Wednesday, May 27, 2015

Fikir Sebagai Pewujud Kerja, Bukan Sekadar Pencari Kerja, Kata Najib

27 Mei 2015, Kuala Lumpur : Mengambil contoh pencipta Facebook Mark Zuckerberg dan usahawan muda lain yang mencipta YouTube dan Twitter, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata golongan belia tidak harus hanya fikirkan diri mereka sebagi pencari kerja tetapi juga sebagai bakal pewujud peluang kerja.
http://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/1/1a/Mohd_Najib_Bin_Tun_Abdul_Razak_World_Economic_Forum_2013.jpg
Berucap di hadapan 100 pelajar di Universiti Tohoku di sini, Najib berkata di seluruh dunia, golongan muda memberi inspirasi kepada orang lain menerusi ciptaan mereka, dan berpeluang untuk memanfaatkan persekitaran yang sentiasa berubah.

“Dua puluh tiga tahun dahulu tidak ada laman web. Kini terdapat lebih satu bilion. 

Menerokai dan memanfaatkan sepenuhnya dunia dalam talian merupakan ciri kedua golongan muda, kerana mereka membesar dengan teknologi ini – malah sukar untuk bayangkan kehidupan tanpanya,” katanya.

Najib berkata golongan muda merupakan pemacu inovasi, misalnya Zuckerberg yang memulakan Facebook semasa beliau menjadi penuntut di Universiti Harvard, dan mencecah umur 23 tahun telah menjadi seorang hartawan.

Di tanah air, Perdana Menteri berkata penyewaan teksi telah direvolusikan oleh seorang anak muda Malaysia, dan syarikat MyTeksi telah diperluaskan ke lima buah negara di Asia Tenggara dan kemungkinan akan disenaraikan tidak lama lagi.

“Di Malaysia, kerajaan baru-baru ini melancarkan Dasar Belia yang berobjektif memaksimumkan potensi golongan muda kita,” katanya dan menurutnya kerajaan mahu memastikan mereka memiliki kemahiran yang perlu untuk Malaysia mencapai matlamat status negara berpendapatan tinggi pada 2020″.

Najib berkata kerajaan telahpun membantu golongan muda dari segi kewangan untuk membantu mereka membeli rumah pertama serta memperuntukkan dana untuk membangunkan sebuah bandar raya belia, bagi menyediakan ekosistem komprehensif untuk golongan muda meningkatkan keupayaan dan kemajuan dalam pekerjaan, perniagaan dan keusahawanan serta menikmati kemudahan perumahan dan rekreasi.

“Dan kami memperuntukkan 21 peratus daripada bajet kami untuk tahun ini khusus untuk pendidikan. Ini bersamaan dengan 3.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kami – lebih sekali ganda daripada purata jiran-jiran kami. Ini adalah pelaburan yang amat besar. Tetapi ini untuk demi masa depan negara kami,” katanya.

Menurutnya, penekanan Malaysia terhadap pendidikan bukan hanya tertumpu di dalam negara sahaja, menyatakan ribuan pelajar Malaysia sedang melanjutkan pelajaran di luar negara, dengan lebih 2,200 pelajar (Malaysia) kini belajar di Jepun.

Selepas sesi dialog dengan pelajar, Najib berjumpa dengan kira-kira 40 pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Tohoku, satu daripada universiti paling berprestij di Jepun, dan menjelaskan kepada mereka tentang perkembangan di tanah air dan langkah-langkah diambil kerajaan untuk mengukuhkan ekonomi dan mewujudkan kerja untuk siswazah.

Najib dan isterinya Datin Seri Rosman Mansor kemudian berlepas pulang ke tanah air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sendai, mengakhiri lawatan rasmi tiga hari di Jepun.

Rosmah sebelum itu melawat Tugu Peringatan Hiyoriyama, dibina untuk memperingati gempa bumi teruk yang melanda pantai timur laut Jepun pada 11 Mac, 2011.

Gempa bumi terbesar dalam tempoh 140 tahun itu telah mencetuskan tsunami setinggi 10-meter yang memusnahkan banyak harta benda selain meragut nyawa lebih 15,000 orang dan lebih 2,000 orang masih hilang.

Menurut Agensi Pembinaan Semula Jepun, empat tahun selepas gempa bumi itu, kira-kira 230,000 orang yang hilang rumah mereka masih meneruskan kehidupan di rumah sementara.

Rosmah turut melancarkan kempen bagi mengumpul dana untuk mangsa tsunami dan gempa bumi itu, berjaya mengumpulkan RM4.3 juta.

Beliau turut melawat sebuah tempat perlindungan sementara yang masih menempatkan 60 keluarga yang terjejas oleh bencana itu.

Dipetik daripada sumber : Bernama

No comments:

Post a Comment