Monday, May 18, 2015
Najib Jawab Isu, Tuduhan Terhadapnya Dan Kerajaan
17 Mei 2015, Kuala Lumpur : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
hari ini menjawab tuduhan dan dakwaan yang dilemparkan terhadap beliau
dan kerajaan, termasuk mengenai kes Altantuya.
Najib, dalam catatan terbaharunya di Twitter dan blog NajibRazak.com, berkata :
“Saya telah meluangkan masa untuk melihat pelbagai soalan dan isu
yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu, dan telah menulis pendapat
saya mengenainya.”
Najib menyenaraikan 13 tuduhan dan dakwaan itu dengan menyertakan maklum balas beliau :
1. Tuduhan mengenai isu Altantuya.
a. Kes ini telah disiasat, dibicarakan dan diputuskan di Mahkamah
Persekutuan. Ia adalah kes sembilan tahun yang tanpa pengakhirannya
kerana ia terus “dikitar semula” oleh Pembangkang.
b. Memandangkan ia adalah kes mahkamah yang berpanjangan, pihak yang
membuat rayuan mempunyai masa yang mencukupi untuk memberi keterangan
dan menceritakan segala-galanya kepada mahkamah. Jadi, mengapa kita
perlu mendengar kepada individu-individu yang telah memberi keterangan
dan didapati bersalah terhadap jenayah itu?
c. Apa yang penting ialah penghakiman itu telah membawa keadilan
kepada semua orang, yang paling penting buat keluarga mangsa, kepada
tertuduh dan juga kepada saya.
d. Saya telah banyak kali menyatakan bahawa saya tidak mempunyai
sebarang kaitan dengan isu ini, malah saya telah pun melafazkan sumpah
Al-Quran di sebuah Masjid.
e. Rakyat perlu mengambil kira bahawa dalam politik, banyak isu yang
terus dimainkan, dan ini adalah satu daripadanya. Ia menjadi panas
ketika saya merupakan bakal perdana menteri dan pembangkang memerlukan
cara untuk menghalang saya daripada menyandang jawatan itu.
Oleh kerana kedua-dua pengawal peribadi itu pernah bekerja untuk
saya, dan Razak Baginda adalah rakan dan sekutu, mereka cuba untuk
mengaitkan perkara itu dengan saya. Razak Baginda telah secara terbuka
mengakui perhubungannya dengan Altantuya tetapi saya sama sekali tidak
tahu mengenainya.
Pakatan dan media mereka telah secara tidak bertanggungjawab cuba
untuk memainkan perang saraf ini dengan cuba mengaitkan saya dan
mempengaruhi persepsi.
Malah, mereka sanggup melakukan teknik tindanan terhadap gambar saya
makan malam dengan mangsa di sebuah restoran. Dalam era media sosial
kini, perkara-perkara ini mudah menjadi viral tanpa kawalan, termasuk
gambar yang ditindan itu.
f. Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas perdana menteri, telah menerima
laporan siasatan penuh daripada pihak polis dan secara peribadi telah
mengesahkan bahawa saya tidak terlibat.
g. Berikutan perkembangan di atas, adalah tidak adil untuk memaksa
saya menyiasat kes ini lagi dan mendesak untuk tahu siapa, jika ada
sesiapa, yang mengarahkan pembunuhan itu. Saya tidak terlibat dan tidak
tahu apa-apa. Mahkamah telah memutuskan siapa yang bersalah bagi
pembunuhan itu. Itu sepatutnya menjadi pengakhiran cerita ini.
h. Saya merasa terganggu kerana isu ini dibangkitkan sekali lagi.
Kita semua tahu bahawa jika pemimpin-pemimpin veteran berkeras
membangkitkannya, walaupun secara sepintas lalu, ia secara automatik
akan menyebabkan isu ini dibangkitkan sekali lagi.
i. Individu-individu berpengaruh berkenaan mempunyai banyak sumber.
Apabila isu ini meletus, saya percaya mereka masih dapat mengesahkan
kesahihan tuduhan itu. Jika mereka percaya ini benar, mengapa mereka
tidak membangkitkannya ketika isu itu tercetus 8 tahun lepas? Mengapa
sekarang?
Ada yang berkata bahawa mereka hanya mempersoalkan isu ini
sekarang kerana ia telah bertukar menjadi suatu perkara berkaitan hidup
dan mati orang yang telah disabitkan kesalahan itu. Tetapi kes ini telah
dibicarakan di mahkamah, dengan keputusan yang jelas dan hukuman yang
dikenakan. Adakah mereka mempertikaikan sistem kehakiman yang diwujudkan
mereka?
j. Walaupun perbincangan dan pertimbangan secara panjang lebar oleh
mahkamah, masa yang mencukupi telah diberikan kepada pihak yang merayu
supaya kes mereka didengar dan diadili, Sumpah Laknat saya (Bersumpah
Al-Quran), penafian yang saya lakukan berulang kali, penjelasan umum
oleh Razak Baginda, sesetengah orang terus mempersoalkan isu ini dan
terus cuba untuk membabitkan saya.
2. Dakwaan bahawa media antarabangsa melabelkan Malaysia sebagai ‘Negara Paling Banyak Mengamalkan Rasuah’.
a. Saya sedar tentang komen itu. Bagaimanapun, tajuk itu diambil
daripada kaji selidik berdasarkan persepsi. Kebanyakan kita lebih
bergantung kepada ukuran empirikal yang digunakan kumpulan bebas yang
boleh dipercayai. Satu daripada contohnya ialah Indeks Transparency
International. Mengikut indeks itu, Malaysia kini menduduki tempat ke-50
daripada 175 negara, meningkat tiga takat daripada tahun sebelumnya.
Sekiranya negara kita adalah yang paling kuat banyak mengamalkan rasuah,
mengapa kedudukan kita begitu jauh daripada nombor 175?
b. Saya sukar memahami mengapa seseoerang yang sebelum ini selalu
mengkritik media antarabangsa sebagai bersikap berat sebelah, tiba-tiba
kini mempercayai dan menerima hujah mereka sebagai sesuatu yang benar.
c. Ingatkan pemimpin veteran ini pernah menyifatkan media barat
sebagai ‘berat sebelah’ apabila ia menerangkan tentang pentadbiran
mereka. Jadi, apabila media barat mengkritik pentadbiran itu, mereka
dianggap berat sebelah, tetapi apabila mereka mengkritik pentadbiran
saya, mereka tidak pula bersifat begitu? Nampaknya di sini, ada berat
sebelah.
d. Baru-baru ini, Transparency International mengulangi bahawa amalan
rasuah di Malaysia adalah terkawal dan peningkatan pelaburan asing di
negara ini menjadi buktinya. Indeks Kebebasan Ekonomi 2015 meletakkan
Malaysia di tempat ke-31 sebagai ekonomi paling bebas daripada kalangan
178 negara, dengan mendapat 70.8 markah. Ini merupakan peningkatan 1.2
mata sejak tahun lepas, dengan adanya penambahbaikan dari segi kebebasan
daripada rasuah, kebebasan berniaga dan kebebasan perdagangan mengatasi
penurunan dari segi kebebasan tenaga kerja serta pengurusan
perbelanjaan kerajaan.
e. Bloomberg meletakkan kita di tempat kelima sebagai pasaran sedang
muncul yang mempunyai masa depan paling cerah pada 2015 dan merupakan
satu-satunya negara anggota ASEAN yang menduduki senarai 10 teratasnya.
f. Bank Dunia menaikkan kedudukan kita daripada nombor 20 pada 2014
kepada nombor 18 pada 2015 dalam indeks ‘Ease of Doing Business’ mereka.
g. Bagaimana kita boleh memperbaiki kedudukan dalam ranking dunia
yang cukup berdaya saing itu sekiranya kita dikatakan begitu banyak
mengamalkan rasuah seperti yang didakwa pihak tertentu?
h. Isu yang ditimbulkan dalam Laporan Ketua Audit Negara memang perlu
ditangani dan diselesaikan. Tetapi, apa yang penting di sini ialah kita
mencatat kemajuan. Pada 2013, terdapat 418 perkara yang diketengahkan,
tetapi pada 2014, jumlahnya menurun kepada 319. Kita berharap dapat
terus mengurangkannya lagi pada tahun-tahun akan datang.
3. Tuduhan bahawa BR1M adalah Rasuah
a. BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) adalah satu jaringan keselamatan
sosial yang disyorkan oleh Jawatankuasa Fiskal Negara, yang terdiri
daripada pegawai-pegawai dari Unit Perancang Ekonomi (EPU), Bank Negara
dan Kementerian Kewangan. Mereka kebanyakannya adalah pakar ekonomi,
bukannya ahli politik. Jaringan keselamatan sosial sedemikian sedang
dilaksanakan di banyak negara-negara lain. Sesetengah negara
menggelarnya sebagai “manfaat pengangguran” yang menyasarkan kepada
mereka yang menganggur. Bagaimanapun, BR1M menyasarkan mereka yang
berpendapatan rendah. Kedua-duanya, pada dasarnya, adalah satu bentuk
elaun keselamatan sosial kerana ia menyasarkan kumpulan rentan.
b. Kita berhasrat untuk merasionalisasikan subsidi menyeluruh semasa
kepada subsidi yang menyasarkan hanya untuk mereka yang memerlukan.
Semua orang (termasuk yang kaya dan warga asing) mendapat manfaat
daripada subsidi menyeluruh ini. Dengan menghapuskan subsidi menyeluruh,
kita menjana penjimatan yang kemudiannya disalurkan kepada mereka yang
berada dalam kumpulan berpendapatan rendah. Dan kita akan dapat memberi
kumpulan yang layak ini lebih daripada apa yang mereka akan terima
daripada skim subsidi menyeluruh. Oleh itu, BR1M perlu dilihat dalam
konteks subsidi yang disasarkan, dan Jawatankuasa Fiskal percaya bahawa
ia akan mengurangkan ketirisan dan meningkatkan kecekapan mekanisme
subsidi.
c. BR1M juga memberi ganti rugi kepada mereka yang memerlukan bagi
sebarang perbelanjaan tambahan yang mungkin ditanggung akibat daripada
GST. Sesetengah pihak mendakwa bahawa GST adalah cukai regresif kerana
setiap orang termasuk golongan miskin adalah tertakluk kepadanya.
Bagaimanapun, dengan adanya BR1M, GST bukan regresif kerana kumpulan
berpendapatan rendah ini mendapat ganti rugi. Selain itu, sebahagian
besar daripada hasil GST akan dibelanjakan untuk komuniti yang rentan
ini.
d. Beberapa ahli politik berkata walaupun adanya BR1M, rakyat “tidak
bersyukur.” Ini adalah mengapa mereka percaya ia rasuah dan tidak berada
di laman yang sama dengan Jawatankuasa Fiskal. Kami melihatnya sebagai
satu langkah ekonomi, tetapi ahli-ahli politik melihatnya semata-mata
dalam konteks politik. Untuk makluman anda, BR1M diberikan kepada semua
orang tanpa mengira kecenderungan politik mereka. BR1M diberikan tanpa
mengira bila pilihan raya diadakan. Nurani saya jelas. BR1M adalah satu
langkah ekonomi, bukannya rasuah dan saya telah menyatakan
sebab-sebabnya.
e. Orang selalu berkata, “Berikan seseorang ikan dan kamu memberinya
makan untuk sehari. Ajarkan seseorang memancing dan kamu memberinya
makan buat selamanya.” Namun, dalam dunia sebenar, kita perlu melakukan
kedua-duanya. Memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan dan pada
masa yang sama, melabur dalam pendidikan/meningkatkan
kemahiran/meningkatkan produktiviti. Kementerian Pendidikan menerima
peruntukan terbesar daripada bajet kita. Selain itu, kita juga
mewujudkan entiti seperti TERAJU, Tekun, Genovasi, Superb, MAGiC dan
banyak program latihan kerajaan yang lain di bawah pelbagai kementerian.
4. Tuduhan terhadap 1MDB.
a. Adalah tidak adil bagi sesetengah ahli politik mensabitkan
kerajaan dalam mahkamah pendapat awam sebelum fakta sebenar dikemukakan
oleh pihak berkuasa yang sah iaitu Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa
Kira-kira Wang Negara (PAC) yang bersifat dwipartisan.
b. Apabila kebimbangan disuarakan, saya mahukan penjelasan
terperinci, jadi saya mengarahkan Ketua Audit Negara dan PAC menyiasat
1MDB. Sesiapa jua yang didapati bersalah menggelapkan wang atau
melakukan penyelewengan, akan dihadapkan ke muka pengadilan.
c. Kami menjangka laporan awal ketua Audit Negara akan dikeluarkan
tidak lama lagi. Sementara itu, tolonglah, jangan buat spekulasi dan
kesimpulan, tanpa menggunakan maklumat yang akan dibentangkan oleh Ketua
Audit Negara, yang mengandungi laporan terperinci tentang kewangan
1MDB.
d. Kita semua mahukan jawapan terperinci, tetapi sebelum itu, biarlah
para juruaudit melaksanakan tugas mereka dan memaklumakan kepada kita
secara jelas tentang keadaan sebenarnya. Jika kita terlebih dahulu
menjatuhkan hukuman, maka kita akan mengganggu tugas mereka dan inilah
yang dilakukan oleh banyak pihak. Ini bukanlah prosedur yang sewajarnya.
Jika kita bersikap ikhlas untuk mencari kebenaran di sebalik dakwaan
itu, kita perlu mendapatkan maklumat daripada sumber yang sah (seperti
Ketua Audit Negara) dan bukan daripada portal berita pihak ketiga atau
blog dalam talian yang mungkin mempunyai agenda tersembunyi.
5. Tuduhan mengenai ‘Jambatan bengkok’ – Dakwaan: Kita tidak berani
membina jambatan di atas tanah kita sendiri tanpa kelulusan daripada
Singapura.
a. Jabatan Peguam Negara (AGC) kita telah menasihatkan kerajaan
mengenai kesahihan sebarang pengubahsuaian kepada Tambak Johor di bawah
undang-undang antarabangsa. AGC telah menasihatkan bahawa paip-paip
dalam Tambak Johor adalah tertakluk kepada perjanjian air
Johor-Singapura (1961, 1962), yang menggariskan bahawa paip-paip milik
Lembaga Kemudahan Awam (PUB) Singapura, dan sebarang pengubahsuaian paip
itu mesti diluluskan oleh PUB.
b. Tiada persoalan sama ada kita mempunyai keberanian yang mencukupi
untuk menentang Singapura. Jambatan itu tidak dibina kerana Malaysia
komited untuk mematuhi semua perjanjian yang telah ditandatangani.
Mana-mana jambatan sedemikian, jika dibina bagi menggantikan Tambak
Johor tanpa kebenaran nyata daripada PUB Singapura, akan melanggar hak
hartanah di bawah undang-undang antarabangsa.
c. Kita telah meningkatkan hubungan dengan negara jiran selatan itu
ke satu tahap di mana kami kini terlibat dalam projek dan usaha sama
yang membawa kedudukan yang menguntungkan bagi kedua-dua buah negara.
Untuk meningkatkan lagi perhubungan antara Malaysia dan Singapura, kami
kini membina keretapi berkelajuan tinggi dan malah, mencetuskan idea
jambatan persahabatan yang tidak akan melanggar undang-undang
antarabangsa dan melihat kami membina sebuah jambatan yang dimahukan
oleh kedua-dua negara.
6. Dakwaan: “Pencapaian Najib sebagai presiden UMNO lebih buruk berbanding Pak Lah”
a. Pada pilihan raya umum lepas (PRU13), BN menang di 11 negeri
berbanding 9 pada PRU sebelumnya. Kami mendapat balik Kedah, kekal di
Terengganu dan mengukuhkan kedudukan kami di Perak.
b. UMNO memenangi lebih banyak kerusi pada PRU13 berbanding pada PRU12.
c. Untuk memulihkan BN sepenuhnya, saya memerlukan masa. Insha-Allah,
kesan daripada Program Transformasi yang sudah membuahkan hasilnya, ia
akan memberi jaminan kepada rakyat bahawa kerajaan BN mampu mengotakan
janji-janjinya.
7. Dakwaan: (Najib) mengetepikan Unit Perancang Ekonomi (EPU), tubuh agensi baharu untuk merancang pembangunan negara.
a. Saya menubuhkan Pemandu sebagai badan pemandu untuk menyelia
program transformasi, yang bukan sahaja meliputi aspek ekonomi di bawah
Program Transformasi Ekonomi (ETP) tetapi juga aspek bukan ekonomi di
bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP), yang sudah tentulah tidak
terletak di bawah bidang kuasa EPU kerana ia adalah sebuah badan
ekonomi.
b. Bercanggah dengan apa yang dikatakan sesetengah pihak, saya
memberi kepercayaan yang amat tinggi kepada EPU kerana ia merupakan
kunci bagi memastikan kejayaan ETP. Malah, saya melantik seorang
daripada CEO paling berkebolehan di negara ini untuk menerajui EPU.
8.Dakwaan: Perkhidmatan, kepakaran dan pengalaman penjawat awam tidak lagi diperlukan
a. Perkhidmatan awam sentiasa dan akan terus menjadi paksi bagi
pentadbiran dan operasi negara ini. Perkhidmatan awamlah yang
melaksanakan urusan harian negara ini. Mereka memainkan peranan penting
dalam sistem kita. Hanya kerana beberapa individu dan pihak dilantik
untuk membantu, ia tidak bermakna pengalaman mereka tidak lagi
diperlukan.
b. Ternyata ia merupakan komen yang tidak adil dan tiada objektif.
Membantu, YA, mengambil alih, TIDAK. Banyak program telah dilaksanakan
untuk terus memperkasakan panjawat awam, meningkatkan sinergi dan
kualiti penyampaian kepada rakyat, yang dapat dilihat melalui inisiatif
Strategi Lautan Biru Kebangsaan.
9. Dakwaan: Untuk mendapatkan kembali sokongan orang Cina dan India, Najib mengetepikan tindakan afirmatif
a. Ini tidak tepat sama sekali. Saya sentiasa memberi keutamaan
terhadap kemajuan Bumiputera dan di bawah pentadbiran saya, saya telah
mewujudkan Program Pemerkasaan Bumiputera yang ditadbir oleh TERAJU bagi
memastikan Agenda Memperkasakan Ekonomi Bumiputera menjadi agenda
nasional untuk dilaksanakan dengan berkesan. Sehingga hari ini, TERAJU
telah menyediakan peluang perniagaan, pembiayaan perniagaan, pembangunan
modal insan, pelaburan swasta dan mewujudkan ekuiti melebihi RM47.95
bilion.
b. Baru-baru ini, Majlis Ekonomi Bumiputera mengesahkan sejumlah 99
Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang akan digunakan pada tahun ini dalam
kesemua 23 kementerian dan Jabatan Perdana Menteri untuk membantu
Bumiputera. Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) termasuk Petronas
mempunyai kuota khas kontrak untuk Bumiputera. Setiap GLC juga tertakluk
kepada satu program pembangunan untuk kontraktor Bumiputera bagi
memberi peluang kepada kontraktor Bumiputera yang berkelayakan. Lebih
banyak biasiswa diberi kepada Bumiputera di bawah badan berkaitan
kerajaan. Geran Superb disediakan untuk melahirkan lebih banyak usahawan
Bumiputera. Ekuinas pula dibentuk untuk meningkatkan nilai pegangan
Bumiputera dan sehingga 2014, ia telah mencapai objektifnya untuk
mewujudkan RM4.2 bilion nilai ekuiti Bumiputera bagi syarikat
portfolionya.
c. Di samping itu, UiTM kini diperluaskan untuk menambah tempat
daripada 174,875 pada 2011 kepada 250,000 menjelang 2020. UiTM juga
telah mewujudkan program ‘Mengubah Destini Anak Bangsa’, di mana ia
masuk ke kawasan pedalaman bagi membantu belia Bumiputera yang tidak
mendapat manfaat dari segi pendidikan, anak yatim dan golongan miskin.
Kini, mereka boleh belajar di UiTM dan langkah ini membantu mengubah
sepenuhnya masa depan mereka. Sebanyak 5,000 tempat diberikan pada
setiap semester. Terdapat lebih banyak lagi contoh konkrit dalam kad
laporan TERAJU.
d. Oleh itu, secara ringkasnya, untuk mengatakan saya mengetepikan tindakan afirmatif, adalah karut.
e. Sebagai perdana menteri, saya juga memberi banyak sokongan kepada
orang Cina dan India dan semua komuniti lain yang menjadikan negara kita
ini hebat. Namun demikian, ia bukan dilakukan dengan mengabaikan
Bumiputera. Fokus utama saya ialah untuk meningkatkan carta pai ekonomi
agar lebih banyak dapat diberi kepada SEMUA kaum. Selagi saya dapat
memastikan wujudnya pertumbuhan ekonomi, maka akan ada mobiliti sosial,
dan semua kaum akan dapat mendaki tangga ekonomi yang lebih tinggi.
10. Dakwaan bahawa BN akan tewas pada Pilihan Raya Umum akan datang
a. Jika saya mendapat sokongan yang saya perlukan untuk meneruskan
program transformasi, kita akan berjaya. Jika kita bersatu dan
menghentikan perbalahan dalaman, kita akan berjaya. Jika kita memberi
tumpuan kepada politik membina dan bukannya politik yang merosakkan,
kita akan berjaya. Jika kita memberi tumpuan kepada kerja dan bukannya
mempercayai dan menyebarkan khabar angin, putar belit dan perkara
separuh benar, kita akan berjaya.
b. Satu rancangan yang jelas telah pun digerakkan. Kita mula
menyaksikan hasil usaha kita. KDNK kita meningkat kira-kira 5-6 peratus
sejak saya mengambil alih (jawatan) dan kita juga berada di landasan
baik untuk mencapai ekonomi maju menjelang 2020.
c. Kita berdepan halangan pada masa ini disebabkan oleh kejatuhan
harga minyak mentah yang melemahkan nilai Ringgit. Faktor-faktor ini
adalah di luar kawalan kita. Namun begitu, kita dapat bertahan kerana
asas kita kukuh, rizab terkumpul dalam tahun-tahun sebelum ini serta
aliran pendapatan yang pelbagai berbanding penggantungan kepada minyak.
Kita juga telah mencapai skor bebas terbaik yang pernah dicatatkan
mengenai rasuah dalam tempoh 10 tahun lepas berdasarkan Indeks
Transparency International. Pentadbiran saya telah menyaksi Pelaburan
Langsung Asing yang paling tertinggi setakat ini. Nisbah hutang kepada
KDNK kita menyusut dalam pertumbuhan dan defisit bajet kita semakin
berkurangan dari tahun ke tahun. Selain itu, kita mencapai tahap
tertinggi dalam indeks ekonomi paling berdaya saing WEF, yang mengatasi
Australia, Perancis, Austria dan Korea Selatan. Kita mencapai tahap
paling tinggi dalam indeks kemudahan menjalankan perniagaan Bank Dunia.
Ketiga-tiga agensi penarafan kredit utama telah mengekalkan gred
pelaburan yang baik untuk Malaysia. Kita terus mempunyai lebihan dalam
perdagangan. Penjagaan kesihatan kita diiktiraf sebagai antara yang
terbaik dan paling berpatutan di rantau ini.
d. Kunci kepada beberapa rumah mampu milik PR1MA telah diserahkan dan
semakin banyak lagi akan menyusul. Jambatan Pulau Pinang kedua sudah
siap, Fasa 1 MRT hampir 60 peratus siap, ekonomi telah membuka peluang
1.5 juta pekerjaan baharu dalam 5 tahun lepas dan menjadikan kadar
pengangguran kita yang paling rendah di dunia serta koridor ekonomi
seperti Iskandar Malaysia menyaksikan infrastruktur, rumah, kilang dan
kawasan komuniti maju sedang dibina.
Greater KL telah pun dimulakan,
dengan lebih banyak kawasan perbandaran sedang dibangunkan selain
rumah-rumah dibina, Fasa 1 Bas Rapid Transit akan siap pada pertengahan
tahun dengan lebuh raya Pan Borneo akhirnya dilaksanakan dan bakal
menjadi pemangkin ekonomi utama di Sabah dan Sarawak seperti lebuh raya
PLUS untuk Semenanjung. Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) sedang
dijalankan. Ini semua adalah projek, inisiatif dan usaha yang dijalankan
pentadbiran saya untuk membangunkan negara ini. Seperti yang anda
lihat, ini adalah hasil Program Transformasi yang dilancarkan 5 tahun
lepas. Ia akhirnya berlaku dan saya amat teruja bahawa kita mula melihat
impaknya. Inilah yang benar-benar penting buat rakyat.
e. Penambahbaikan sedang berlaku di depan mata kita. Tetapi saya tahu
bahawa ramai akan melihat kepada yang buruk dan terus bercakap mengenai
khabar angin, perkara separuh benar dan putar belit yang tidak
berkesudahan. Mereka terus percaya bahawa ‘akhir amat dekat’ dan bahawa
pembangkang akan menang. Ia merupakan dakwaan yang dibuat berulang-ulang
kali dalam tempoh lima dekad yang lalu, namun kita masih di sini.
f. Walaupun semua orang bebas untuk mengkritik saya dan menyenaraikan
semua ‘kegagalan’ saya, ia juga penting untuk menyedari sejauh mana
pencapaian kita dalam tempoh enam tahun lepas, dalam usaha memberikan
pandangan yang adil mengenai sesuatu.
11. Dakwaan bahawa 1Malaysia sama dengan Malaysian Malaysia
a. 1Malaysia merupakan suatu usaha untuk mewujudkan perpaduan.
Perbezaan paling utama dengan konsep Malaysian Malaysia ialah
1Malaysia jelas menerima Perlembagaan Malaysia secara keseluruhannya,
terutama semua peruntukan yang terkandung dalam Perkara 153.
b. Malaysian Malaysia pada mulanya adalah suatu konsep yang
bercanggah dengan Perkara 153 dan kemudiannya bersifat amat taksa.
Kalaulah 1Malaysia benar-benar sama dengan Malaysian Malaysia, tentu
sekali tidak akan ada Majlis Permerkasaan Bumiputera, TERAJU dan
lain-lain lagi. Kalaulah 1Malaysia benar-benar sama dengan Malaysian
Malaysia, tentulah tidak akan ada Model Baharu Ekonomi (MBE), satu
rangka kerja untuk meningkatkan sifat ekslusif dalam ekonomi dan pada
masa sama, memperkasakan masyarakat Bumiputera agar mereka menjadi lebih
berdaya saing.
c. Mengatakan bahawa 1Malaysia adalah sama dengan Malaysian Malaysia
merupakan suatu perbuatan memutarbelitkan realiti, dengan niat yang
tidak lain dan tidak bukan iaitu untuk menipu orang Melayu.
12. Dakwaan bahawa Jenayah meningkat sejak ISA dihapuskan
a. Dakwaan ini adalah tidak benar. Pada tahun lepas sahaja, polis
berjaya mengurangkan kadar jenayah di negara ini sebanyak 12.6 peratus.
Jenayah ganas di negara ini juga menurun sebanyak 13.4 peratus. Polis
DiRaja Malaysia telah bekerja keras untuk memastikan semua rakyat
Malaysia selamat daripada segala bentuk jenayah dan keganasan.
b. Sebenarnya, seramai 8,868 individu telah ditahan dan sebanyak 280
senjata dirampas dalam Ops Cantas Khas yang diadakan baru-baru ini.
Ketika ISA mula dilaksanakan, tujuannya hanyalah untuk memerangi
kebangkitan komunis dan oleh itu, ia tidak lagi relevan pada masa kini.
c. Untuk memastikan ekstremis keganasan tidak mempunyai tempat di
Malaysia, kerajaan memperkenalkan Akta Pencegahan Keganasan 2015 yang
diluluskan Parlimen. Akta baharu ini akan memerangi cabaran baharu
termasuk kebangkitan kumpulan militan yang menggelarkan diri mereka
sebagai Islamic State dan ia tidak akan digunakan bagi tujuan politik.
Hanya mereka yang ingin melakukan keganasan ekstremis boleh ditahan di
bawah Akta baharu ini.
13. Tuduhan mengenai pesawat kerajaan
a. Adalah menjadi amalan standard di seluruh dunia bagi kebanyakan
pemimpin menggunakan jet rasmi, bukan untuk kemewahan, tetapi sebagai
kecekapan dalam menjalankan tugas mereka. Hiasan dalaman pesawat
dikonfigurasikan supaya mesyuarat dan perbincangan boleh diadakan dalam
pesawat dan tugas negara boleh diteruskan walaupun semasa penerbangan.
Oleh itu, tidak timbul persoalan sama ada atau tidak sesebuah negara
harus mempunyai sebuah jet rasmi.
b. Kita tidak boleh terpengaruh dengan propaganda pembangkang bahawa
kerajaan telah membazirkan wang membeli jet baharu. Apa yang mereka
gagal jelaskan adalah jet itu dibeli untuk menggantikan pesawat berusia
16 tahun, yang berbahaya dari segi keselamatan. Selain itu, ia juga
adalah pesawat rasmi yang digunakan oleh Yang Di-Pertuan Agong, yang
merupakan sebab mengapa kita tidak boleh berkompromi mengenai jaminan
keselamatan. Kos penyenggaraan pesawat lama adalah tinggi. Oleh itu,
pesawat lama akan dilupuskan dan wang yang diperoleh kerajaan daripada
penjualannya akan digunakan untuk mengurangkan kos pembayaran pesawat
baharu.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment