Friday, May 22, 2015

Bila Kit Siang Terus Kebal… Siapa Sebenarnya Yang Bebal??

22 Mei 2015, Kuala Lumpur : Sudah hampir seminggu Majlis Syura Ulama Pas menggesa dan mendesak Penasihat Dap, Lim Kit Siang untuk memohon maaf berhubung ceramah beliau berkenaan perlaksanaan hukum hudud di Kota Baru baru-baru ini namun seperti dijangka perkara berkenaan terus dipandang sepi dan sedikit pun tidak diendah oleh pemimpin politik veteran tersebut.

Pengerusi Barisan NGO Negeri Perak, Mohd Salleh Khan Mohd Jaafar berkata, sikap Kit Siang yang tidak memberikan respon terhadap gesaan kepimpinan Pas itu memperlihatkan bahawa beliau hanya memandang remeh dengan desakan tersebut.

“Inilah sikap kepimpinan Dap yang sebenarnya tidak langsung mempunyai rasa hormat terhadap sekutu mereka sendiri.
lim-kit-siang-biadap-kuliah-hudud-kelantan
“Selama ini sememang kepimpinan Dap tidak pernah memperlihatkan rasa hormat kepada perjuangan rakan sekutunya sendiri, bahkan dengan selamba masuk ke lubuk Pas untuk mempertikaikan pelaksanaan hudud yang cuba dilaksanakan oleh parti tersebut di Kelantan.

“Dan adalah lebih malang lagi apabila perkara ini didalangi oleh ahli Pas itu sendiri dan kepimpinan Pas tidak mampu berbuat apa-apa berhubung perkara ini,”katanya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tambah beliau, ini bukan kali pertama Dap campur tangan dalam isu usaha pelaksanaan hudud di Kelantan.

“Sebelum ini ketika kepimpinan Pas membuat keputusan untuk membawa rang undang-undang Islam ini ke parlimen, berdentum berdentam mereka dihentam oleh kepimpinan Dap. Namun, kepimpinan Pas tidak mampu untuk berbuat apa-apa.

“Malah sehingga tahap Kit Siang sudah berani masuk ke lubuk Pas itu sendiri untuk mempengaruhi akar umbi Pas menolak pelaksanaan hudud di Kelantan, Pas masih tidak mampu berbuat apa-apa tindakan tegas dan drastik, sebaliknya hanya mampu mendesak Kit Siang untuk memohon maaf saja,” ujarnya.

Berdasarkan senario yang berlaku, jelas Pas tidak mampu untuk menyanggah tindakan pemimpin Dap biarpun mereka kini sudah sampai ke tahap masuk ke lubuk Pas sendiri untuk menerangkan pendirian mereka berhubung soal hudud.

“Persoalannya sampai bila Pas harus diperkotak katikkan sebegini oleh sekutu mereka sendiri.

“Dengan tindakan ahli-ahli Pas sendiri yang menjemput Kit Siang untuk berceramah, dan kepimpinan Pas pusat sendiri tidak mampu berbuat apa-apa kecuali sekadar menggertak Kit Siang untuk minta maaf, jelas Pas hari ini sudah kehilangan taring dan terus tunduk kepada Dap.

“Dan sekiranya selepas ini, Kit Siang meneruskan roadshow di kalangan akar umbi Pas, saya tertanya-tanya apakah tindakan Pas yang seterusnya,”tegasnya.

Sekiranya Pas masih mempunyai maruah sebagai sebuah parti siasah yang mempunyai prinsip perjuangan mereka sendiri, sudah tentu satu tindakan tegas dan drastik akan diambil oleh kepimpinan Pas.

“Jika tidak, maka Pas boleh dianggap tidak lagi sebuah parti politik yang berpegang kepada prinsip perjuangan mereka yang asal dan lebih mementingkan kuasa dari segalanya.

“Dan turut timbul juga persoalan di sini, apakah ada kemungkinan roadshow Kit Siang ini sebenarnya dalam diam direstui oleh segelintir kepimpinan Pas yang lebih mementingkan survival politik dan kuasa daripada prinsip dan maruah parti mereka sendiri,” jelasnya.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment