Wednesday, May 20, 2015

Tidak Pernah Dalam Sejarah Presiden Pas Dihina Sedemikian Rupa

20 Mei 2015, Kuala Lumpur : Bekas Setiausaha Pas Negeri Selangor, Norman Toha berkata bahawa Dap dan PKR sememangnya sejak dari awal tidak pernah bersama dalam agenda Islam yang diperjuangkan Pas sejak dari awal wujudnya perkongsian kerjasama yang disebut sebagai tahaluf siyasi bersama parti tersebut.

Tuduhan terbaru Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mengatakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai penghalang utama membentuk kabinet bayangan Pakatan Rakyat.

Jelas Norman, tujuan Dap dan PKR bertahaluf siyasi dengan Pas hanyalah semata-mata untuk mengambil kesempatan menggunakan dua elemen di dalam Pas

“Bagi saya, elemen yang  pertama, di mana Pas merupakan satu parti yang ada hubungkait dengan Melayu dan Islam sejak dari awal penubuhannya. Manakala  yang kedua pula, Pas adalah sebuah parti mempunyai struktur parti yang tersusun rapi, yang mempunyai jentera yang ramai di peringkat akar umbi.

“Bagi saya, inilah dua faktor mengapa Dap dan PKR beria-ria tidak  mahu bercerai dengan Pas, dalam keadaan konteks untuk memperkukuhkan kedudukan politik mereka khususnya ketika berlakunya pilihanraya di negara kita,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, dalam sejarah politik Pas, tidak pernah berlaku keadaan di mana ahli dan kepimpinan yang menjadi rakan kongsi  Pas memaki  hamun Presiden Pas dengan perkataan yang begitu hina sekali.

“Saya lihat orang-orang UMNO pun tidak pernah berbuat begitu. Biarpun berbeza pandangan dan pendekatan politik, tetapi saya tak pernah dengar dan nampak lagi penceramah UMNO memaki hamun Presiden Pas dengan ucapan yang begitu hina sebagaimana yang dilakukan  oleh pimpinan Dap dan PKR hari ini.

“Kita boleh lihat dengan jelas, mutahir ini rakan kongsi Pas sendiri,  Dap dan PKR memaki Presiden Pas dengan sehina-hinanya. Apa yang lebih buat saya sedih apabila ada ahli Pas yang terikut-ikut dan terpengaruh dengan cara pendekatan pimpinan Dap dan PKR menghina presiden Pas dengan sebegitu rupa,” tegas beliau.
norman taha
Sebab itu kata Norman lagi, pimpinan Pas hari ini wajar berfikir untuk jangka masa yang panjang. Kalau Pas bertegas dengan agenda perjuangan Islam mereka, maka ada amat wajar pimpinan Pas memikirkan sedalam-dalamnya tentang  tahaluf siyasi mereka bersama Dap dan PKR.

“Pimpinan dan ahli-ahli Pas harus sedar, oleh kerana Dap dan PKR ini mempunyai matlamat tertentu bersama dengan Pas, mereka akan sedaya upaya cuba memastikan Pas ini secara rela hati atau tidak, akan tetap kena bersama mereka. Sebab itu pimpinan Dap dan PKR boleh mengeluarkan kenyatan tidak mahu bekerjasama dengan Tuan Guru Haji Hadi, namun dalam masa yang sama mahu bekerjasama dengan Pas.

“Dalam hal ini juga, untuk memastikan kerjasama Pas sentiasa terjalin dengan mereka, Dap dan PKR perlu pastikan wujudnya kepimpinan Pas yang mempunyai pemikiran sealiran dengan mereka. Sebab itu wujudnya istilah-istilah parasit, jebon, ada golongan anwarinas”, tegasnya.

Itu sebenarnya jelas beliau adalah satu pendekatan atau cara bagaimana Dap dan PKR untuk menguasai Pas, biarpun tidak bersama di dalam Pakatan namun mereka masih boleh pegang parti tersebut.

Justeru itu, beliau berpandangan sudah sampai masanya pimpinan Pas memandang serius tentang perkara ini dan mengkaji semula tahaluf siyasi mereka bersama Dap dan PKR.

“Bagi menyelamatkan Pas ini terus hancur dan imejnya dipertikaikan oleh orang Islam, Melayu dan rakyat Malaysia, maka sudah sampai masanya Pas kena keluar dari pakatan pembangkang dan menjauhkan diri daripada dua parti ini yang hanya menjadikan Pas sebagai kuda tunggangan untuk mendapatkan kuasa pemerintahan di Putrajaya,” akhirinya.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment