Tuesday, October 27, 2015
Tak Wajar Buka UiTM Kepada Bukan Bumiputera
BANGI : Saranan Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan
Sri Dr Arshad Ayub untuk membuka peluang kepada bukan Bumiputera
mengikuti pengajian di universiti berkenaan adalah tidak wajar.
Mantan Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UiTM Kampus
Puncak Alam & Puncak Perdana, Qamarul Nazrin Harun berkata, tujuan
asal pembukaan UiTM itu sendiri adalah untuk memberi hak istimewa kepada
Bumiputera dalam bidang pendidikan, bukannya untuk bukan bumiputera.
Beliau turut menyangkal kata-kata Tan Sri Dr Arshad Ayub bahawa graduan UiTM hanya sekadar menjadi ‘jaguh kampung’.
“UiTM telah melahirkan ramai graduan bertaraf profesional hatta
hingga di peringkat antarabangsa, tak timbul isu jaguh kampung,” katanya
kepada Ismaweb.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Pro Canselor
UiTM, Tan Sri Dr Arsyad pada minggu lepas yang mahu UiTM dibuka kepada
bukan bumiputera bagi mewujudkan persaingan dan mengelakkan hanya ‘jaguh
kampung’ yang dihasilkan di universiti itu.
Qamarul juga berpendapat bahawa pihak UiTM harus merangka strategi baru bagi melahirkan Bumiputera minda kelas minda pertama.
“Pihak UiTM sendiri haruslah merangka modul pendidikan yang lebih
komprehensif bagi membantu penuntut Bumiputera UiTM agar lebih berdaya
saing, berintelek, profesional dan berwawasan.
“Agar darinya lahir bangsa Melayu dan Bumiputera minda kelas pertama,
setanding dengan bangsa lain di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Qamarul yang juga graduan UiTM berkata, ia sekaligus dapat menjadikan
bangsa Melayu dan bumiputera sebagai pemimpin di tanah sendiri dengan
‘acuan UiTM’ yang terus menerus melindungi hak keistimewaan bangsa
Melayu dan Bumiputera.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment