Wednesday, May 20, 2015

RMK11, ‘Final Lap’ Sebelum Malaysia Capai Status Negara Maju – Najib

21 Mei 2015, Kuala Lumpur : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok merupakan ‘final lap’ kemaraan Malaysia mencapai status negara maju pada tahun 2020.

“Inilah ‘final lap’ (pecutan) sebelum kita mencapai status negara maju seperti mana yang dihasratkan dalam Wawasan 2020,” katanya dalam laman Facebooknya hari ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata esok beliau akan membentangkan RMK11 yang merupakan hala tuju negara untuk lima tahun akan datang.

Beliau mengajak orang ramai untuk mengikuti pembentangan rancangan itu secara langsung online di blog rasminya www.najibrazak.com.

Pembentangan RMK11 pada persidangan Dewan Rakyat itu dijadualkan pada pukul 11.30 pagi ini.

RMK11 merupakan rancangan pembangunan lima tahun terakhir ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020.

Wawasan yang dilancarkan pada tahun 1991 itu menggariskan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara maju dalam semua aspek, iaitu ekonomi, politik, sosial, kerohanian, psikologi dan budaya menjelang tahun 2020.

Susulan daripada pencapaian pembangunan cemerlang dalam tempoh separuh dekad lalu, RMK11 mengukuhkan lagi komitmen Kerajaan untuk mencapai pertumbuhan yang bermatlamatkan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

RMK11 berteraskan prinsip Bangsa Malaysia yang progresif dan bersatu serta berkongsi cita-cita dan komitmen yang sama dalam meningkatkan lagi kemakmuran negara untuk rakyat.
http://cdn.theborneopost.com/newsimages/A2588.jpg
Penyediaan RMK11 adalah berpandukan Strategi Pembangunan Nasional Malaysia (MyNDS) yang memberikan tumpuan kepada pembangunan ekonomi berteraskan rakyat dan ekonomi berasaskan modal dengan pelaksanaan program dan projek berimpak tinggi, boleh dilaksanakan dengan pantas serta kos yang rendah kepada Kerajaan.

Ekonomi berasaskan modal merujuk kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), perniagaan besar, projek pelaburan besar dan pasaran kewangan, manakala ekonomi berteraskan rakyat lebih menumpukan kepada kepentingan rakyat, termasuk peluang pekerjaan, perniagaan kecil, kos sara hidup, kesejahteraan keluarga dan penyertaan masyarakat.

Sehubungan ini, RMK11 merupakan satu pelan strategik yang melakar perjalanan pembangunan masa hadapan malaysia yang selaras dengan impian rakyat dan dapat menikmati hasil pembangunan yang sepatutnya.

Pelan yang bertemakan “pertumbuhan berpaksikan rakyat” ini merupakan satu pelan strategik yang menggariskan komitmen Kerajaan untuk memenuhi aspirasi rakyat.

Dipetik daripada sumber : Bernama

No comments:

Post a Comment