Wednesday, May 27, 2015
Moody’s: 1MDB Tidak Berisiko
28 Mei 2015, Kuala Lumpur : Moody’s Investors Service (Moody’s) tidak melihat
isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberi sebarang risiko
sistemik terutama ke atas institusi perbankan buat masa ini.
Naib Presiden Penganalisis Kanan Kumpulan Risiko Kedaulatan Moody’s,
Christian de Guzman berkata, dalam masa sama Moody’s tidak menolak
kebimbangannya terhadap risiko politik dalam isu 1MDB terutama dengan
gesaan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan
jawatan.
Namun katanya, keadaan itu belum membawa sebarang perubahan ke atas dasar fiskal negara.
“Bukan kami tidak bimbang tetapi risikonya belum dirasai oleh
institusi perbankan kerajaan mahupun sistem perbankan buat masa ini
berbanding risiko politik dalam isu 1MDB ini.
“Secara dasarnya, keadaan ini juga tidak akan memberi kesan atas
penarafan kredit Malaysia walaupun dibelenggu dengan isu 1MDB,” katanya
dalam sidang akhbar Moody’s ke atas Prospek Perbankan Islam, Perbankan
dan Kedaulatan Malaysia di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Perbankan Islam Global, Pegawai Kanan Kredit
Moody’s, Khalid Ferdous Howladar dan Naib Presiden Penganalisis Kanan
Kumpulan Institusi Kewangan Asia Pasifik Moody’s, Simon Chen.
Semalam, laporan Moody’s “Malaysia: Most Rated Entities Will
Withstand External and Domestic Challenges” menyatakan kewangan yang
melanda 1MDB bukanlah petanda bahawa syarikat milik kerajaan (GLC)
secara menyeluruhnya tertekan.
Malah, menurut laporan itu, selain 1MDB, ada syarikat yang terus
membayar hutang berdasarkan rekod tadbir urus yang kukuh selain mencatat
keuntungan.
Sementara itu, Guzman berkata, akaun semasa negara dijangka terus
mencatat lebihan untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Katanya, keputusan itu didorong oleh data eksport terutama elektrik
dan elektronik yang positif walaupun di sebalik harga komoditi yang
rendah dan penyusutan nilai ringgit.
“Pada masa sama, lebihan akaun semasa negara juga menunjukkan
peningkatan pada suku pertama berbanding separuh kedua 2014 dan dijangka
mencatat pertumbuhan sihat,” katanya.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment