Sunday, May 24, 2015
Anak Beranak “Dakwah”kan Pas… Kejayaan Terbesar “Tahaluf Siyasi”
22 Mei 2015, Kuala Lumpur : Tidak lama selepas penasihat Dap, Lim Kit
Siang dijemput berdakwah berkenaan hudud di Kota Bahru, kali ini giliran
anaknya pula, Lim Guan Eng mentarbiah , Tuan Guru Haji Hadi apabila
meminta presiden Pas itu mengemukakan dalil dari al quran dan hadis
berhubung kenyataan beliau tentang ‘kemarahan’ Pas terhadap Dap
berhubung isu hudud baru-baru ini.
Senario ini disifatkan secara sinis oleh bekas aktivis Pas, Ustaz
Mohd Riza Kamaruddin sebagai satu kejayaan tahaluf siyasi Pas yang boleh
dibanggakan oleh parti tersebut.
“Mungkin inilah kejayaan tahaluf siyasi yang dibanggakan oleh Pas
selama ini. Kata mereka, tahaluf siyasi dengan Dap membuka ruang agar
pemimpin Dap lebih memahami Islam.
“Tetapi apa yang berlaku hari ini sudah terbalik. Pemimpin Dap bukan
saja tidak memahami Islam yang sebenarnya, malah kini ada usaha
mentarbiah ahli Pas tentang Islam oleh kepimpinan Dap berdasarkan
pandangan dan pendapat kepimpinan mereka pula,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi UMNO-Online di sini hari ini.
Selain itu, beliau turut menyifatkan sebahagian besar kepimpinan Pas
termasuk Pemuda Pas bersikap bacul, apabila terus berdiam diri biarpun
presiden Pas, Datuk Seri Haji Hadi Awang terus dihentam bertalu-talu
oleh kepimpinan Dap.
Menurut beliau, di mana kelantangan kepimpinan Pas dan juga Pemuda
Pas apabila Presiden mereka sendiri, secara terus-terusan dihina dan
diperlekehkan berhubung isu hudud oleh sekutu mereka itu.
“Saya pun pelik tengok sikap kepimpinan Pas termasuk Pemuda Pas yang
berdiam diri dan tidak bersuara untuk membela presiden mereka dalam isu
ini. Apa sebenarnya yang berlaku? Namun apa yang jelas, nampak nyata
sikap bacul dan takut mereka kepada kepimpinan Dap.
“Tetapi jika terhadap sesama Islam contohnya seperti UMNO, bukan main
garang lagi mereka.
Macam singa. Dengan sesama Islam, pantang UMNO buat
silap sikit mereka bukan setakat bersuara, malah sanggup buat
demostrasi lagi.
“Tapi dengan Dap, diam seribu bahasa. Kesian saya lihat presiden Pas
terpaksa yang bersendirian mempertahankan diri. Inilah seperti yang
disebut pepatah Melayu, kuman di seberang laut nampak, kebejatan yang
berlaku di depan mata buat-buat tak nampak pula,” ujarnya sinis.
Jelasnya lagi, sikap yang diperlihatkan oleh kepimpinan Pas hari ini
jelas bertentangan dengan apa yang Allah wahyukan di dalam Al Quran.
“Di dalam Al Quran, Allah menggambarkan pengikut Nabi Muhammad saw
sebagai satu kaum yang bersikap lemah lembut dan berkasih sayang sesama
Islam, tetapi bersikap keras dan tegas terhadap orang kafir yang
memusuhi Islam.
“Namun hari ini, sebahagian besar kepimpinan Pas bersikap sebaliknya.
Dengan sesama Islam seperti UMNO, mereka bersikap keras dan tegas.
Tetapi terhadap orang kafir yang menentang Islam seperti Dap, mereka
bersikap kasih sayang dan lemah lembut pula. Malah sampai tahap nak
tegur pun tak berani.
“Jika berdasarkan firman Allah itu, jelas sikap yang diperlihatkan
oleh mereka selama ini memang tidak mencirikan pengikut umat Nabi
Muhammad saw. Jadi mereka ini pengikut siapa? Pengikut hawa nafsu?,”
soal beliau tegas.
Justeru itu, beliau meminta agar Pas bangunlah dari lena dibuai mimpi
kekuasaan sebagai pemerintah sehingga sanggup mengenepikan prinsip dan
perjuangan Islam yang selama ini menjadi dasar perjuangan parti
tersebut.
“Saya lihat kewibawaan Pas hari ini sebagai sebuah parti yang mampu
untuk mewakili umat Melayu dalam membela Islam sudah hilang. Pas hari
ini bukan seperti Pas yang saya kenal dulu.
“Kepimpinan Pas hari ini saya kira sudah mula digoda dengan harta dan kekuasaan, sehingga lupa pada perjuangan asal mereka.
“Kerana dua perkara itu jugalah, mereka tunduk kepada Dap dan
membiarkan saja pimpinan tertinggi mereka dihina dan diperlekehkan
sebegitu rupa oleh pimpinan parti sekutu mereka itu,” akhirinya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment