Monday, October 26, 2015
Tuduhan Zina: Saya Tidak Akan Mohon Maaf Kepada Dr Hatta, Kata Ahli PAS
KOTA BHARU : Seorang ahli PAS Kuala Krai, Ali Omar, 28, bertegas
tidak akan memohon maaf kepada Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta
Ramli.
Malah, beliau sedia berjumpa dengan wakil rakyat itu di mahkamah, bagi menjawab segala tuduhan yang dilemparkan ke atasnya.
Ali yang menerima notis guaman daripada peguam Dr Hatta pada 13
September lalu, diminta membuat permohonan maaf secara terbuka di laman
media sosial dan akhbar, selain menuntut ganti rugi RM3 juta
daripadanya, kerana dikatakan memfitnah Dr Hatta berzina dengan
isterinya, selepas perkahwinan beliau dan isterinya terbubar dengan
talak tiga, kerana melanggar sumpah taklik yang dilafazkan, ketika
menjadi calon PAS pada Pilihan Raya Umum lalu.
Malah, Ali mendakwa, tindakan undang-undang yang diambil Dr Hatta itu
bertujuan menutup mulut pengundi di Parlimen Kuala Krai daripada terus
mengkritik dan membicarakan pengkhianatannya terhadap PAS dan
pengundinya.
“Saya selaku pengundi dan petugas parti di Kuala Krai mengulangi,
kerusi Parlimen Kuala Krai adalah milik PAS dan dimenangi atas dasar
pengundi inginkan PAS, bukannya atas nama Pakatan Rakyat seperti yang
didakwa beliau.
“Sebagai buktinya, mengapa kerusi Parti Keadilan Rakyat di Machang,
Ketereh dan Tanah Merah (kawasan Parlimen yang ditandingi PKR) tewas
semuanya, sedangkan di peringkat Dewan Undangan Negeri dimenangi PAS,”
katanya pada sidang media ringkas di Mahkamah Syariah, hari ini.
Jelasnya, Dr Hatta juga sering membangkitkan kononnya rakyat tidak
mengundi PAS, sebaliknya mengundi Pakatan Rakyat, sebagai alasan tidak
mahu meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Kuala Krai.
“Bersandarkan keadaan ini, maka saya tetap mendesak agar Dr Hatta
meletakkan jawatan, bagi menyelamatkannya dengan politik bermaruah serta
daripada tekanan perasaan berhubung isu lafaz bai’ah dan taklik yang
diucapkannya.
“Selain itu, isu yang dibangkitkan dalam notis guamannya adalah isu
makan elaun haram dan isu cerai talak tiga serta desakan meletak
jawatan.
“Saya ingin tegaskan bahawa isu Akujanji atau bai’ah yang diucapkan
Dr Hatta adalah satu fakta yang sedikitpun tiada percanggahan dengan
lafaz bai’ah dan sumpah yang diucapkan beliau,” katanya yang ditemani
peguam, Ismail Mohamed daripada Tetuan Hj Ismail & Co.
Jelasnya, isu-isu yang dibangkitkannya tidak bersifat fitnah,
sebaliknya bertujuan menjaga maruah serta keturunan Dr Hatta, supaya ia
dipelihara mengikut hukum syarak dan untuk menyelamatkannya daripada
tanggungjawab serta sikap tidak beramanah beliau di akhirat.
Sementara itu, Ali berkata, tindakannya mempertikaikan status
perkahwinan Dr Hatta yang sudah terbiar, disebabkan melanggar lafaz
taklik, berpandukan kenyataan Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud
Mohammad.
“Saya menyokong penuh saranan Ketua Hakim Syarie Kelantan, agar Dr
Hatta tampil dan merujuk status perkahwinannya ke Mahkamah Syariah,
berikutan adanya lafaz cerai taklik itu.
“Lafaz cerai taklik ini sudah menjadi isu nasional dan diperdebatkan
oleh umum. Maka, amat penting perkara ini dibawa ke mahkamah, supaya
kita mendapat satu jawapan yang jelas,” katanya.
Menurutnya, beliau akan menyerahkan notis 14 hari bermula hari ini,
dengan meminta Dr Hatta memfailkan tuntutan pengesahan lafaz taklik
cerai itu di Mahkamah Syariah Kelantan atau mana-mana mahkamah yang
berkaitan.
Katanya, jika gagal berbuat demikian, beliau akan membuat laporan
kepada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan,
untuk menggesa tindakan diambil di bawah kesalahan syariah atau
memfailkan permohonan untuk pengesahan sabitan terhadap isu bai’ah dan
sumpah cerai taklik itu di Mahkamah Syariah Kelantan.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment