Wednesday, May 27, 2015
Lagi Jawapan Kritikan Terhadap GST, Dakwaan Dr Mahathir
27 Mei 2015, Kuala Lumpur : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak hari ini menjawab lagi kritikan yang dibuat terhadap beliau dan
kerajaan, dengan memberi fokus kepada Cukai Barang dan Perkhidmatan
(GST), dan dakwaan yang disuarakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad.
Dalam catatan terbaru beliau melalui blog NajibRazak.com, Najib
berkata: “Ia adalah sambungan kepada FAQ (soalan lazim) sebelum ini.”
Pada 17 Mei, Najib menyenaraikan 13 tuduhan dan dakwaan berkenaan
serta respons beliau melalui blog itu, antaranya tuduhan berkaitan isu
Altantuya dan 1MDB.
Dalam respons beliau mengenai kritikan terhadap GST, Najib berkata:
“Saya faham bahawa beberapa kebimbangan disuarakan mengenai GST yang
diperkenalkan.
“Bagaimanapun, sebagai perdana menteri, adalah tanggungjawab saya
untuk membuat keputusan yang betul bagi seluruh rakyat Malaysia,
walaupun ia mungkin kelihatan sukar ketika ini.
“Kini, hanya seorang dalam setiap 10 orang rakyat Malaysia membayar
cukai pendapatan dan oleh itu, adalah penting bagi kami meluaskan asas
percukaian demi kebaikan ekonomi untuk jangka panjang.
“Lagi pun, adalah penting untuk dimaklumkan bahawa 23 peratus
daripada hasil kerajaan ketika ini datangnya daripada minyak dan gas.
“Seperti yang dapat kita saksikan daripada kejatuhan teruk harga
minyak global baru-baru ini, Malaysia tidak mampu mengekalkan
pertumbuhan dan pembangunannya berdasarkan aliran hasil itu semata-mata.
“Inilah sebabnya kami mengumumkan satu pembaharuan terhadap
sistem percukaian, dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan menggantikan
Cukai Jualan dan Perkhidmatan.
“Pengenalan GST akan membantu kita dalam membina ekonomi yang lebih
kukuh, lebih lestari dan telus: Ia akan mengurangkan defisit kita,
membantu kita melabur untuk masa depan kita dan menolong memacu ke
hadapan pembangunan negara kita.
“Malangnya, daripada berusaha untuk memahami rasional dari segi
ekonomi dan manfaat jangka panjang yang akan dibawanya kepada rakyat,
sesetengah ahli politik sebaliknya menyerang pengenalan GST, dengan
menggambarkannya sebagai suatu langkah luar biasa dan tidak perlu bagi
sebuah negara seperti Malaysia.
“Sebenarnya, GST bukanlah suatu fenomena baharu. Lebih 160 negara
sudah melaksanakannya dan di ASEAN, dalam kalangan jiran-jiran kita,
Malaysia adalah negara kelapan yang memperkenalkan cukai ini.
“Di samping itu, kadar enam peratus yang dikenakan di Malaysia
sebenarnya adalah antara yang paling rendah di dunia. Secara
perbandingan, Filipina, Kemboja, Vietnam, Laos dan Indonesia semuanya
mengenakan kadar GST sebanyak 10 peratus.
“Namun demikian, saya dapati, sesetengah peniaga yang
tidak bertanggungjawab, kecil dan besar, dengan licik cuba mengambil
kesempatan daripada pengenalan GST untuk menaikkan harga lebih daripada
kadar enam peratus. Ini tidak boleh diterima sama sekali.
“Saya sudah mengarahkan jabatan berkenaan supaya meningkatkan
langkah penguatkuasaan bagi memastikan sebarang kenaikan yang dikenakan
pekedai dan pemilik perniagaan mestilah sejajar dengan kadar GST
sebanyak enam peratus dan sebarang perbuatan menyalahgunakan sistem ini,
yang memberi kesan negatif kepada pengguna, perlulah dihentikan.
Mengenai tuduhan Tun Dr Mahathir, Najib berkata: “Saya menerima
kritikan dengan fikiran terbuka dan akan terus menangani kebimbangan
serta maklum balas yang tidak berasas. Kita juga mestilah sentiasa
menghormati orang tua-tua kita yang telah banyak berjasa kepada
Malaysia.
“Namun demikian, saya tahu ramai yang percaya bahawa kini sudah tiba
masanya mereka membiarkan generasi terkemudian untuk mentadbir negara
ini dan ini termasuk mengatasi sendiri masalah serta cabaran yang ada.
“Malaysia adalah negara demokrasi. Saya dipilih oleh UMNO, dan oleh
rakyat negara ini untuk memimpin mereka. Jadi, saya mendapat mandat
daripada mereka dan saya bertanggungjawab kepada parti serta rakyat,
bukan kepada mana-mana individu.
“Pada pilihan raya umum dan pemilihan parti akan datang, anggota
parti dan rakyat boleh menggunakan hak demokarsi mereka melalui peti
undi.
“Di samping itu, banyak kritikan Tun adalah tidak adil atau
mengelirukan: beliau menentang pelaksanaan GST, walaupun semua ahli
ekonomi berwibawa percaya bahawa meluaskan asas ekonomi kita merupakan
perkara yang betul untuk dilakukan.
Hasilnya akan digunakan untuk kebajikan rakyat juga. Sebenarnya, idea ini pertama kali disuarakan semasa pentadbiran beliau.
“Tun mengulangi khabar angin jahat pembangkang tentang isteri dan keluarga saya.
“Sebagai contoh, ketika berucap di Ipoh baru-baru ini, beliau
menyebut tentang kenyataan rekaan yang dijaja pembangkang melalui
penggunaan sebuah artikel Utusan (Malaysia) yang dipinda.
“Beliau juga mengulangi tuduhan jahat yang dimulakan pembangkang
semasa pilihan raya umum lepas kononnya isteri saya memiliki cincin
berharga RM24 juta.
“Itu adalah suatu pembohongan dan syarikat yang memiliki cincin
itu menjelaskan secara terperinci ketika itu bahawa cincin seperti itu
tidak pernah dibeli oleh (Datin Seri) Rosmah (Mansor). Adalah dikesali
apabila seseorang yang berkedudukan seperti Tun tergamak menyampaikan
fitnah seperti itu kepada rakyat.
“Beliau juga mengulangi perbuatan pembangkang yang menimbulkan isu
berkaitan pembelian sebuah jet gantian oleh kerajaan dengan mendakwa
bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak menggunakan jet itu, dan menggelarkan
saya sebagai pembohong. Ini juga tidak benar – malah, baginda merupakan
penumpang VIP pertama yang menggunakan jet yang baru diterima itu untuk
penerbangan ke Langkawi, dan baginda akan terus menggunakannya.
Tun menjadikan cabaran kewangan yang dihadapi 1MDB sebagai alasan untuk menyerang saya.
“Memang benar, 1MDB kini berdepan dengan cabaran, tetapi bukanlah
hingga ke tahap seperti yang dituduh itu. Hakikatnya, sesetengah tuduhan
yang dibuat itu tidak mempunyai asas, sebagai contoh dakwaan Tun bahawa
saya bertanggungjawab bagi kerugian sebanyak RM42 bilion yang
terkandung dalam lembaran imbangan 1MDB.
“Nampaknya, ini merupakan suatu perbuatan yang sengaja
memutarbelitkan fakta kerana 1MDB tidak mengalami kerugian sebanyak itu.
Ini adalah jumlah hutangnya; hutang yang jauh lebih kurang daripada
aset syarikat itu yang bernilai RM51 bilion, seperti yang diaudit dan
disahkan oleh Deloitte.
“Kebanyakan syarikat besar di seluruh dunia mempunyai kadar hutang yang tinggi, jadi ini bukanlah suatu perkara luar biasa.
“Beliau juga mendakwa saya tidak menjawab isu-isu yang menyelubungi
1MDB, tetapi saya telah pergi lebih jauh daripada itu – dan mengarahkan
Ketua Audit Negara melakukan audit terhadap 1MDB, yang hasilnya akan
dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang
bersifat dwipartisan.
“Tun sering mendakwa beliau melakukan sesuatu itu kerana itulah apa
yang diberitahu oleh rakyat kepada beliau apabila mereka datang berjumpa
beliau.
Tetapi, beliau perlulah selidik dahulu sama ada tuduhan seperti itu
mempunyai bukti dan kebenaran sebelum menyuarakannya. Beliau tentu sedar
bahawa kebanyakan tuduhan yang dibuat itu adalah mengenai perkara yang
berlaku di bawah pentadbiran beliau dahulu.
“Dan, selalunya, jawapan Tun ialah: “Mana buktinya?” Beliau patut melakukan ujian serupa terhadap apa yang beliau dengar itu.
“Walaupun begitu banyak yang telah dicapai dalam tempoh enam tahun
pertama pentadbiran saya, tetapi semua kemajuan yang dicapai negara kita
dan BN (Barisan Nasional) tidak diendahkan kerana lebih suka kepada
tuduhan tidak berasas dan pembohongan yang dimulakan oleh pembangkang.
“Kebanyakan perkara yang dikatakan oleh Tun tidak mempunyai objektiviti dan tidak betul sama sekali.
“Soalannya ialah – apakah yang menggerakkan Tun memilih saat ini
untuk mengulangi tuduhan jahat yang direka kumpulan pembangkang yang
sebelum ini beliau sendiri kecam sebagai pembohong itu?
“Sepanjang 22 tahun beliau berkuasa, Tun selalu mendesak agar anggota
parti perlu menyokong kepimpinan dan saya menyokong beliau ketika susah
dan senang.
“Saya berbuat demikian kerana ketika itu, dan malah, hingga kini pun,
saya percaya bahawa perpaduan parti merupakan prasyarat bagi apa yang
ingin kita capai untuk negara ini. Majoriti besar anggota UMNO masih
mengakui bahawa kesetiaan sebenar bererti bekerjasama untuk membina
parti demi kebaikan rakyat.
“Adalah sesuatu yang tidak betul sekiranya Tun dan mana-mana juga
anggota parti bertindak melemahkan kepimpinan parti hari ini semata-mata
kerana keinginan peribadi mereka tidak dipenuhi.
Kepentingan rakyat dan
parti adalah jauh lebih penting daripada mana-mana individu tertentu.
“Saya dipilih secara demokratik oleh parti dan rakyat, dan oleh
kerana saya diberi mandat, maka saya akan sempurnakan penggal saya
sebagai presiden parti dan perdana menteri.
“Keutamaan saya ialah untuk memastikan kita mencapai Wawasan 2020
serta transformasi ekonomi, kerajaan dan politik untuk manfaat semua
rakyat Malaysia.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment