Sunday, May 31, 2015

Jangan Putar Belit Keadaan 1MDB – Arul Kanda

https://lh5.ggpht.com/89AaazLZtR9I0TlJSM1Q9oP9yH36U-2hoYqHBdPoTp02F2K7AQ-Id7F4_mtB8V3mjU96nWZUPN6txHuHR5Md
31 Mei 2015, Kuala Lumpur : Presiden 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Arul Kanda, mengeluarkan kenyataan akhbar lewat malam tadi menjelaskan bayaran AS$1 bilion (RM3.6 bilion) diterima daripada International Petroleum Investment Company (IPIC), Abu Dhabi bukan pinjaman. 

Arul Kanda, berkata bayaran berkenaan adalah transaksi perniagaan, bukan pinjaman atau tindakan menyelamat. 

“Ia adalah pembayaran awal sebagai sebahagian daripada perjanjian meluas untuk menyelesaikan secara menyeluruh pelbagai transaksi aset dan liabiliti kewangan antara IPIC, Aabar dan 1MDB. 

“Maklumat lanjut berhubung transaksi berkenaan akan dimaklumkan tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini awal pagi ini. 

Beliau merujuk kepada kenyataan Kementerian Kewangan kelmarin berhubung pembayaran AS$1 bilion yang akan diterima 1MDB pada atau sebelum 4 Jun ini. 

Syarikat pembangunan strategik kerajaan itu akan menggunakan dana berkenaan untuk melunaskan lebih awal hutang RM3.5 bilion kepada satu sindiket bank peminjam antarabangsa. 

Susulan daripada kenyataan itu, Arul berkata, pihaknya bimbang dengan dakwaan daripada pelbagai pihak bahawa pembayaran AS$1 bilion itu adalah pinjaman yang menyebabkan 1MDB menanggung hutang tambahan.

Kementerian Kewangan dalam kenyataannya kelmarin menyebut, 1MDB akan menerima bayaran AS$1 bilion selepas memeterai perjanjian dengan IPIC dan anak syarikatnya, Aabar Investments (Aabar). Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata pemerolehan dana itu menandakan satu langkah penting ke arah mengurangkan kadar hutang keseluruhan 1MDB. 

“Ia adalah antara aspek penting dalam pelan rasionalisasi yang saya bentangkan sebelum ini kepada Kabinet, yang mana kami jangka akan dilaksana sepenuhnya menjelang awal tahun depan,” katanya. Ahmad Husni berkata, beliau juga membentangkan pelan rasionalisasi kepada Kabinet hasil rumusan kajian strategik 1MDB yang diumumkan pada Februari lalu. 

Pelan rasionalisasi itu antara lain akan menyaksikan komponen perniagaan 1MDB dipecahkan kepada tiga syarikat iaitu Edra Energy, Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia, dengan autonomi dan akauntabiliti terhadap prestasi kewangan masing-masing.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan akan kekal sebagai pemegang saham utama TRX dan Bandar Malaysia, yang mana ekuiti akan ditingkatkan melalui pelabur pihak ketiga.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment