Sunday, October 25, 2015
Wanita Diserang, Dirompak Dalam Lif Kondominium
KUALA LUMPUR : Seorang wanita ditendang, diheret dan dirompak oleh dua
lelaki di dalam lif di sebuah kondominium di Setapak pada minggu lalu.
Insiden tersebut dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang kini menjadi viral di media sosial.
Mangsa berusia 24 tahun itu mengalami lebam di kesemua bahagian badan dan dua giginya patah.
Wanita berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Lim dalam perjalanan
pulang ke kediamannya di tingkat lapan di kondominium Setapak Prima
apabila dua lelaki mengekorinya sehingga ke dalam lif pada kira-kira
pukul 11.40 malam, 17 Oktober lalu.
Menerusi rakaman CCTV, dua lelaki sedang berbual antara satu sama lain
dengan salah seorangnya berdiri di belakang Lim di dalam lif dan menekan
butang tingkat lapan hanya selepas beberapa saat lif naik ke atas.
Beberapa saat sebelum pintu dibuka, seorang suspek memberi isyarat
dengan menganggukkan kepala kepada rakannya sebelum Lim ditolak ke
dinding lif.
Mangsa cuba bertindak balas tetapi keadaan menjadi lebih buruk apabila
seorang lagi suspek menarik rambutnya dan mengheretnya keluar dari lif.
Lim cuba untuk mencapai pintu lif tetapi ditendang oleh kedua-dua suspek beberapa kali.
Pintu lif kemudiannya dibuka dan menunjukkan seorang suspek sedang
mengira wang tunai manakala seorang lagi memegang beg tangan Lim.
Kaki Lim boleh dilihat dengan dirinya berada di dalam keadaan tidak bermaya terbaring di lantai.
Kedua-dua suspek melarikan diri menggunakan dua kereta. Menerusi
pemeriksaan polis mendapati kedua-dua nombor kenderaan yang dinaiki
suspek adalah palsu.
Lim yang bercakap kepada pemberita pada sidang media MCA Wangsa Maju
berkata, serangan tersebut mengakibatkan dua giginya patah, cedera di
dagu dan badan.
Mangsa turut kerugian RM8,000 termasuk dua telefon pintar dan kunci kereta.
China Press melaporkan bahawa serangan itu menyaksikan beberapa pengikat zip hitam ditemui di lantai di lokasi kejadian.
Pengerusi MCA Wilayah Persekutuan, Datuk Yew Teong Look percaya pengikat zip itu digunakan suspek untuk mengikat mangsa.
"Ia mungkin kerja sindiket. Kita telah menyerahkan maklumat kepada polis
dan kita mendapatkan perkembangan berhubung kes ini," katanya seperti
yang dilaporkan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata,
polis telah mengeluarkan lakaran wajah atau 'fotofit' kedua-dua suspek
dan sedang memburu mereka.
Disediakan oleh : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment