
"Saya tak sangka ia menjadi kali terakhir saya melihat mereka," katanya.
De Costa berkata pasangan itu, yang telah menjadi ahli Saftea selama
lebih dari 30 tahun, adalah 'wira tak didendang' dalam persatuan itu
kerana sering berkerja di belakang tabir untuk mana-mana acara atau
majlis keramaian.
Katanya, Willie dianggap sebagai 'MacGyver' persatuan, kerana dia pakar
dalam semua bentuk pemasangan, termasuklah memasang sistem bunyi.
"Walaupun menjadi tetamu, dia sentiasa menawarkan diri untuk membantu.
Mary juga seorang yang hebat. Dia akan memasak makanan yang lazat untuk
acara-acara anjuran kami," katanya.
De Costa berkata Willie juga biasanya menjadi tuan rumah atau pengerusi majlis untuk acara-acara yang dianjurkan persatuan.
"Dia akan menjadikan aktiviti yang dianjurkan menyeronokkan dan meriah.
Dia juga suka menyanyi lagu ‘The room at the top of the stairs’ di
kebanyakan acara kami," katanya.
De Costa berkata Willie dan Mary merupakan pasangan penyayang, sentiasa
meluangkan masa untuk rakan-rakan, mesra dan murah hati serta tidak
mengharapkan apa-apa sebagai balasan.
"Kami telah menerima ucapan takziah daripada presiden Persatuan Serani dari Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan dan Perak.
"Ini menunjukkan sejauh mana mereka telah menyebarkan rasa cinta
mereka," katanya, sambil menambah ahli-ahli, rakan-rakan dan keluarga
mereka amat sedih dengan kematian mengejutkan itu.
Abang ipar Mary, Jerry Francis berkata dia masih tidak percaya bahawa kedua-dua mereka telah tiada.
"Mereka adalah pasangan yang riang dan bahagia. William aktif dalam sukan pada masa mudanya," katanya.
Francis, seorang wartawan yang sudah bersara berkata, pasangan ini mempunyai tiga orang anak dan tujuh cucu.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment