Monday, October 26, 2015
‘Sesiapa Yang Jadi PM Hanyalah Boneka Tun M’
Dr Mahathir pernah mengatakan beliau
berhempas pulas untuk menjadikan Najib sebagai Perdana Menteri, kerana
mengenang jasa ayahnya, Tun Abdul Razak Hussein yang merupakan Perdana
Menteri kedua. – Foto arkib TRP/ Adib Hakim
KUALA LUMPUR : Pendedahan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin mengenai cara Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana
Menteri, membuktikan Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan dalang yang
menentukan siapa layak menerajui pentadbiran kerajaan.
Menurut pengendali Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin,
jika Mahathir tidak mahu seseorang itu menjadi Perdana Menteri lagi,
beliau akan mendesak pemimpin tersebut berundur dan memilih calon baru
yang disukainya.
“Pendedahan yang dibuat Muhyiddin membuktikan Dr Mahathir yang
memilih Najib untuk menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai
Perdana Menteri.
“Muhyiddin juga mendedahkan beliau dan Dr Mahathir kecewa dengan
Najib, kerana menolak untuk melawan Abdullah dan gugurkan beliau.
Gambaran yang diberikan Najib setia kepada Abdullah dan tidak mahu
‘tikam belakang’,” katanya di portal beliau, hari ini seperti yang
dilaporkan media.
Muhyiddin ketika berucap pada program Bicara Minda anjuran Sinar
Harian bertemakan ‘Berani Kerana Benar’, di Hotel Bluewave, Johor Baru,
semalam, mendedahkan beliau yang menjadikan Najib Perdana Menteri,
selepas menolak tawaran Dr Mahathir untuk menggantikan Abdullah.
Menurut Muhyiddin, beliau telah memberi tekanan kepada Najib supaya
Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah, segera melepaskan
jawatannya.
“Menurut Muhyiddin, jika Najib terus menolak untuk singkirkan Pak Lah, beliau akan dilantik sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Tekanan yang diberikan kepada Najib ketika ini, kata Raja Petra, sama
seperti yang berlaku tujuh tahun lalu, ketika Pak Lah disingkirkan
daripada jawatan nombor satu itu.
“Terdapat corak sama dengan apa yang berlaku tujuh tahun lalu dan apa yang berlaku sekarang.
“Individu yang mentadbir Malaysia adalah Dr Mahathir dan sesiapa yang
menjadi Perdana Menteri hanya akan jadi boneka Dr Mahathir, dengan Dr
Mahathir adalah Perdana Menteri de facto.
“Ini juga bermakna, apa yang (Ahli Parlimen Gua Musang) Tengku Razaleigh Hamzah katakan adalah benar.
“Tengku Razaleigh berkata, beliau enggan menjadi Perdana Menteri,
kerana beliau hanya akan menjadi boneka, dengan Dr Mahathir menarik tali
dari belakang tabir sebagai Perdana Menteri de facto,” katanya.
Bekas Perdana Menteri itu pernah mengatakan beliau berhempas pulas
untuk menjadikan Najib sebagai Perdana Menteri, kerana mengenang jasa
ayahnya, Tun Abdul Razak Hussein yang merupakan Perdana Menteri kedua.
Pendedahan Muhyiddin pada Sabtu itu jelas menunjukkan Dr Mahathir
memilih Najib sebagai Perdana Menteri, selepas Muhyiddin menolak untuk
terima jawatan tersebut.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment